S. INDRAMALAR | 29 Ogos 2025
Bagi Wira Sudepja Rabu dan keluarganya, program Pagi Bebas Kenderaan di KL merupakan peluang yang baik untuk dijadikan aktiviti bersama keluarga. Ia amat sesuai untuk anak perempuannya yang berusia 17 tahun, Nur Wadihan, yang menghidap cerebral palsy dan tidak boleh bertutur, tetapi sering menyertai acara lumba lari di jalan raya bersama ayahnya.
“Kami telah menyertai Program Pagi Bebas Kenderaan di KL ini sejak tahun 2015,” kata Wira Sudepja. “Anak saya terlantar sepenuhnya, tetapi saya berbasikan dengannya sejak bertahun dah. Dia sangat seronok dan sentiasa tersenyum sepanjang masa.”
Wira Sudepja telah memasang pembawa khas pada basikalnya untuk membawa Nur Wadihan. Pasangan ayah dan anak ini merupakan peserta tetap dalam acara larian dan berbasikal, dan mereka juga telah tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR)! Pada tahun 2018, Nur Wadihan dan ayahnya telah menamatkan acara duatlon larian dan berbasikal sejauh 42km yang melayakkannya dicatatkan dalam MBOR sebagai individu pertama dengan cerebral palsy yang berjaya menamatkan acara tersebut. Ibu Nur Wadihan, Nur Murni Dona Mohd Nordin, 51, dan kakaknya, Nur Wirdani, 23, juga merupakan peserta tetap dalam acara bebas kenderaan ini.
Wira Sudepja Rabu dan keluarganya telah mengambil bahagian dalam acara KL Car Free Morning sejak 2015. – Foto: S. Indramalar
“Pada mulanya saya mencari ruang yang kurang sesak untuk aktiviti kami. Selepas beberapa ketika, saya memutuskan untuk mencuba membawanya ke sini. Saya mengambil masa berbulan-bulan mencari program yang sesuai untuk membawanya, dan saya melihat program bebas kenderaan adalah pilihan yang baik. Saya rasa ini merupakan platform yang bagus untuk memupuk semangat kebersamaan dan keterangkuman.”
“Apabila kami mula menyertai acara larian dan berbasikal, saya ada rasa bimbang dan gementar tentang bagaimana persepsi orang ramai terhadap kami. Tetapi saya nekad untuk mencubanya juga. Saya dapati bahawa Dihan menjadi tumpuan kerana cara unik kami berlumba. Orang ramai mula mendekati kami dan ingin tahu lebih lanjut tentang Dihan. Kini dia menjadi sumber inspirasi kepada orang lain, dan segala kebimbangan serta keresahan saya hilang begitu sahaja,” kata bapa berusia 50 tahun itu.
Program Pagi Bebas Kenderaan ini, telah dianjurkan oleh DBKL dengan kerjasama rakan strategik mereka, diadakan pada setiap hari Ahad, dari jam 7 pagi hingga 9 pagi. Ia merupakan inisiatif hijau untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong di Kuala Lumpur melalui sukan rekreasi, seni dan aktiviti kebudayaan. Program ini juga sebahagian daripada usaha global untuk melindungi alam sekitar serta menyokong aspirasi Perjanjian Paris dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2015.
Beberapa jalan utama di bandar akan ditutup kepada kenderaan bermotor, bagi mewujudkan ruang selamat untuk aktiviti berbasikal, berlari, bermain kasut roda dan berjalan kaki. Acara ini bermula di Dataran DBKL (berhampiran Dataran Merdeka) dan membawa para peserta melalui laluan sejauh lima atau tujuh kilometer di sekitar jalan-jalan utama di Segitiga Emas Kuala Lumpur.
Lim Kit Wei, 43, merupakan seorang peserta secara “tidak sengaja” dalam acara Pagi Bebas Kenderaan KL baru- baru ini. Dengan berbaju lengan pendek dan seluar chinos, dia kelihatan agak berbeza dari pelari, penunggang basikal dan pengguna kasut roda yang lain.
“Saya sebenarnya tidak tahu tentang acara ini. Saya sedang berjalan di sekitar bandar untuk mengambil gambar apabila saya ternampak sekumpulan orang yang kelihatan seperti seronok. Ia tidak seperti maraton biasa kerana para peserta nampak lebih santai dan terdapat pelbagai lapisan peserta, pelari, penunggang basikal, pengguna skuter elektrik dan juga yang hanya berjalan kaki. Saya tanya orang disitu sama ada saya boleh sertai, dan saya pun ikut serta. Ia sangat menyenangkan,” kata Lim, yang menetap di Petaling Jaya.
Seorang lagi peserta, Divya Raman, berkata bahawa dia hanya menyertai acara ini “sekali-sekala” sejak beberapa tahun lalu.
“Saya dan kawan-kawan rasa acara ini tidak setegang maraton biasa. Suasananya lebih seperti karnival. Memang ada pelari yang lebih serius, tetapi ramai juga keluarga yang berjoging, berjalan kaki atau berbasikal bersama-sama,” katanya. “Dan, memang seronok dapat meneroka bandar ketika tiada kereta dan motosikal!”
Untuk maklumat lanjut: https://klcarfreemorning.my atau anda boleh rujuk Instagram @klcarfreemorning
Gambar-gambar di bawah semasa edisi khas KL Car Free Morning, 'Perarakan Asean Budaya', yang diadakan pada awal Ogos menampilkan kostum, budaya dan komuniti yang menakjubkan! – Foto: DBKL
Discover more stories