Dato’ Hamdan Abdul Majeed, Pengarah Urusan Think City, merangkumkan inisiatif ini: “Lebih daripada sekadar usaha pemuliharaan, Warisan KL merupakan satu seruan untuk kita membentuk semula penceritaan kota ini – bukan hanya sebagai lambang kemajuan fizikal, tetapi sebagai warisan hidup yang mencerminkan semangat sebuah bangsa yang sedang mencorak masa depannya.”
Dipelopori dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Warisan KL merupakan usaha nasional yang menghimpunkan agensi persekutuan dan negeri, GLIC, GLC, rakan kongsi sektor swasta serta komuniti di seluruh Malaysia untuk membentuk Kuala Lumpur sebagai mercu tanda warisan, budaya dan kreativiti negara. Kejayaannya bergantung pada rangkaian luas rakan kerjasama dan pihak berkepentingan – termasuk DBKL, Think City, Khazanah Nasional, MBI Selangor, Jabatan Warisan Negara, PNB Merdeka Ventures, Prasarana, penjaga tapak warisan dan keagamaan, pihak berkuasa pengangkutan, perniagaan tempatan serta kumpulan masyarakat sivil – yang berganding bahu melindungi masa lalu bandar sambil membina masa depannya. Ia merangkumi kawasan seluas 20km persegi, dengan tumpuan kepada beberapa zon warisan, sivik dan komersial terpenting bandar raya ini.
Strategi pengisian dan pemaknaan ruang Warisan KL dibina atas asas kajian bertahun-tahun – merangkumi kajian asas, diagnostik ruang, tinjauan awam, Klinik Bandar dan libat urus komuniti.
Pelaksanaannya disokong oleh struktur tadbir urus pelbagai lapisan untuk memastikan penjajaran, ketelusan, dan impak yang berterusan. Sebuah Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha, memantau inisiatif ini serta memberi panduan kepada projek-projek utama dengan sokongan kementerian yang berkaitan.