Mengekalkan Komuniti

JACQUELINE PEREIRA | 30 April 2026

DIREKA dengan teliti. Dihasilkan dengan penuh pertimbangan. Dicipta dengan tujuan.

Di Earth Heir, lebih daripada 30 jenama buatan Malaysia bergabung, masing-masing berakar pada tradisi dan dibentuk oleh warisan, dihidupkan melalui kraftangan kreatif. Hasilnya membawa kepada sebuah ruang yang penuh kesedaran, berteraskan kelestarian serta didorong oleh komitmen yang kukuh terhadap impak sosial.

Setiap produk mematuhi amalan kelestarian, dengan nilai etika serta piawaian pensijilan B Corp dan World Fair Trade Organisation (WFTO). Ini bermakna setiap pembelian anda menyumbang secara positif kepada komuniti, badan kebajikan dan NGO. Namun, koleksi ini sebenarnya lebih dari sekadar hadiah atau cenderamata kerana nilainya terletak pada kisah yang mereka dibawa.

Anting-anting jahitan silang bersaiz kecil, disalut dengan logam, di dalamnya tersimpan perjalanan hidup para artisan yang pada asalnya merupakan pelarian dari Syria, Afghanistan, Iran dan Myanmar. Koleksi barang kemas terlaris ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MADE51, hasil kerjasama dengan UNHCR.

Arwah Kak Nelly, salah seorang penyumbang terawal Earth Heir daripada suku Kenyah di Sarawak, dikenali kerana pendiriannya yang teguh dan tidak tergugat dengan perubahan, sering menolak cadangan untuk memperhalusi clutch dan beg anyaman yang dihasilkannya daripada jalur kargo. Hari ini, legasi beliau terus hidup melalui koleksi ikonik Earth Heir yang membawa namanya.

Di Perak, selepas menghadiri sebuah bengkel, seorang artisan menemui semula jalan kepada sesuatu yang hampir ditinggalkannya. Apa yang bermula sebagai kembali kepada kraf kini menjadi sumber rezekinya yang sederhana; ikan bilisnya kini dijual di Shopee, menjelajah ke luar dari dapur kampungnya.

Di tempat lain, seorang nenek yang sabar dan tekun duduk bersama benangnya, mengait haiwan terancam sebagai mainan lembut untuk kanak-kanak. Setiap jahitan menunjukkan kita peduli, dan setiap jualan menyumbang sedikit demi sedikit kepada NGO pilihannya.       

Usahawan sosial pemenang anugerah Earth Heir, Sasibai Kimis Steenland, mempunyai kisah yang sama menginspirasikan seperti kerjanya. Selepas bertahun-tahun belajar dan bekerja di Amerika Syarikat, United Kingdom, Ghana dan Malaysia, dia terpanggil sewaktu mengajar Bahasa Inggeris dan membantu membina sekolah di Kemboja. Di sana, dia bertemu wanita dan kanak-kanak yang terselamat daripada pemerdagangan manusia. Apabila dia mula menjual skaf sutera yang mereka hasilkan kepada rakan-rakannya, dia menyedari bahawa impak sebenar memerlukan lebih daripada niat baik, ia perlu menjadi sebuah perniagaan yang mampan.

Daripada bilik darjah global ke komuniti akar umbi, perjalanan Sasibai Kimis Steenland merentasi benua membawanya kepada tujuan yang lebih mendalam di Kemboja – satu titik perubahan yang membentuk visi di sebalik Earth Heir.

Pada tahun 2013, di awal penubuhannya, matlamat Sasibai adalah untuk menyokong artisan dan komuniti terpinggir melalui sumber rezeki yang mampan, sambil memelihara kraf tradisional. Apa yang bermula sebagai satu jenama kini telah berkembang menjadi sebuah ekosistem yang semakin meluas, menghubungkan kraf, komuniti dan penggunaan beretika untuk memacu impak kolektif. 

Seperti yang dikongsikan oleh Sasibai Kimis Steenland, matlamatnya kini lebih dari sekadar membina jenama, tetapi membuka ruang dan peluang untuk orang lain. Dia telah melihat ramai usahawan mikro menghasilkan produk yang luar biasa, namun berdepan cabaran dalam akses pasaran, penetapan harga, pembungkusan dan penjenamaan. “Saya tidak nampak mengapa kami harus terus berkembang sendiri sedangkan ramai lagi yang melakukan kerja hebat tetapi tidak mendapat sokongan dan akses yang mereka perlukan.”

