Seni Dalam Penyertaan

ELLFIAN RAHIM | 6 April 2026

Mesra dan interaktif – bengkel serta studio kreatif Kuala Lumpur – daripada lukisan dan cetakan hingga kraftangan – mengajak semua orang mencuba, menjadikan seni mudah diakses dan menyeronokkan.

Bagi Jeffrey Lim, fotografi bukan hanya sekadar tentang sebuah imej, tetapi ia tentang cara melihatnya.
Dengan pengalaman lebih 25 tahun di sebalik lensa, apa yang dipraktikkan bergerak secara lancar antara dokumentasi dan eksperimen, sering berinteraksi dengan naratif sosial melalui pemetaan budaya, instalasi performatif dan konsep imej.

Karya-karyanya diilhamkan daripada objek yang ditemui, ruang kehidupan seharian dan pemerhatian yang halus, sebuah pendekatan berlapis yang mencerminkan kepekaan mendalam terhadap dunia di sekelilingnya.   
     
Hari ini, kepekaan yang sama itu telah membentuk peranannya sebagai seorang pendidik.


Di Kanta.Studio & Kanta.Darkroom oleh Jeffrey Lim di GMBB – fotografi jadi praktikal. Peserta diajak melambat, bereksperimen dan merasai seni dari dekat – mudah diakses dan menyeronokkan.

Di Kanta.Studio dan Kanta.Darkroom, kedua-duanya terletak di dalam GMBB, Lim telah mewujudkan ruang yang terasa seperti makmal dan juga bilik darjah. Di sini, fotografi kembali kepada asasnya yang bersifat sentuhan, filem, bahan kimia, cahaya dan masa.    

Dengan menggunakan kamera yang telah dipulihara berusia lebih satu abad serta teknik cetakan perak tradisional, beliau mengajak para peserta untuk memperlahankan langkah dan mendalami seni ini dalam bentuknya yang paling asas.

“Di sekeliling saya, saya melihat satu kecenderungan ke arah pendekatan yang lebih ‘hands-on’, kembali kepada teknik dan kaedah yang lebih asas sejak kebelakangan ini untuk mempelajari seni fotografi itu sendiri,” katanya. “Buat masa ini, saya mengendalikan bengkel hujung minggu sekali setiap bulan, serta tutorial dan modul mengenai fotografi filem, fotografi seni kreatif dan cetakan darkroom.”    
    
Sesi-sesi ini bukan sekadar tentang kemahiran teknikal. Ia tentang belajar semula cara melihat, bagaimana untuk peka terhadap cahaya, tekstur dan perincian yang sering terlepas dalam kepantasan dunia digital.    

Dalam erti kata itu, bengkel Lim adalah sebahagian daripada perubahan yang lebih besar: keinginan yang semakin meningkat untuk menjadikan seni bukan sekadar sesuatu untuk dinikmati, tetapi sesuatu untuk dialami dan dicipta.     

Semangat ini turut meluas ke seluruh GMBB itu sendiri. Apa yang dahulunya dirancang sebagai pusat borong fesyen, kini telah berkembang menjadi hab yang hidup untuk komuniti kreatif.     

Seperti yang dijelaskan oleh Lim Ying Xian, Pengurus Kanan Program dan Kerjasama: “Transformasi GMBB menjadi sebuah ruang untuk golongan kreatif bermula apabila para pengasasnya menyedari keperluan untuk sebuah ruang di ibu kota Malaysia yang pesat membangun, yang mampu memperkasakan kreativiti dengan cara yang baharu. 
     
"Perubahan ini diinspirasikan oleh kekaguman pengasas terhadap ruang seni yang berjaya di luar negara, seperti 798 Art Zone di Beijing dan PMQ di Hong Kong, serta pemerhatian mereka terhadap keperluan Malaysia untuk ruang fizikal di mana kreatif tempatan, artis dan penggiat seni boleh berkembang.     

“Sebagai sebuah pusat komuniti kreatif, kami bukan sahaja mahu menempatkan artis dan penggiat seni, tetapi juga membantu mereka membina komuniti dan memupuk ekosistem. Kami mahu menekankan aspek kebersamaan dalam seni, dan menjadikannya asas kepada segala yang kami lakukan.”

Phrygian Acraft Crafted & Curated Goods di GMBB kini menawarkan bengkel pembuatan kulit.

Hari ini, visi tersebut jelas kelihatan di setiap tingkatnya. Ruang seperti Fusion Wayang Kulit, Phrygian Acraft Crafted & Curated Goods, The Fluid Box, Lasprecious Design, Lipstick Diary, Bojen Sam Art & Creativity, Yu Wagashi, Shi Terrazzo Atelier dan Summer Galleries menawarkan lebih daripada sekadar produk siap, ia membuka ruang kepada proses penciptaan itu sendiri.

