Kuala Lumpur Hidup di Atas Pentas

SOFIA SHAMSUNAHAR | 30 March 2026

Artis seperti penyanyi-penulis lagu-pelakon dari Sabah, Ronnie, menghidupkan ruang persembahan langsung di kota ini; kehadirannya terasa dalam setiap nota, menjadikan setiap set sesuatu yang dekat dan intim. – Foto: MUAMMAR ANSARI

KUALA Lumpur menzahirkan lanskapnya bukan sahaja melalui pemandangan, tetapi juga melalui bunyi. Jika anda melangkah ke kota ini selepas waktu senja, anda akan menemui muzik di pelbagai ruang. 

Seorang penyanyi yang mampu mewarnai suasana yang hening, DJ yang membina set hingga ke awal pagi, atau kumpulan muzik yang menghidupkan pentas kecil dengan tenaga luar biasa. 
    
Daripada lokasi intim yang tersembunyi di jalan-jalan lama hingga ke dewan konsert yang lebih besar, muzik dimainkan secara langsung di sini merentas genre dan generasi, mencerminkan identiti kota yang berlapis.

Dalam landskap ini, peranan lokasi persembahan adalah amat penting. Ia bukan sekadar pentas, tetapi titik pertemuan antara ruang, di mana pemuzik mengasah bakat dan penonton hadir dengan kesediaan untuk mendengar. 

Antaranya ialah Jao Tim, yang terletak di Jalan Sultan, di mana sebuah rumah kedai pra-perang diolah semula menjadi ruang untuk mendengar muzik yang mendekatkan, ditemani dengan kejelasan bunyi. 

Di seberang kota pula, Bobo KL pula menawarkan suasana intim yang berbeza dengan persembahan gaya kabaret dan set muzik langsung yang membawa penonton lebih dekat dengan pentas.

Di dalam Jao Tim, sebuah kedai warisan pra-perang yang dipulihara menjadi ruang mendengar di mana bunyi terasa jelas, dekat dan sengaja diatur – sentuhan Art Deco dan sudut intimnya menggabungkan sejarah ke dalam suasana muzik langsung bandar ini.

Terletak dalam bangunan yang dipulihkan dari era 1910-an di sepanjang Jalan Sultan, Jao Tim membawa rasa sejarah ke dalam landskap muzik langsung kota. 

Ruang yang diolah semula sebagai kafe, bar dan ruang acara, dalaman berinspirasikan Art Deco, dengan siling tinggi, kemasan tembaga, dengan sentuhan emas dan sudut-sudut intim, mewujudkan suasana yang terasa nostalgik dan disusun dengan penuh pertimbangan. 

Ruang seperti ini menambah lapisan kepada pengalaman pendengar, di mana muzik berkembang dalam dinding yang telah berdiri merentasi generasi, mengakar persembahan kontemporari dalam kisah kota yang sentiasa berubah.

Dalam ruang-ruang sebegini, generasi baharu penggiat muzik semakin menyerlah, antaranya ialah penyanyi kelahiran Sabah, Ronnie.

Ronnie Quiamco, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Ronnie. Dia kini berusia 37 tahun, bergerak lancar antara R&B dan pop dan melihat genre ini bukan sebagai batasan tetapi sebagai titik permulaan. Dalam suasana persembahan langsung, keterbukaan itu menjadi kekuatannya.

“Anda tidak boleh benar-benar memisahkan muzik daripada momen itu sendiri,” katanya. “Setiap persembahan terasa berbeza kerana penonton membawa tenaga yang berbeza. Tugas saya adalah untuk bertemu mereka di situ dan menjadikannya satu pengalaman yang boleh dikongsi bersama.”

Rasa pertukaran itu menjadi teras kepada budaya muzik langsung di Kuala Lumpur. Berbeza dengan suasana konsert yang berskala besar yang mana lokasinya mementingkan keluasan, kebanyakan ruang di kota ini mengutamakan jalinan, jenis ruang yang membolehkan pemuzik untuk membaca suasana, mengubah tempo, memanjangkan nota atau menahan diri pada saat yang tepat.

Ronnie memanfaatkan dinamik itu sepenuhnya. Berbekalkan latar belakang dalam teater muzikal, dia melihat setiap persembahan sebagai satu lengkungan naratif, bergerak antara emosi dan tekstur dengan lancar. 

Ada malam yang menyaksikan dia mempersembahkan karya asli yang dibentuk daripada pengalaman peribadi, ada pula yang berasaskan interpretasi semula lagu-lagu yang dikenali, tetapi diberi nafas baharu melalui suaranya.

“Selain muzik, saya juga terlibat dalam lakonan pentas teater muzikal,” kongsinya. “Itu memang mempengaruhi cara saya membuat persembahan. Saya memikirkan tentang rentak, penceritaan, dan bagaimana untuk membawa penonton bersama saya.”   

Diiringi kumpulan lima anggotanya, The Orbitons, persembahan Ronnie membawa gabungan kematangan dan spontan. Kumpulan ini yang disifatkannya sebagai “antara yang paling berpengalaman, mahir dan luar biasa berbakat dalam ‘scene’ ini”, telah menyediakan asas kukuh yang membolehkannya bereksperimen dalam setiap momen.

