Kenali Coklat Malaysia di Kakao Origin

ANN MARIE CHANDY | 18 November 2026

Terokai dunia coklat Malaysia bersama pengasas bersama Kakao Origin, Karen Khoo, dan ahli mixologi Azril Shah, yang berkongsi kisah serta keunikan rasa di sebalik setiap ciptaan mereka. – Foto: Nadzrin Faizal

COKLAT sering dikaitkan dengan rasa yang nikmat – sama ada sebagai manisan, pencuci mulut atau menghilangkan rasa mengidam. Namun, di Kakao Origin, pengalaman mengenali coklat bermula jauh lebih awal, iaitu daripada biji koko itu sendiri serta keunikan rasa yang terbentuk berdasarkan lokasi penanamannya.

Terletak di Kompleks Dayabumi, jenama coklat tempatan ini menawarkan peluang kepada pengunjung untuk mengenali warisan koko negara menerusi minuman yang dihasilkan dengan teliti, serta pengalaman merasa coklat yang dipandu oleh kakitangan terlatih. Bar minuman utama jenama ini yang mula beroperasi pada Julai tahun ini, menandakan lembaran baharu buat Kakao Origin yang mula bertapak di Kuala Lumpur pada tahun 2023 menerusi sebuah cawangan lebih kecil di Central Market.

Perpindahan ke Dayabumi bukan sekadar bertujuan untuk mendapatkan ruang yang lebih luas. Bagi pengasas bersama, Karen Khoo, langkah ini merupakan peluang untuk memperkukuh tujuan penubuhan jenama tersebut, selain mewujudkan sebuah ruang yang membolehkan pengunjung meluangkan masa untuk mengenali koko yang berasal daripada Malaysia dengan lebih dekat.

Ruang dalam direka minimalis, dengan gabungan elemen kayu, keluli dan batu, mewujudkan suasana yang tenang untuk pengalaman tersebut. Perincian seperti pemegang pintu khas yang menampilkan logo Kakao Origin serta karya seni hasil sentuhan Fauzulyusri dan Samsudin Wahab turut mencerminkan penghargaan jenama ini terhadap reka bentuk dan kreativiti tempatan.

Keunikan rasa koko Malaysia

Keaslian rasa Kakao Origin terletak pada komitmennya terhadap penghasilan coklat daripada sumber asli koko, serta jalin kerjasama antara ladang-ladang kecil di seluruh Malaysia. Koleksinya menampilkan koko dari beberapa kawasan penanaman, termasuk Bera dan Triang di Pahang, Chemor di Perak serta Kota Marudu di Sabah.

Setiap lokasi menghasilkan profil rasa yang berbeza. Sebagai contoh, koko dari Bera, misalnya, mempunyai nota rasa buah-buahan merah dan coklat yang segar, dengan sentuhan kekacang panggang dan rempah-ratus, manakala koko dari Chemor menawarkan gabungan rasa buah-buahan tropika, tofi dan kayu. Koko dari Triang pula mempunyai rasa yang lebih unik dengan sentuhan malt dan buah berangan panggang.

Pendekatan ini mungkin sudah tidak asing lagi bagi penggemar kopi istimewa yang lazimnya meneroka keunikan karakter biji kopi dari pelbagai kawasan dan ladang.


“Proses penghasilan coklat sebenarnya melalui proses yang hampir sama seperti kopi,” jelas Khoo, sambil mengaitkan persamaan antara kedua-dua industri tersebut serta penghargaan mereka terhadap hasil pertanian daripada satu sumber tertentu.

Namun begitu, kisah koko Malaysia wajar diberikan perhatian yang lebih meluas. Kita pernah menjadi antara negara pengeksport koko utama, namun industri penanaman koko di Malaysia semakin kurang menonjol apabila keutamaan sektor pertanian beralih kepada tanaman lain seperti kelapa sawit dan getah. “Penanaman koko juga memerlukan penjagaan yang rapi,” kata Khoo. “Jadi, ia merupakan usaha yang lebih mencabar bagi para pengusaha ladang.”

Khoo turut berkongsi bahawa Kakao Origin bekerja rapat dengan petani dan pemanggang koko tempatan, selain memperjuangkan harga yang adil serta mengurangkan bilangan orang tengah bagi memastikan para pengusaha ladang menerima pulangan yang lebih baik. “Matlamatnya adalah untuk menggalakkan lebih ramai petani meneruskan penanaman koko, di samping menyokong industri tempatan yang masih agak kecil.”

Coklat dalam sajian yang berbeza

Walaupun coklat lazimnya dinikmati sebagai pencuci mulut, Khoo melihat peluang untuk memperkenalkan kepada rakyat Malaysia cara lain untuk menikmati keistimewaan coklat.

“Di Malaysia, coklat sememangnya sering dianggap sebagai pencuci mulut,” katanya. “Tidak banyak jenama coklat di sini yang mengetengahkan coklat sebagai minuman.”

Namun, di bar minuman ini, pelanggan berpeluang meneroka coklat sebagaimana mereka menikmati kopi istimewa, iaitu dengan memilih peratusan kandungan koko dan asal usul koko pilihan mereka sebelum menentukan cara penyediaannya.

