Sebahagian daripada kisah paling bermakna Kuala Lumpur tidak pernah tercatat dalam buku sejarah. Kisah-kisah itu berkembang di bawah lindungan kaki lima, tempat tukang gunting menggunting rambut, gerai kopi menyapa pelanggan tetap dengan mesra, para penggiat kraf mengusahakan kemahiran mereka dan jiran tetangga yang berhenti seketika untuk berbual.
Hari ini, suasana yang begitu dekat dengan memori warga kota itu kembali hadir – bukan sekadar hanya nostalgia, tetapi sebagai sebuah karya seni komuniti yang mengajak orang ramai menjadi sebahagian daripada kisah berterusan bandar ini.
Merentasi dinding melengkung di sepanjang Jalan Hang Jebat, mural Kaki Lima yang baharu kini mengubah salah satu pintu masuk utama ke presint Merdeka 118 menjadi sebuah penghormatan dalam bentuk yang berwarna-warni kepada warisan harian di bandar. Diilhamkan oleh buku Kaki Lima Stories: Life in the Five Foot Ways of Downtown Kuala Lumpur, mural ini menghidupkan semula permukaan yang dahulunya kosong melalui deretan gerbang yang dilukis dengan penuh ritma, setiap satunya membingkai detik-detik intim yang pernah mewarnai kehidupan Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.
Aktiviti membeli-belah, penunggang beca, kanak-kanak bermain di taman permainan serta pertemuan harian di kopitiam digambarkan seperti helaian foto kehidupan kota, mengajak orang ramai untuk memperlahankan langkah dan menghayati semula kisah-kisah yang tersemat di jalan-jalan di sekeliling mereka.
Projek ini melangkaui fungsi seni awam semata-mata. Dilaksanakan oleh Dipapansembilan Studio menerusi Kitaran 3 Program Geran Komuniti Merdeka 118 dan diuruskan oleh Think City, ia merupakan sebahagian daripada Projek Penambahbaikan Jalan Hang Jebat di bawah Program Penambahbaikan Ruang Awam Merdeka 118. Inisiatif ini bertujuan mewujudkan persekitaran awam yang lebih mesra pejalan kaki, mengalu-alukan serta saling terhubung melalui elemen seni, landskap, pencahayaan, penunjuk arah dan penambahbaikan kemudahan pejalan kaki.
Proses penghasilannya sendiri telah menjadi satu usaha komuniti. Seramai 35 sukarelawan daripada PNB dan PNB Merdeka Ventures telah memulakan sapuan cat pertama sebelum disusuli oleh pelajar dari sekolah di sekitar kawasan ini, serta orang awam yang turut mengambil bahagian semasa aktivasi KL Festival. Hasilnya, mural ini menjadi sebuah ekspresi kolektif komuniti, dan bukannya karya yang dihasilkan oleh seorang artis semata-mata.
Bagi artis penerima geran, Fadzlan Rizan Johani atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lan, proses kolaboratif ini sama pentingnya dengan hasil karya seni ini.
“Usaha dan perkongsian idea antara Dipapansembilan Studio, PNB Merdeka Ventures, Think City dan DBKL dalam menjayakan komitmen nasional Warisan KL ini membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah mural. Ia merupakan satu perjalanan bersama dalam membina komuniti dan menggalakkan dialog antara masyarakat,” katanya.
Wakil Sekretariat Bersama Warisan KL, Dato’ Mohamed Nasri Sallehuddin, berkata mural tersebut mencerminkan aspirasi program untuk memelihara identiti budaya Kuala Lumpur sambil memastikan bandar raya ini terus kekal sebagai sebuah kota yang hidup, dinamik dan sentiasa berkembang.