– Foto: MELVIN CHAN / @ahhmellll

Katanya, sensitiviti muzikal yang dimiliki terbentuk sejak awal lagi, sewaktu di Sandakan, Sabah, di mana pelbagai bunyi mengisi kehidupan seharian.

“Membesar di Malaysia bermakna dikelilingi pelbagai jenis muzik. Sama ada muzik tempatan mahupun antarabangsa, lama dan baharu,” katanya. “Saya melalui pelbagai fasa, daripada rock Melayu awal 1990-an hingga pop Malaysia era 1990-an dan 2000-an, di samping R&B Inggeris yang memang saya minati. Semua itu bergabung dalam cara saya mengekspresikan dan mentafsir muzik.”
   
Gabungan itu jelas terserlah dalam persembahan bertema. Konsert tribute daripada ABBA hingga artis seperti Justin Timberlake dan Mariah Carey, ia bukan tentang meniru gaya mereka, tetapi lebih kepada menterjemahkan semula penyampaian lagu itu.
   
“Untuk persembahan khas seperti tribute ABBA, kami meraikan muzik tersebut sambil menambah sentuhan peribadi saya,” katanya. “Tenaganya memang luar biasa. Anda akan melihat penonton daripada pelbagai peringkat umur, keluarga yang berhubung melalui lagu-lagu yang mereka kenali.”
    
Namun di sebalik persembahan yang menghiburkan ramai, muzik aslinya tetap menjadi teras baginya.
    
“Menyanyikan lagu sendiri sentiasa memberi emosi yang mendebarkan,” katanya. “Tetapi apabila ada penonton yang sudi mendengar anda ‘meluahkan sepenuh hati’, itu sentiasa menjadi kenangan yang bermakna.”
    
Kesediaan untuk mendengar, inilah yang telah dibentuk oleh penonton muzik langsung di Kuala Lumpur dari semasa ke semasa. Dalam ruang di mana keheningan menjadi sama pentingnya dengan bunyi, karya asli diberi ruang untuk benar-benar menyentuh hati pendengar dan kekal dalam ingatan.

Perjalanan Ronnie dalam landskap ini turut dibentuk oleh Jao Tim, tempat dia menjadi artis utama bagi persembahan berbayar pertamanya. Satu pencapaian penting yang menandakan kemasukannya ke dalam dunia persembahan langsung di kota ini.

“Saya memulakan langkah dalam dunia muzik langsung dengan menjadi artis utama untuk persembahan pertama saya di Jao Tim,” imbasnya. “Saya suka keakraban yang terhasil dengan penonton. Saya sentiasa tertarik kepada ruang yang membolehkan saya berhubung dengan pendengar dengan cara itu, kerana hubungan itulah yang paling penting.”

Jon Teo, pemilik Jao Tim, adalah antara mereka yang secara senyap membentuk lanskap bunyi bandar ini – mengekalkan suasana muzik langsung, satu ruang pada satu masa.

Bagi pemilik Jao Tim, Jon Teo, hubungan itulah yang mentakrifkan seorang penghibur.

“Ronnie ialah seorang penghibur yang hebat dan vokalis yang luar biasa,” katanya. “Dia membawa anda mengembara melalui muziknya, dan anda dapat melihatnya di dalam ruang itu penuh senyuman, keterujaan, serta cara penonton memberi respons apabila dia bergerak dari satu lagu ke lagu yang lain.”
 
Dinamik ini mencerminkan sesuatu yang lebih besar dalam ekosistem muzik langsung Kuala Lumpur. Di sebalik kepelbagaian genre dan ruang, apa yang menyatukannya ialah satu kefahaman bersama iaitu bahawa muzik langsung pada asasnya adalah hubungan antara artis dan penonton.

Ruang seperti Bobo KL dan Jao Tim terus memupuk hubungan ini, menyediakan platform untuk pemuzik mencuba karya baharu, menghidupkan kembali pengaruh lama dan, yang paling penting, berkembang.

“Sebagai seorang penggiat persembahan, Jao Tim memang ruang pilihan saya,” kata Ronnie. “Bobo KL juga antara kegemaran saya. Kedua-duanya memberi saya peluang untuk berhubung dengan penonton dan membawa tenaga yang saya dan kumpulan saya sasarkan, sekali gus mewujudkan suasana yang meriah untuk semua.”

Dalam sebuah kota yang sentiasa berubah, muziknya turut berkembang, ia dibentuk oleh manusia, ruang dan momen yang mereka cipta bersama. Bagi artis seperti Ronnie, pentas bukan sekadar tempat untuk muzik dipersembahkan, tetapi ruang di mana Kuala Lumpur menemukan salah satu daripada banyak suaranya.

Jao Tim akan ditutup buat sementara waktu bagi kerja-kerja ‘pembaharuan’ selama sebulan bermula 1 April. Namun, tapi jangan risau, mereka akan kembali beroperasi tidak lama lagi.  

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2