Mencari Jiwa Sebuah Bandaraya

Ann Marie Chandy | 18 April 2025

Kuala Lumpur bukan sekadar Ibu Negara Malaysia – Ia masih hidup dan sentiasa berkembang. Daripada sebuah penempatan perlombongan bijih timah kepada kota kosmopolitan, warisannya tidak hanya terletak pada bangunan, tetapi juga pada rakyatnya, tradisi dan sejarahnya yang membentuk jiwanya.

“Warisan adalah apa yang anda warisi,” kata Dato’ Hamdan Majeed, Pengarah Urusan Think City. “Tetapi ia bukan sekadar memelihara bangunan lama. Ia tentang melindungi jiwa sebuah kota – identitinya, kisah-kisahnya dan cerita yang terdapat disebalik tempat itu.”

Apabila bandar-bandar di seluruh dunia bersaing untuk menarik bakat dan pelaburan, Hamdan percaya kekuatan KL terletak pada penerimaan DNA-nya yang unik. “Kita hidup dalam zaman di mana faktor mobiliti sangat tinggi – manusia, modal, teknologi, semua ini boleh bergerak. Tetapi ‘tempat’ kekal. Jadi bagaimana kita menghidupkan sesuatu tempat bergantung kepada apa yang kita sudah miliki. Lagi banyak kita meraikan dan memperkembangkan apa yang ada, lagi menonjollah kita.”

Bagi Hamdan, anak kelahiran Pulau Pinang yang telah menetap di KL selama lebih tiga dekad, daya tarikan KL terletak pada kepelbagaiannya. “Gaya pemakaian kita pun sangat pelbagai. Kadang-kadang kita anggap itu perkara biasa, tetapi itulah kekuatan kita. Penting untuk kita raikan perkara-perkara ini sebagai sesuatu yang positif. Itu tanggungjawab kita bersama.”

Hamdan teruja dengan usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti aset-aset sedia ada serta mengukuhkan hubungan antara satu sama lain. Beliau berkongsi bahawa inisiatif Warisan KL, yang akan dilancarkan minggu ini, akan memberi tumpuan kepada pemeliharaan beberapa mercu tanda ikonik di bandar ini sambil membantu membentuk masa depan Kuala Lumpur.

Beliau turut menyatakan bahawa walaupun masih muda – KL diasaskan sekitar tahun 1857, menjadikan bandar ini berusia lebih 167 tahun, pada tahun ini – menariknya, struktur bandarnya kekal utuh. “Kalau kita lihat morfologi bandar – tapak asal bandar ini – ia sangat menakjubkan. Ada tenaga di sini. Ia muda, dinamik dan sentiasa mencipta semula dirinya,” katanya, sambil menambah bahawa apa-apa yang berunsur sejarah dan mampu mencetuskan kepelbagaian, reka bentuk dan dialog sentiasa menarik perhatiannya.

Beliau memberikan contoh beberapa kebangkitan semula komuniti yang paling ketara, seperti Bangunan Zhongshan di Kampung Attap dan Kwai Chai Hong di Petaling Street. Inisiatif ini bukan datang dari atas, tetapi dibina dari akar umbi. “Kita wujudkan platform, kumpulkan suara-suara, dan biarkan rasa pemilikan itu tumbuh dari dalam,” kata Hamdan mengenai peranan Think City dalam menyokong komuniti untuk menuntut semula dan mentafsirkan ruang yang ada dengan cara mereka sendiri.

Semangat untuk menjaga secara kolektif ini berkembang ke seluruh bandar - bukan sekadar melalui dasar atau usaha pemuliharaan, tetapi juga secara niat peribadi yang sangat mendalam.
“Mungkin warisan bukan sekadar apa yang masih wujud secara fizikal, tetapi apa yang kekal dalam ingatan dan makna disebaliknya.”

Daryl Goh, Editor Seni dan Budaya di suratkhabar The Star
“Mungkin warisan bukan sekadar apa yang masih wujud secara fizikal, tetapi apa yang kekal dalam ingatan dan makna disebaliknya,” kata Daryl Goh, Editor Seni dan Budaya di suratkhabar The Star. “Ketika KL terus berkembang, mungkin intipatinya yang sebenar terletak pada cara kita membawa masa lalunya – melalui cerita, emosi dan bagaimana tempat-tempat tertentu, walaupun telah berubah, masih cukup dikenali untuk membuat kita tersenyum.”

