Keretapi Sarong 2025 Satukan lebih 20,000 Rakyat Malaysia

ANN MARIE CHANDY | 16 September 2025

Kini telah memasuki tahun kesembilan, Keretapi Sarong telah berkembang daripada gerakan flash kepada tradisi ikonik sambutan Hari Malaysia. Setiap tahun, ribuan rakyat Malaysia mengenakan sarong, kain pelikat dan pakaian batik sebelum bersama-sama menaiki kereta api, menjadikan pengangkutan awam sebagai perayaan bergerak bagi meraikan warisan dan perpaduan.

Bagi edisi 2025 (KS25), yang berlangsung pada Sept 13 lalu telah membawakan tema Serumpun – menonjolkan kekuatan kepelbagaian budaya Malaysia dan warisan bersama rantau Nusantara. Lebih 20,000 peserta memulakan perjalanan dari stesen-stesen utama di sekitar Lembah Klang termasuk Subang Jaya, Kajang, KL Sentral, Putrajaya Sentral, UPM dan Gombak, sebelum berhimpun di TRX bagi menjayakan sehari yang penuh dengan muzik, tarian, persembahan budaya dan acara joget lambak yang pastinya ditunggu-tunggu.

Keluarga, Rakan dan Peserta Kali Pertama
Antara ribuan peserta ialah Nurul Awanis, yang menyertai acara dari Subang Jaya bersama suaminya, Mohd Hafidz Shamsir, dan tiga orang anak lelaki mereka.

“Suami saya bekerja sebagai tentera udara dan biasanya agak sukar nak ajak dia sertai acara macam ni… tapi entah kenapa, kali ini dia begitu bersemangat nak datang ke KS25, siap menyanyi riang dalam tren!” katanya sambil ketawa.

Bagi keluarga ini, detik paling istimewa ialah apabila tiba di TRX dan menyaksikan persembahan budaya. Anak-anak mereka turut serta dalam joget lambak dan seronok bermain permainan tradisional dalam acara itu.
Nurul Awanis, suaminya Mohd Hafidz Shamsir, serta tiga anak mereka – Muhammad Adam Shamsir, Muhammad Noah Shamsir dan Muhammad Malique Shamsir – bergembira sakan di KS25.

“Memang sangat menyentuh hati bila menyanyikan lagu Negaraku bersama semua orang – rasa begitu bersyukur kerana tinggal di negara yang aman dan harmoni,” kata Nurul. “Acara seperti ini sangat membantu membina keyakinan diri anak-anak kami. Mereka langsung tak rasa malu, malah dengan gembira menjerit ‘Merdeka!’ bersama orang ramai.”

JC dan teman wanitanya, Christina, tidak menyesal hadir ke KS25, malah teruja menikmati suasana meriah penuh budaya.

Buat JC Wong, 34 tahun, dari Subang Jaya, yang baru pertama kali menyertai acara ini, dia menyifatkan acara ini sebagai satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. “Jumlah peserta memang luar biasa, dan suasana dalam LRT sangat meriah,” katanya. “Kemuncaknya sudah tentu di TRX – pentas yang menarik, persembahan yang hebat, dan melihat semua orang dalam pakaian tradisional. Walaupun hujan, semangat tetap tinggi. Ia satu hari yang saya tak akan lupakan.”

Bagi Muhammad Zamir Naufal, 21, dari Shah Alam, hari tersebut bukan sahaja penuh semangat patriotik, tetapi juga bersifat peribadi. Mengenakan tanjak yang diinspirasikan daripada tarian Terinai dari Perlis, dia cuba mengetengahkan negeri utara yang sering dipandang sepi.

“Saya percaya ini adalah cara yang baik untuk memelihara warisan kita dan menyemarakkan semangat patriotik. Terutamanya untuk remaja dan golongan muda, acara ini juga menjadi platform untuk mempromosikan budaya kita — bukan sahaja buat masyarakat tempatan, tetapi juga buat pelancong,” katanya sambil mengimbas kembali pengalamannya menerangkan tentang Hari Malaysia kepada pelawat yang ingin tahu di TRX.

Dengan pakaian tradisional yang berwarna-warni, Iman Azzahara, Jennifer Rathabai dan Muhammad Zamir Naufal turut bersama ribuan yang lain meraikan semangat perpaduan dan patriotisme di Keretapi Sarong 2025.

