Ritma Abadi Kopitiam Hainan

ALEX DAUD BRIGGS | 6 April 2026

Lebih daripada sekadar kopi – Ho Kow telah lama menyemarakkan suasana Chinatown, tempat jiran bertukar cerita, membaca akhbar, dan mengeratkan hubungan sambil menikmati secawan kopi O atau Hainam Cham. – Foto: Way Studio

KUALA LUMPUR merupakan rumah kepada pelbagai cita rasa, daripada kopi buatan sendiri yang dibancuh menggunakan bahan tempatan hinggalah kepada jenama global yang dibawa masuk dari seluruh dunia. Di sebalik kepelbagaian ini, ada kopitiam yang bukan sekadar tempat makanan dan minuman, tetapi kekal sebagai tiang buat budaya serta komuniti di sekitarnya.

Falsafah inilah yang dibawa oleh Koo Wei How dalam kerjanya setiap hari. Bermula seawal jam 5 pagi, beliau memulakan persiapan kopi Hainan tradisional yang dibancuh daripada resipi turun-temurun, hasil daripada 70 tahun ilmu dan warisan. Koo ialah pewaris generasi keempat Ho Kow Hainanese Kopitiam. Ditubuhkan pada tahun 1956, ia merupakan salah satu kafe tertua di bandar ini.
    
Diasaskan oleh moyangnya, Ho Kee Soon, Koo telah menghabiskan seluruh hidupnya terikat dengan kopitiam tersebut. Beliau masih mengingati permulaannya yang sederhana sebagai sebuah kedai kecil berbumbung zink, serta kenangan bermain di lorong belakang kawasan yang suatu ketika dahulu merupakan antara kawasan paling sibuk di Kuala Lumpur. 
   
Kafe ini terletak di Kwai Chai Hong, sebuah lorong popular berhampiran Petaling Street yang kini dikenali dengan seni grafiti yang meriah, mural berunsur klasik serta kafe-kafe bebas yang menarik pelancong dari seluruh dunia. Namun pada masa dahulu, kawasan ini mempunyai sisi yang lebih gelap. Ia merupakan tempat gangster berkumpul, sarang perjudian dan rumah pelacuran.

70 tahun tradisi, diseduh segar setiap pagi – Koo Wei How di kedai klasik Ho Kow Hainam Kopitiam di KL.

Dalam persekitaran sebegitu, Koo mengaitkan kelangsungan kafe ini kepada pewaris generasi ketiga; ibunya, Ho Sook Chan.

“Mak saya, Madam Ho Sook Chan, mewarisi kemahiran ini daripada ayahnya. Sejak kecil lagi dia terlibat dalam perniagaan dari zaman datuknya, ibu saya menghabiskan puluhan tahun menyempurnakan seni membancuh kopi, sehingga akhirnya mencipta Hainam Cham yang terkenal di Ho Kow.”  

Hainam Cham hasil tangan Madam Ho kekal sebagai kopi istimewa Ho Kow. Ia dihasilkan mengikut resipi yang dijaga rapi dan diperhalusi selama berdekad lamanya.    

Satu “nisbah emas” yang menggabungkan biji kopi Robusta panggang gelap untuk aroma yang kuat dan berasap, dipadankan dengan teh hitam Sri Lanka yang memberikan rasa manis yang berpanjangan. Hasilnya ialah secawan kopi yang kaya, dengan tekstur yang lebih kompleks dan lebih halus berbanding kopi biasa.    

“Perbezaan utama terletak pada prosesnya,” kata Koo. “Kopi istimewa menekankan rasa asli, dengan fokus pada kawalan suhu untuk menonjolkan keasidan semula jadi, aroma flora dan kacangnya. Sebaliknya, biji kopi kami dipanggang bersama mentega dan gula. Pada suhu tinggi, gula akan menjadi karamel, menyelaputi biji kopi dan menghasilkan rasa berasap yang pekat seperti coklat gelap pada bahagian luarnya, sesuatu yang kita tidak dapat pada kopi Barat.”     

Selain minuman yang unik ini, Ho Kow bukan sekadar tempat untuk membeli minuman. Selama bertahun-tahun, ia berfungsi sebagai pusat komuniti penting bagi masyarakat Chinatown dan nadi Kuala Lumpur. Jiran-jiran berkumpul untuk bertukar cerita, membaca akhbar dan mengeratkan hubungan sambil menikmati secawan kopi.      
 
Malah hingga hari ini, pelanggan lama masih membawa ahli keluarga yang lebih muda untuk merasai pengalaman tersebut, mewariskannya kepada generasi baharu. Memelihara Ho Kow bukan sekadar mengekalkan resipi, tetapi juga memastikan pengalaman kopitiam Hainan Malaysia yang asli terus hidup. 

Perkara ini menjadi semakin jelas pada tahun 2018, apabila kopitiam tersebut menerima notis pengusiran secara tiba-tiba dan terpaksa mengosongkan premis asalnya. Berita itu mencetuskan bantahan serta rasa kehilangan yang mendalam dalam kalangan komuniti. Walau bagaimanapun, kehilangan itu segera bertukar menjadi sokongan dan kesetiaan apabila para pelanggan setia tampil memberi sokongan kepada Ho Kow.        

Reaksi inilah yang mendorong keluarga tersebut untuk terus bertahan dan akhirnya berjaya membuka semula di lokasi yang baharu.

Ho Kow versi moden kini terletak tidak jauh dari tapak asalnya. Seiring dengan usaha pemulihan semula kawasan Kwai Chai Hong, ia kini beroperasi di sebuah bangunan berunsur rustik yang lebih besar dengan dua tingkat, mampu menampung lebih ramai pelanggan.     

Ruang ini masih mengekalkan susun atur rumah teh tradisional, dengan gambar-gambar di dinding yang mencerminkan perjalanan hidup masa lalu. Koo menyatakan bahawa walaupun mereka telah berkembang dari segi penjenamaan visual dan operasi, suasananya tetap berakar pada tradisi.

“Orang ramai datang kembali ke Ho Kow bukan sekadar untuk mengisi perut, tetapi untuk mencari rasa kebersamaan. Pernah seorang pelanggan memberitahu saya bahawa ketika dia dibawa ke tempat duduk di tingkat atas, detik itu serta-merta mengingatkannya kepada rumah neneknya. Perincian kecil yang dirasai melalui pancaindera itulah yang mencetuskan memori peribadi yang mendalam.    

“Dalam dunia yang serba pantas hari ini, Ho Kow menawarkan ruang yang berbeza, satu tempat perlindungan daripada kesibukan. Apabila anda menikmati seteguk kopi Hainan yang sarat dengan sejarah puluhan tahun, anda akan merasai getaran emosi yang tidak mampu ditiru oleh rangkaian kopi moden. Kami bukan sekadar menjual makanan atau minuman; kami menawarkan kenangan dan hubungan dengan masa lalu.”     

Koo percaya bahawa “cara lama” tidak semestinya bermaksud ketinggalan zaman, dan budaya kopitiam Ho Kow sememangnya bersifat abadi. Jika anda berkunjung pada pagi Ahad yang tenang, anda mungkin terkejut melihat orang ramai berkumpul di luar, menunggu dengan sabar melalui sistem nombor giliran untuk mendapatkan tempat duduk. Walaupun beberapa generasi sudah berlalu, tetapi ramai yang akan bersetuju dengannya.

Langkahlah ke Ho Kow, di mana setiap hirupan kopi Hainan membawa bersama puluhan tahun sejarah. – Foto: Ho Kaw Hainam Kopitiam FB

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2