Mengabadikan Warisan KL, dengan satu lakaran pada satu masa

Ann Marie Chandy | 28 Mac 2025

Bagi pelukis lakaran seperti Dato' Azman Mohd Hashim dan Cheng Peng Sia, setiap bangunan ada kisah yang tersendiri. Menerusi lakaran, mereka dapat menggambarkan semangat warisan Kuala Lumpur dan abadikannya dengan satu lukisan, pada satu masa. Walaupun latar belakang mereka berbeza – seorang masih aktif dalam dunia arkitek, manakala seorang lagi merupakan pesara – minat mereka yang mendalam untuk mendokumentasikan landskap bandar menyatukan mereka.

Azman yang merupakan Presiden Lembaga Arkitek Malaysia dan Pengarah Kanan di Jabatan Kerja Raya (JKR), telah mengukir nama dalam dunia seni bina Malaysia selama lebih tiga dekad. Namun, minat peribadinya terletak pada sesuatu yang lebih intim – melakar. Dengan buku lakaran bersaiz A5, pen mata kekal, dan cat air Ecoline yang terang, beliau menterjemahkan kehebatan bangunan ke dalam garisan yang berani dan ekspresif.

“Adakala, kita tak perlu lukis terlalu banyak perincian,” jelas bapa kepada dua orang anak yang berusia 58 tahun ini. “Saya mahu tonjolkan bentuknya.” Medium pilihannya, Ecoline, tidak memberi ruang untuk kesilapan – setiap garisan adalah muktamad. Keseronokan dalam lakaran spontan ini menyemarakkan semangat seninya.

Diari visual Azman dipenuhi dengan mercu tanda seperti Bangunan Sulaiman, Masjid Negara dan Masjid Jamek – bangunan yang membawanya kembali ke zaman lawatan sekolah pertamanya ke KL sewaktu darjah lima. “Saya masih ingat bagaimana saya rasa sebagai seorang budak kecil, memandang ke atas bangunan-bangunan agung ini,” katanya sambil terkenang.

Pilihan kegemarannya? Bangunan Sultan Abdul Samad. “Kita mungkin tiada bangunan sehebat Antoni Gaudí di sini, tetapi bangunan ini adalah karya agung,” ujarnya. Cabaran menangkap bayang-bayang dan kubahnya memberi semangat. Setiap lakaran dalam bukunya disusun dengan rapi – diasingkan dengan garisan putih, hasil seni di sebelah kanan, manakala catatan tangan di sebelah kiri.

Sementara itu, Cheng pula seorang pesara arkitek, kembali ke dalam dunia seni selepas menamatkan kerjaya sepenuh masa pada tahun 2009. “Saya memang minat seni sejak dulu, tapi dulu hidup susah,” katanya. “Saya berasal dari Sungai Petani, Kedah, dan menjadi cikgu adalah jalan paling cepat untuk bantu keluarga. Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina, bekerja keras dan bina kehidupan bersama isteri.”

Kini di usia 72 tahun, beliau menzahirkan cintanya buat sejarah KL dengan menggunakan dakwat Cina, cat air, akrilik, minyak dan pastel. Minat beliau terhadap lakaran bandar mula berkembang sejak tahun 2010 apabila beliau menemui gerakan Urban Sketchers (USK). “Perjalanan pertama bersama Urban Sketchers Penang ke Bangkok pada tahun 2012 benar-benar mengubah hidup saya,” katanya. “Melihat begitu ramai pelakar begitu bersemangat melakarkan bandar dan bangunan warisan – ia sangat memberi inspirasi!”

Salah satu subjek kegemarannya adalah Bangunan Persatuan Opera Kantonis Yan Keng di Jalan Sultan, yang telah menjadi pusat pemuliharaan opera Kantonis dan budaya sejak 1920. “Bangunan ini unik, gabungan gaya seni bina klasik Barat dan Cina. Dan bagi saya, ia sangat bermakna kerana di sinilah saya bertemu dengan isteri saya pada tahun 1980-an ketika kami menyanyi dalam koirnya!” katanya sambil tersenyum. “Kawasan sekitarnya seperti gerai makan dan Pawagam REX juga menjadi tempat kegemaran kami ketika bercinta! Bangunan-bangunan ini menghidupkan kembali kenangan manis.”

Bagi Dato' Azman dan Cheng, lakaran bandar bukan sekadar hobi – ia adalah satu usaha memelihara warisan. “Bangunan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Tokong Sin Sze Si Ya, dan deretan rumah kedai lama di Petaling Street serta Jalan Tunku Abdul Rahman adalah sebahagian daripada fabrik bandar KL,” kata Cheng. “Melalui lakaran di lokasi sebenar, kita dapat menangkap ciri-ciri asli bangunan-bangunan ini sebelum ia hilang ditelan zaman.”

Tidak sama seperti fotografi, lakaran memberikan tafsiran peribadi terhadap sesuatu tempat.

“Setiap pelukis membawa unsur penceritaan tersendiri.”

Cheng

“Setiap pelukis membawa unsur penceritaan tersendiri.” ujar Cheng. Dengan berkongsi karya mereka secara dalam talian dan di pameran, mereka meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan.

Jika Cheng suka keluar melakar bersama rakan seni, Azman pula lebih gemar menyendiri. Hujung minggu adalah waktu yang terbaik bagi Azman – selepas sarapan dengan isterinya, beliau akan hanyut dalam warna dan dakwat, melepaskan tekanan minggu ke atas halaman buku lakarannya. “Melakar lebih seronok daripada bermain golf,” katanya sambil ketawa.

Bagi dua anak seni ini, seni bina bukan sekadar pelan dan bangunan – ia tentang kenangan, cerita dan keindahan dalam ketidak sempurnaan. Menerusi lakaran mereka, kisah-kisah ini terus hidup, satu garisan dalam satu masa.
Layari Instagram untuk lebih banyak karya daripada Dato' Azman. Semak imbas Facebook untuk lakaran Cheng.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2