Bagi Goh, rasa dekat itu sentiasa hidup dalam dirinya – seperti perasaan menaiki tangga panggung lama di REXKL yang membawanya kembali ke zaman menonton wayang pada awal 1990-an, atau mengenangkan kawasan lepaknya di lokasi ikonik Pasar Seni yang kini tiada lagi seperti Music Magic, Restoran Hameed, River Bank, Network dan juga Annexe. “Tempat-tempat ini mungkin sudah tiada, tetapi dalam ingatan saya, ia tetap hidup, mengabadikan hubungan saya dengan sebuah bandar, walaupun ia terus berubah di sekeliling saya.”

Bagi sesetengah orang, kenangan kekal melalui rasa. Apabila ditanya tentang tempat atau tradisi yang terasa seperti “rumah”, Zeen Chang, rakan pengurusan Bai Chuan Management – pasukan di sebalik Kwai Chai Hong – dia tidak teragak-agak menjawab. “Ada kalanya, bau sedap makanan yang dikenali dari dapur terbuka di lorong belakang pun sudah cukup untuk beri rasa selesa dan menyentuh jiwa.”

Chinatown, Jalan Imbi, Jalan Alor – bagi Chang, tempat-tempat ini lebih daripada sekadar destinasi; ia adalah memori yang masih segar dalam ingatan dan membangkitkan deria. “Setiap suapan itu seakan memberi suntikan nostalgia yang penuh kegembiraan melalui deria rasa saya.”

Chang melihat daya tarikan KL, dalam kewujudan antara zaman yang serentak – deretan kedai lama berusia berabad lamanya, masih berdiri megah di sisi bangunan moden yang menonjol. “Ia satu pemandangan yang luar biasa, dan menyuntik perasaan dalam diri kira untuk menghargai warisan dengan lebih mendalam.”

Apa yang penting lagi, Chang berasa teruja melihat semakin ramai anak muda hadir di ruang-ruang ini. “Saya menyaksikan kemunculan ramai anak muda Malaysia yang mula menyayangi Bandaraya KL – menghargai pesona lamanya dan meraikan yang baharu. Ada yang datang untuk bekerja, ada yang memulakan perniagaan, dan ramai juga yang kini menjadikan KL sebagai tempat lepak tetap mereka.”
Bagi Chacko Vadaketh pula – seorang bekas peguam yang kini bergelar pelakon dan pengacara – nadi KL sentiasa berada di Dataran Merdeka. Di situlah dia memulakan kerjaya profesionalnya sebagai pelatih dalam kamar (chambering student) di Shearn Delamore & Co., yang ketika itu beroperasi di sebuah bangunan kolonial yang indah berhampiran Masjid Jamek. “Ia mempunyai lif sangkar dan ruang silinder – bangunan itu sangat cantik, sayangnya kini sudah tiada,” kenangnya.

Seluruh kawasan itu – yang dahulunya menempatkan mahkamah, Kelab Diraja Selangor dan Dewan Bandaran Lama – meninggalkan kesan yang mendalam. “Saya suka berjalan di sekitar itu pada waktu makan tengah hari, atau pergi menonton teater selepas kerja. Bangunan-bangunan di situ dipulihkan dengan cukup indah – ia benar-benar membawa rasa yang gembira.”

Beliau turut berkongsi identiti seni bina KL yang unik ini sebenarnya dipengaruhi oleh gaya Mughal dan Moor. “Orang British di sini memilih gaya seperti dalam kisah dongeng – megah dan elegan. Sangat berbeza daripada gaya Grecian yang biasa dilihat di Singapura atau bandar-bandar lain.”

Baginya, keindahan KL terletak pada keasliannya. “Kita tak perlukan lampu berwarna-warni atau pancutan air seperti taman tema. Cukup sekadar dipulihkan dan dibiarkan begitu – KL sememangnya sudah cantik.”

Hubungan Chacko dengan dunia budaya KL sangat mendalam, terutamanya melalui The Actors Studio yang pada asalnya terletak di bawah Dataran Merdeka. “Ia adalah syurga untuk komuniti teater – ada dua pentas, sebuah kafe kecil dan perpustakaan,” di mana bakat-bakat awal seperti Hands Percussion dan Rhythm in Bronze mula berkembang. Daripada menikmati mi bebola daging dan dim sum di gerai-gerai kota, hinggalah ke festival teater di Carcosa Seri Negara, menurut Chacko, KL adalah tentang kenangan, pergerakan dan makna.

Apabila Kuala Lumpur mencari jiwanya semula melalui lensa warisan, satu perkara menjadi jelas: jiwa sesebuah bandar bukan sekadar pada apa yang masih berdir teguhi, tetapi pada apa yang terus hidup – dalam ingatan, dalam gerakkan dan dalam tangan mereka yang menghargainya.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2