Kisah Merentasi Generasi

Bagi sesetengah orang, Keretapi Sarong sudah menjadi acara tahunan. Seperti Jennifer Rathabai, seorang pensyarah yang telah menyertai acara ini sebanyak empat kali, malah membawa tradisi ini ke luar negara.
“Pada tahun 2023, saya berada di Jepun, jadi saya sambut Hari Malaysia bersama pelajar saya dalam sebuah tren di Osaka. Saya pakai kebaya dan kibarkan bendera Malaysia sambil kami menyanyi dan menari. Lucu juga, sebab di Jepun sepatutnya kita senyap dalam tren — tapi masa tu Hari Malaysia, jadi saya langgar peraturan tu!” katanya sambil ketawa.

Tahun ini, Jennifer menyertai acara sebagai sebahagian daripada Persatuan Baba Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor, dengan mempersembahkan tarian di TRX. Mengenakan kebaya, Katanya penyertaan ini adalah lambang cintanya terhadap Malaysia serta untuk mengetengahkan warisan Melaka Chitty dan Baba-Nyonya miliknya.
 
Peserta muda juga turut menemui makna dalam sambutan ini. Kata Iman Azzahara, 19, pelajar dari Intec Education College, yang telah mengenakan pakaian tradisional sepanjang tempoh sambutan Merdeka dan Hari Malaysia tahun ini.
 
“Ini adalah usaha kecil saya sendiri untuk tunjukkan semangat patriotik… dan siapa tahu, tahulah,” katanya. “Saya memang agak pemalu dan tak begitu suka berada dalam majlis keramaian, tapi saya tetap seronok jadi sebahagian daripada sambutan ini. Joget lambak sangat indah untuk dilihat – ribuan rakyat Malaysia menari bersama-sama.”

Jom naik tren! Selepas berkumpul di pelbagai stesen sekitar Lembah Klang, para peserta menaiki tren menuju ke TRX, di mana sambutan diteruskan dengan persembahan, permainan serta pelbagai aktiviti menyeronokkan dan hadiah percuma.

Tradisi yang Menyatukan

Bagi pengasas bersama LOCCO dan pengarah program KS2025, Shamsul Bahrine Zainuzzaman, perkembangan berterusan Keretapi Sarong membuktikan bagaimana satu idea ringkas boleh berkembang menjadi tradisi kebangsaan.

“Keretapi Sarong kini telah menjadi tradisi ikonik Hari Malaysia, dan dengan tema Serumpun tahun ini, ia melangkaui sempadan negara — mengingatkan kita bahawa kita terikat melalui warisan yang dikongsi bersama. Ingat Hari Malaysia, ingat Keretapi Sarong,” katanya. “Setiap sarong ada cerita, dan setiap peserta menyumbang kepada nadi gerakan ini. Tahun ini, nadi itu bergetar melangkaui sempadan kita, mengingatkan bahawa kisah Malaysia adalah sebahagian daripada naratif serantau yang lebih besar.”

Semangat KS25 tidak terhad kepada Kuala Lumpur sahaja. Flash mob turut diadakan serentak di George Town, Ipoh, Kuantan, Sungai Petani, Pasir Mas, Johor Baru dan Melaka. Edisi luar negara pula berlangsung di Berlin dan Melbourne pada Ogos 31, diikuti Sydney pada hari yang sama dengan perhimpunan di Lembah Klang — menunjukkan betapa sambutan ini menyentuh hati rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat Malaysia di seluruh dunia.

Satu Gerakan Budaya yang Hidup

Apa yang bermula hampir sedekad lalu sebagai satu flash mob kini telah menjadi sebahagian daripada kalendar budaya Malaysia. Setiap tahun, Keretapi Sarong menghimpunkan keluarga, pelajar, komuniti dan juga rakyat Malaysia di luar negara — mengubah pengangkutan awam menjadi pentas perpaduan. Seperti yang dinyatakan oleh Shamsul: “Setiap peserta menyumbang kepada nadi gerakan ini.”

Mungkin inilah kejayaan terbesarnya: melihat rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang — muda dan tua, lelaki dan wanita, dari setiap kaum dan lapisan masyarakat — bersatu dalam sesuatu yang begitu ringkas, namun cukup berkuasa. Dalam dunia yang sering terasa berpecah, Keretapi Sarong membuktikan bahawa budaya, warisan, muzik, dan hanya dengan memakai sarong pun, kita mampu dirangkul dalam satu sambutan yang meraikan rasa kebersamaan dan jati diri.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2