Komuniti Kreatif Menghidupkan Semula Pusat Bandar 

ANN MARIE CHANDY | 20 Febuari 2026

Pelakar tampil dengan penuh semangat bagi Sketchwalk ke-70 anjuran Sketchnation di Bangunan Sultan Abdul Samad hujung minggu lalu.
– Foto: Sketchnation

KUALA LUMPUR memulakan tahun ini dengan langkah pantas. Ketibaan pelancong yang semakin meningkat dan cuti hujung minggu panjang telah membawa aliran pengunjung yang konsisten dalam kawasan bandar yang bersejarah ini. Suasana kota terasa kembali hidup, bukan sekadar sebagai destinasi, tetapi sebagai pentas sivik yang dikongsi bersama. Dari tebing sungai ke studio yang diberi nafas baharu, dari flat awam ke dewan warisan, komuniti kreatif tampil dengan semangat yang baru.

Edisi Playback and Preview WarisanKL.my kali ini telah merakam momentum tersebut. Kita menyaksikan inisiatif akar umbi seperti Puduan Art memupuk perusahaan dalam ruang kejiranan, platform baharu seperti matlab pula memperdalam wacana tentang inovasi bahan, serta Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) yang sentiasa berkembang telah menarik kehadiran yang luar biasa ke tengah-tengah bandar.   
   
Apabila semua kisah ini digabungkan ​​bersama, ia membawa kepada sesuatu yang lebih besar, sebuah komuniti kreatif yang sanggup melangkah lebih jauh untuk menghidupkan semula kota. Bukan sekadar melalui acara berskala besar, tetapi melalui penyertaan, kolaborasi dan keyakinan bahawa budaya perlu hadir dalam ruang kehidupan seharian. Jika bulan-bulan awal ini menjadi penanda aras, tahun 2026 menjanjikan pertemuan bermakna antara warisan, perusahaan dan eksperimen di seluruh Kuala Lumpur.

Puduan Art

Program tiga bulan oleh Hanuni Lifestyle untuk komuniti Puduan Art baru-baru ini melabuhkan tirainya dengan sebuah pameran awam. Bertemakan Dari Kraf Ke Wang, inisiatif ini menghimpunkan 12 peserta berusia antara 12 hingga 60 tahun dalam dua sesi sepanjang Disember dan Januari, yang kemudiannya memuncak dengan penyertaan gerai percubaan di acara Hari Kantin di Pasar Seni dari 23- 25 Jan sebagai pengenalan awal kepada jualan Raya mereka yang bakal berlangsung pada bulan Mac nanti.

Berteraskan semangat Rukun Negara dan sumbangan kepada komuniti, program ini telah dianjurkan sebagai sebahagian daripada aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Flat Sri Sarawak, Pudu dapat memanfaatkan dewan bersama serta ruang komuniti dengan lebih bermakna untuk membina asas perusahaan secara praktikal. Buku kerja komprehensif yang dihasilkan oleh Khadijatul Azada dapat membimbing para peserta melalui aspek penjenamaan, penetapan harga dan modul perniagaan, membawa mereka daripada pembelajaran berasaskan perbincangan kepada penghasilan produk sebenar.


“Saya sangat suka aktiviti membuat kraftangan ini. Saya tidak pernah menyertai bengkel seperti ini sebelum ini, jadi ia benar-benar sesuatu yang menyegarkan,” kata pelajar berusia 16 tahun, Nor Adrina Elyssa (foto diatas, kiri). Bagi Norliza Ahmad (foto diatas, kanan), 60, seorang guru sekolah agama separuh masa, pengalaman itu lebih dari sekadar menghasilkan produk kraftangan. “Memang menyeronokkan untuk belajar membuat lilin dari awal, tetapi saya juga teruja mempelajari strategi pemasaran produk tersebut. Jika ada peluang, saya pasti mahu bekerjasama dengan orang lain untuk menjual produk yang kami hasilkan.”

Pengasas Hanuni Lifestyle, Hanuni Ab Halim berkata misinya adalah “untuk memperkasa komuniti dengan kemahiran yang boleh diterjemahkan kepada pendapatan, sambil mengukuhkan hubungan antara generasi.” Tambahnya, visi jangka panjang mereka pula adalah untuk melihat penduduk menjadi lebih yakin bukan sahaja sebagai pembuat produk, tetapi juga sebagai pemilik jenama yang menyumbang kembali kepada komuniti mereka.
   
