Apabila menyebut tentang gamelan ramai yang tidak mengetahui bahawa gamelan sebenarnya terdiri daripada himpunan tujuh alat muzik yang mebawa bunyi yang berbeza.
“Terdapat keromong, yang terdiri daripada 10 gong kecil di atas rak kayu yang berperanan memainkan melodi berbunga. Gambang yang diperbuat daripada kayu berbilah dan dimainkan dengan kedua-dua tangan bagi menghasilkan melodi berbunga. Kemudian saron besar dan saron kecil, di mana kedua-duanya berperanan bagi memainkan melodi asas. Kanong pula memainkan nada pada tempat tertentu bagi menanda muzik. Kita juga ada sepasang gong, gong besar dan gong kecil yang dimainkan sebagai penanda kitaran lagu. Akhir sekali gendang yang mempunyai dua muka dan berfungsi memberi ritma pada lagu,” terang Diyana.
Penerimaan dan penghayatan dalam sesebuah alat muzik atau bunyi selalunya berbeza. Menurut pengasas Gangsapura, dia menyifatkan gamelan sebagai suatu alat yang majestic dan mistik, bukan sahaja pada bunyi, malah alatnya juga.
Terdapat beberapa pantang larang yang harus kita ikuti apabila bermain gamelan. Antara yang utama adalah untuk tidak melangkah alat muzik, sebagai tanda hormat terhadap tradisi kita. Kedua apabila bermain gamelan, cara permainannya adalah dalam posisi bersila walaupun bermain gong besar. Ketiga apabila melalui sekitar set gamelan, jalanlah dengan perlahan sebagai peringatan kepada semua pemain supaya tidak terlanggar dan mencederakan diri sendiri. Akhir sekali, pastikan alat muzik disimpan dengan baik sepertimana sebelum bermain agar datang dan pergi dalam keadaan yang kemas dan bersih.
Sempat juga Umar berkongsi bagaimana minatnya terhadap instrumen ini bermula. Di usia 7 tahun dia sudah megenali dan jatuh cinta terhadap gamelan. Rasa minat itu yang ingin Umar kongsikan bersama semua masyarakat supaya lebih ramai yang mula meminati dan berjinak untuk mengenali alat ini.
“Kalau orang tak suka saya akan tertanya- tanya kenapa dia tak suka. Kita nak orang rasa juga betapa seronoknya dapat main gamelan. Sekarang saya rasa bertanggungjawab untuk berkongsi tentang gamelan pada semua, sebab ramai yang tidak tahu tentang Gamelan Melayu,” kongsi Umar.
Harapan mereka di Gangsapura untuk menjadi hub seni untuk muzik tradisional adalah satu matlamat yang wajar disokong kerana tidak ramai anak muda yang sanggup meluangkan masa lapang untuk mengajar dan membantu orang ramai untuk memahami tradisi di Malaysia.
“Bila kita belajar seni tradisi sendiri, barulah kita faham asal usul dan budaya kita. Dari satu budaya mungkin kita akan mula menyukai budaya yang lain seperti meminati kuih-muih tempatan atau muzik lain,” seronok Umar berkongsi.