Pengunjung boleh mencuba pelbagai aktiviti, daripada pembuatan terrazzo dan ilustrasi hinggalah kraftangan dan reka bentuk, selalunya dibimbing oleh artis sendiri.   

Pengalaman ini bersifat santai, mudah diakses dan mesra. Anda tidak memerlukan sebarang pengalaman, cukup sekadar rasa ingin tahu.           
     
Pendekatan yang sama juga dapat dilihat di Central Market Kuala Lumpur, yang sekian lama dikenali sebagai salah satu pusat kreatif paling bersejarah di bandar ini. Di sini, bengkel dan pengalaman secara langsung menjadi sebahagian daripada perjalanan pengunjung.     

Studio seperti Ainna Artwork dan gerai kraftangan pop-up menawarkan peluang untuk mencuba seni lukisan dan hasil tangan. 

Di Bear It Arts & Craft Workshop, pengunjung boleh belajar untuk menyesuaikan plushie mereka sendiri. Studio ini juga memperkenalkan satu trend kraftangan unik dari China yang dikenali sebagai Decodent Cream, di mana pelanggan menghias permukaan dengan gam berwarna-warni dan pelbagai aksesori kecil yang menarik.

Di Bear It Arts & Craft Workshop, bengkel untuk semua peringkat umur mengajak pengunjung terlibat, berkreasi dan menonjolkan sisi seni mereka.

Pemiliknya, Cynthia Chuah, mengendalikan pelbagai bengkel di sini untuk kanak-kanak, pasangan dan sekumpulan rakan-rakan yang datang bersama. Daripada mewarna figura plaster dan tabung duit hinggalah menghasilkan karya batik, ada sesuatu untuk semua.     

“Melalui ini, saya dapat menggabungkan dua minat terbesar saya, kreativiti dan kanak-kanak. Matlamat saya adalah untuk mewujudkan sebuah ‘taman permainan’ bagi kanak-kanak bereksperimen dan menyelami kreativiti mereka,” kata Chuah.

Di luar dinding Central Market, ekosistem ini terus berkembang. Tidak jauh di Lorong Panggong, terdapat lostgens.artspace yang memperkenalkan pengunjung kepada teknik cetakan seni.    

Di Kwai Chai Hong yang berdekatan, musim perayaan sering membawa bengkel seni dan kraftangan pop-up seperti lukisan berus Cina dan seni potongan kertas ke ruang awam, manakala di sepanjang River of Life, kelas seni SketchNation mengajak orang ramai berhenti seketika dan melakar bandar mengikut perspektif mereka sendiri.      
   
Di Bangunan Sultan Abdul Samad, School of Hard Knocks oleh Royal Selangor memperkenalkan peserta kepada tradisi kerja logam. Di Museum of Science Arts and Innovation for Children di Jalan Tun Perak, sentiasa ada peluang untuk meneroka, mencipta dan mereka bentuk. 

Muzium Kesenian Islam Malaysia juga merupakan satu lagi ruang berdekatan yang kerap menganjurkan bengkel, daripada sulaman hingga cetakan silkskrin dan lukisan corak geometri.

Bengkel di Lost Prints, kini menjadi acara tetap di lostgens.artspace, memberi pengunjung peluang untuk bereksperimen, mencipta dan terlibat secara praktikal dengan seni. – Foto: Lost Prints

Secara keseluruhannya, ruang-ruang ini mencerminkan satu perubahan yang lebih luas dalam cara seni dialami di Kuala Lumpur. Ia tidak lagi terhad kepada galeri atau institusi, sebaliknya mengalir ke pusat beli-belah, bangunan warisan, lorong-lorong kecil dan kawasan tepi sungai.

Lebih penting lagi, ia mengajak penyertaan ramai.    
    
Bagi keluarga, ia menjadi aktiviti yang dikongsi bersama. Bagi golongan muda, ia satu bentuk ekspresi diri. Bagi pengunjung, ia membuka ruang untuk berhubung dengan bandar ini secara lebih bermakna. Dan bagi mereka yang mungkin tidak pernah menganggap diri mereka “artistik”, ia menawarkan titik permulaan yang lembut, satu bengkel, satu eksperimen, satu penciptaan kecil pada satu masa.

Dalam landskap ini, seni menjadi kurang tentang penguasaan, dan lebih tentang rasa kebersamaan.

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2