“Peserta bengkel kini tidak lagi malu, dan keyakinan diri mereka semakin meningkat,” kata Hanuni. “Mereka cepat belajar dan penuh dengan semangat, memang cukup terserlah semangat mereka.”

Orang ramai boleh mencari Puduan Art di Barzam (Bazar Ramadan) Merdeka di Stadium Merdeka dari 21 Feb hingga 5 Mac.

Para wanita di Flat Sri Sarawak di Pudu bersama mentor bengkel mereka.

Hanuni (tengah) di reruai Puduan Art di Central Market Kuala Lumpur pada bulan Januari. Nantikan wanita-wanita berdaya usaha ini di Barzam Merdeka.

Matlab

Pada Januari lalu, matlab juga telah membuka ruang baharunya di High Street Studios, menandakan satu langkah penting bagi pusat sumber bahan yang diasaskan oleh studio reka bentuk ruang POW Ideas. Disokong oleh Program Geran Kreatif KL di bawah Think City dan dibiayai bersama oleh POW Ideas, ruang ini berfungsi sebagai hab fizikal untuk pereka, penukang dan penggiat kreatif untuk meneroka perpustakaan bahan yang dikurasi rapi. Ia merangkumi bahan-bio seperti blok miselium dan gentian kelapa, inovasi bahan buangan seperti jubin biji kopi dan kepingan plastik kitar semula, selain kayu keras, jubin dan konkrit.

Pembukaan ini diraikan menerusi matfest, festival bahan pertama di KL, sebuah program yang terbahagi kepada lima bahagian. Berlangsung dari September 2025 hingga Januari 2026. Ia menampilkan Huruf Urban Tour, kolaborasi santapan imersif bersama Bono Dining, bengkel pembuatan lampu bersama Dương Gia Hiếu dari Ném Space, sesi perkongsian tanah liat oleh pengkarya seramik Singapura Genevieve Ang, serta sesi meja bulat yang dikendalikan oleh Sarah Merican dari GDP Architects bersama Joanne Chew dari Fictionist Studio.

Secara keseluruhannya, rangkaian acara ini menegaskan misi matlab untuk mencetuskan penerokaan bahan yang lebih mendalam serta dialog rentas disiplin, sekali gus meletakkan ruang baharu di High Street Studios sebagai medan pertemuan untuk eksperimen, kolaborasi dan amalan berasaskan bahan di Kuala Lumpur.
   
Orang ramai boleh mengunjungi matlab di Unit G4, Jalan Tun HS Lee. Lawatan boleh dibuat melalui temu janji sahaja buat masa ini.

Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur

Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur (KLAB) 2026 telah membuka tirai dengan kehadiran pengunjung yang memberangsankan di Pasar Seni dengan edisi mereka yang ke-17 pada penghujung Januari yang lalu. Bertepatan dengan cuti hujung minggu panjang sempena Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan, membolehkan penduduk tempatan dan pelancong berpusu-pusu hadir untuk meninjau pelbagai judul buku.

Dianjurkan oleh Malaysian Book Publishers Association (MABOPA) dengan sokongan penerbit indie, Buku Fixi dan The Patriots Asia, pesta buku selama lima hari itu menampilkan lebih daripada 80 vendor, dengan gerai turut melimpah ke kawasan luar di sekitar bangunan warisan tersebut.

“Kami berjaya mengatasi rekod tahun lalu dengan kehadiran melebihi 106,000 pengunjung kali ini,” kata Amir Muhammad, Pengarah Urusan Buku Fixi dan penganjur bersama.

Kini kukuh bertapak di Pasar Seni sejak 2022, KLAB telah berkembang melangkaui permulaan indie-nya. “Pasar Seni ialah lokasi yang sangat strategik, kami tidak perlu menjelaskan kepada orang ramai di mana tempatnya,” katanya. “Ia mudah diakses dan menarik, dengan aliran pengunjung yang konsisten daripada pelbagai latar belakang. Ada juga yang datang tanpa mengetahui adanya pesta buku, dan itu sebenarnya peluang terbaik untuk menarik mereka yang belum biasa membeli buku menjadi pembeli.”

