Antara pengunjung yang mengambil bahagian ialah seorang usahawan Josephine Tan yang hadir bersama anak perempuannya.
“Di rumah, saya memang menggalakkan keluarga mengamalkan kitar semula, bukan sahaja bagi plastik, malah kertas, tin dan bahan lain. Namun, kami tidak pernah terfikir bahawa penutup botol plastik yang biasanya dibuang boleh diolah menjadi cenderamata yang menarik melalui proses ‘upcycling’. Pengalaman melihat sendiri proses itu memberi perspektif baharu kepada kami tentang potensi bahan terbuang untuk dijadikan sesuatu yang mempunyai nilai dan kegunaan,” tambahnya.
Projek Menghijaukan Kediaman
Selain itu, pengunjung juga berpeluang membawa pulang anak pokok secara percuma menerusi reruai Free Tree Society, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi tumpuan kepada usaha menghijaukan persekitaran dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penanaman pokok.
Ketua Program Free Tree Society, Aliah Rahim berkata, sejak ditubuhkan pada 2012, pertubuhan itu telah mengagihkan lebih 52,000 tumbuhan kepada orang ramai bagi menggalakkan aktiviti penanaman pokok dalam komuniti.