Sebelum acara tarian bermula, pelbagai aktiviti telah disediakan untuk menghiburkan para pengunjung, termasuk aktiviti seni dan kraf untuk kanak-kanak, permainan tradisional seperti congkak, serta sesi bermain kompang bagi sesiapa yang berani mencuba. Maxis selaku penaja utama, turut menyediakan sebuah lounge moden untuk pengunjung festival melihat gajet terbaru mereka sambil berehat dan menikmati suasana acara.
Seperti kebiasaannya, suasana
Jogeton semakin rancak apabila malam menjelang. Kugiran DBKL menghiburkan orang ramai dengan rangkaian lagu-lagu klasik tempatan dan irama joget popular, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, merasmikan pertandingan tersebut dengan simbolik tiupan hon.
DJ Kelvin Oon kemudiannya mengambil alih pentas DJ, memastikan tenaga penonton terus memuncak dengan pilihan muzik yang pelbagai, daripada SM Salim ke Michael Jackson dan ABBA, kemudian daripada Sinaran ke APT yang nyata menggembirakan para pengunjung yang penuh semangat. Persembahan dimulakan dengan lagu Tiru Macam Saya nyanyian Saloma dan diakhiri dengan Madu dan Racun, sambil para penari memenuhi ruang hadapan pentas dan penonton turut menyanyi bersama.
“Saya memang sangat menikmati acara ini walaupun hujan dan kilat,” kata DJ Kelvin. “Perlu ada lebih banyak inisiatif untuk perhimpunan budaya jalanan seperti Jogeton. Kalau bukan sebab acara ini, saya mungkin sukar untuk mencari masa berjalan-jalan di sekitar Bangunan Sultan Abdul Samad yang kini telah dipulihkan dengan sangat cantik!”
Kemuncak keterujaan malam itu tiba apabila Aisha Retno tampil membuat persembahan lagu Jodoh Lebaran sambil menari dengan penuh bersahaja bersama para peserta di lantai tari, sekali gus berjaya menawan hati penonton dalam sekelip mata.
Peserta Sorfina Tawan berkata dia terus mendaftar sebaik sahaja melihat hebahan acara tersebut secara dalam talian.
“Saya memang suka menari, dan bila saya nampak hantaran di media sosial, saya tahu yang saya kena datang juga,” katanya. Tambahnya lagi: “Acara ini memang sangat happening, dapat jumpa macam-macam jenis orang, bukan sahaja penari tetapi juga orang biasa yang tak pernah menari di khalayak ramai, namun semuanya sporting untuk turut serta. Lokasi acara pun memang tepat dengan vibe klasik Bangunan Sultan Abdul Samad yang sekarang nampak sungguh menawan.”