Berjam-jam boleh berlalu hanya dengan meneroka kedai ini, sambil mendengar kisah para artisan. Mengapa mereka berkarya, dan bagaimana setiap produk dihasilkan dengan penuh semangat dan dedikasi. Yang paling menarik ialah kepelbagaian pilihan yang ditawarkan: anting-anting halus dianyam daripada biji benih dan mengkuang, serta lilin yang dihasilkan oleh komuniti Orang Asli. Tidak ketinggalan, kulit tiram yang dikitar semula menjadi hiasan dekoratif, serta klip beg plastik kitar semula. Selain itu, terdapat juga sampul duit raya songket dan pouch comel yang diinspirasikan daripada snek ikonik Malaysia seperti Cap Tangan dan Super Ring.    

“Kami berusaha menghasilkan produk yang lebih mampu milik, di bawah RM50 hingga serendah RM2 untuk golongan muda,” kata Sasibai, bagi membolehkan mereka turut menjadi sebahagian daripada inisiatif ini. Barisan produk baharu turut merangkumi item yang tidak semestinya buatan tangan secara tradisional, tetapi masih membawa impak sosial dan alam sekitar. “Orang ramai juga mencari barangan ringkas, seperti botol air, pouch atau poskad.”


Produk yang direka dengan baik, mudah diakses dan setiap pembelian akan memberi semula kepada komuniti. Sekitar 3% daripada hasil jualan disalurkan kepada usaha pemuliharaan alam sekitar. “Pada tahun 2023 dan 2024 sahaja, inisiatif ini telah menyumbang kepada penanaman 500 pokok bersama Animal Projects & Environmental Education (APE).”

Perjalanan memahami kelestarian bermula sebaik sahaja anda melangkah masuk ke ruangnya yang dikongsi bersama perusahaan sosial milik suaminya, The Sea Monkey Project, yang menumpukan kepada kitar semula plastik dan pembinaan mesin kitar semula. Tingkap, meja dan kerusi dihasilkan daripada bahan terpakai, diselamatkan daripada rumah yang diubah suai, ini termasuklah landasan kereta api yang digunakan semula.       
Lebih daripada produk itu sendiri, Earth Heir turut menjadi ruang wacana, menganjurkan ceramah, tayangan dan acara. Sejak penubuhannya, Sasibai Kimis Steenland menganggarkan dia telah menjangkau lebih 50,000 individu di seluruh dunia melalui advokasinya dalam keusahawanan sosial, fesyen beretika dan warisan Malaysia.            

Angka-angka ini hanya menceritakan sebahagian daripada kisahnya. Dari tahun 2013 hingga 2025, Earth Heir telah menjana kira-kira RM3.9 juta dalam bentuk pendapatan dan latihan untuk para artisan. Apa yang bermula dengan rangkaian sekitar 500 artisan kini, melalui kerjasama yang diperluas, telah berkembang untuk menyokong hampir 3,000 orang.     

Lewat tahun lalu, mereka melancarkan ‘1 Per Cent Social Pledge’, sebuah inisiatif yang menggalakkan syarikat dan badan kerajaan untuk memperuntukkan sebahagian daripada bajet perolehan mereka kepada perusahaan sosial, sebagai usaha untuk memberikan kestabilan kewangan yang lebih baik kepada para artisan.

Akhirnya, ada sesuatu yang lebih sukar dijelaskan namun menjadi nadi kepada kisah Earth Heir. “Ia sebenarnya adalah bukti usaha sama semua yang terlibat,” jelas Sasibai Kimis Steenland. “Komuniti yang kami bekerjasama, dan mereka yang membeli daripada kami.” 

Dia menegaskan: “Jika para artisan tidak menghasilkan produk yang begitu indah, jika mereka tidak bersedia untuk menambah baik, dan jika orang ramai tidak berminat, kami tidak akan berada di sini hari ini.”

Kraf kolektif yang disokong dan dihargai mampu melangkaui lebih dari sekadar kelangsungan hidup, menuju sesuatu yang jauh lebih berkekalan. Dalam pertemuan halus antara tradisi dan perubahan, antara pembuat dan pasaran, sebuah masa depan yang berbeza sedang terbentuk.                  

Mengangkat gaya hidup sedar, memperkasa usahawan mikro, dan seiring dengan membina kerjasama beretika yang menghormati manusia serta alam.

Earth Heir Collective
30, Tingkat 1, Jalan Hang Kasturi, Kuala Lumpur
http://earthheir.com
www.instagram.com/earthheir

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2