Apa yang memastikan KLAB kekal relevan dan mengujakan pembaca saban tahun? Menurut Amir, “Saban tahun campuran penerbit berubah sedikit demi sedikit, dan ia mencerminkan apa yang sedang dibeli oleh orang ramai ketika ini. Proses kurasi itu sendiri dapat memastikan pesta ini kekal relevan dengan kelompok pembaca masa ini, sambil sentiasa memerhati kemungkinan yang bakal dibawa pada tahun hadapan.”

KL Riverbank: Pertemuan Komuniti Artistik

Terletak di sepanjang tebing sungai bersejarah tempat Kuala Lumpur mula bertapak, KL Riverbank: Artistic Communities in Confluence membuktikan bahawa lokasi kelahiran kota ini masih tahu meraikan pesta kreatif dengan penuh gaya. Para artis, ilustrator, pereka dan usahawan kraf membuka gerai di tepi sungai, menjadikan koridor sungai sebagai taman idea terbuka yang dipenuhi warna dan perbualan.    

Hujung minggu lalu menjadi contoh jelas. KL Sketchnation meraikan edisi ke-70 dengan perhimpunan meriah di Bangunan Sultan Abdul Samad yang telah dipulihkan indah, menghimpunkan 130 pelakar bersenjatakan pen, cat dan semangat yang melimpah. Di sekeliling mereka, pelukis karikatur melakar wajah-wajah ceria, bengkel seni dan kraf berlangsung rancak, kamera merakam sesi fotografi, manakala pengamen jalanan menghidupkan suasana dengan alunan muzik. Di kawasan River of Life, suasananya terasa kurang formal seperti sebuah program rasmi, sebaliknya lebih menyerupai kampung kreatif yang riang di tepi sungai.   

Masih ada dua lagi sesi untuk menyaksikan kemeriahannya pada 28 Feb hingga 1 Mac, serta 28 hingga 29 Mac. Pengunjung boleh menjangkakan cetakan seni, kraf buatan tangan, zine, ilustrasi, objek reka bentuk dan pelbagai penemuan menarik lain. Namun, KL Riverbank bukan sekadar sebuah pasar kreatif. Ia adalah ruang di mana orang asing menjadi rakan kolaborasi, pengunjung menjadi penyokong, dan sungai menjadi barisan hadapan untuk menyaksikan denyutan nadi kreatif kota ini.

KL Prosperity Walk

Dari 13 hingga 15 Feb, Festival KL Prosperity melahirkan detik yang meraikan bukan sahaja di jalanan, malah yang tak terjangka di gerabak kereta api. Kemeriahan bermula di stesen MRT Pasar Seni, apabila Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) selaku rakan acara menukar stesen itu menjadi titik pertemuan penuh suasana perayaan bagi KL Prosperity Walk. Bersama KL Society dan LOCCO Malaysia, orang ramai hadir mengenakan pakaian tradisional, batik dan busana merah menyerlah, menjadikan stesen tersebut seperti karnival budaya mini sebelum menaiki MRT menuju ke Bukit Bintang dan Tun Razak Exchange (TRX).
   
Sepanjang perjalanan, sentuhan kecil tetapi bermakna turut mencuri perhatian. Piano awam sumbangan Think City menerusi program Arts on the Move telah menarik ramai untuk mencuba bakat, malah YouTuber dan artis Spotify Ray Mak turut membuat penampilan khas. Acara ini sampai ke kemuncak dengan sesi nyanyian spontan ala Keretapi Sarong, apabila Fiza dari LOCCO memimpin lagu Gemilang dan Standing in the Eyes of the World, menjadikan gerabak tren sebagai koir bergerak untuk dua hentian.

Sambutan diteruskan di jalanan, apabila lebih 100 buah gendang bersama kumpulan tarian singa dan naga memeriahkan pusat bandar dengan kepelbagaian rentak dan warna. Di sebalik penganjuran ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga turut bekerjasama dalam membentuk program ini bersama rakan strategik sehingga terhasilnya bazar Tahun Baharu Cina yang meriah di Raintree Plaza yang diserikan dengan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh. Kemeriahan ini memberikan kita sebuah rasa, bahawa kota ini terus berkembang apabila komuniti-komunitinya bersatu.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2