Serpihan coklat putih, coklat susu dan coklat gelap boleh dipadankan dengan susu tenusu atau susu berasaskan tumbuhan, serta dihidangkan panas atau sejuk. Pilihan perisa tambahan seperti garam laut, parutan kulit oren dan cili turut menawarkan variasi rasa yang lebih menarik, manakala minuman terpilih turut menggabungkan bahan-bahan seperti kunyit, halia dan kolagen.

Bagi mereka yang ingin mendalami dunia koko, Kakao Origin menawarkan pengalaman merasa coklat berpandu menerusi program A Journey Through Cacao - From Farm to Cup, yang menampilkan lapan jenis coklat Malaysia, termasuk tiga dari Borneo dan lima dari Semenanjung Malaysia.

Pengalaman selama 45 minit hingga satu jam ini memperkenalkan peserta kepada asal usul serta rasa bagi setiap jenis coklat, dengan bantuan kad panduan merasa bagi membantu mereka mengenal pasti ciri-ciri rasa yang berbeza. Dengan bayaran RM88 seorang, sesi ini diadakan pada setiap Sabtu, antara pukul 10 pagi hingga 5 petang, manakala sesi yang lebih singkat pada hari bekerja boleh diatur mengikut permintaan.

Direka untuk mereka yang baru ingin mengenali dunia coklat serta buat para penggemar coklat, pengalaman ini menggalakkan pengunjung melihat coklat lebih daripada sekadar rasa manisnya, sekali gus meneroka bagaimana koko dari pelbagai kawasan di negara ini mampu menghasilkan rasa yang begitu berbeza.

Malah, kulit biji koko yang merupakan lapisan luar biji koko selepas dipanggang turut dimanfaatkan dengan mengolahnya menjadi teh, daripada dibuang begitu sahaja.

Tarikan baharu untuk meneroka bandara

Kehadiran Kakao Origin di Dayabumi turut memperlihatkan potensi lebih luas yang boleh diterokai di pusat bandar Kuala Lumpur. Meskipun kawasan ini kaya dengan mercu tanda seni bina, kebudayaan dan sejarah, masih terdapat peluang untuk menarik lebih ramai pengunjung menerusi pengalaman kontemporari yang menghubungkan mereka dengan kisah tempatan serta komuniti kreatif di bandar ini.

Khoo melihat keserasian antara penekanan jenama tersebut terhadap hasil tempatan dengan usaha menghidupkan lebih banyak aktiviti kebudayaan di kawasan ini.

“Kami berada dalam sebuah ruang kebudayaan,” katanya sambil merujuk kepada inisiatif yang digerakkan oleh pihak berkepentingan seperti Warisan KL, Think City dan pemilik Dayabumi, KLCC Holdings, dalam usaha mengetengahkan warisan serta identiti pusat bandar dengan lebih meluas.

Berbusana songket rekaan khas daripada Terengganu Songket, Khoo berkongsi bagaimana kerjasama Kakao Origin mencerminkan hubungannya dengan warisan budaya.

Bagi pengunjung yang meneroka kawasan sekitar seperti Central Market, Jalan Petaling dan Medan Pasar, Kakao Origin menawarkan satu lagi tarikan untuk mereka singgah ke Dayabumi. Daripada sekadar melalui kawasan ini untuk mengunjungi destinasi yang lebih dikenali, pengunjung kini boleh berhenti menikmati minuman, menyertai sesi merasa coklat atau mengenali salah satu aspek warisan pertanian Malaysia.

Pengalaman kecil seperti ini mampu menjadikan sesebuah kawasan warisan lebih daripada sekadar himpunan bangunan bersejarah. Ia memberikan sebab untuk pengunjung kembali, menggalakkan mereka meluangkan lebih banyak masa di kawasan tersebut serta mewujudkan hubungan baharu antara perniagaan tempatan, penggiat kreatif dan komuniti setempat, selaras dengan aspirasi lebih luas inisiatif nasional Warisan KL.


Kerjasama jenama ini turut mencerminkan hubungan antara warisan dengan kreativiti kontemporari. Menerusi kerjasama terkininya bersama Songket Terengganu, Kakao Origin menggabungkan coklat Malaysia dengan seni kraf tekstil tradisional melalui reka bentuk pembungkusan khas yang menampilkan corak songket. Koleksi coklat bar ini merangkumi tiga pilihan perisa, iaitu Onde-Onde, Coklat Gelap dengan Beras Rangup dan Coklat Susu dengan Bepang Bijan.

Kerjasama ini merupakan satu penghargaan terhadap bahan-bahan tempatan, seni kraf dan kisah di sebalik produk Malaysia, pendekatan yang seiring dengan aspirasi sebuah bandar yang semakin giat menghubungkan warisannya dengan pengalaman kontemporari. 

Sebuah undangan untuk perlahankan langkah anda

Di sebalik penekanan Kakao Origin terhadap asal usul koko, peratusan kandungan koko dan rasa, falsafah jenama ini sebenarnya berteraskan usaha mengajak orang ramai untuk memperlahankan rentak kehidupan.

Khoo menggambarkan pengalaman ini sebagai satu ritual kecil dalam kehidupan seharian, sama ada menikmati secawan minuman sebelum memulakan hari bekerja atau mengambil sedikit masa untuk berehat di tengah kesibukan menghadiri temu janji. Di tengah-tengah kesibukan kota, bar minuman ini menawarkan ruang untuk menikmati sesuatu yang berbeza sambil mengenali kisah di sebalik setiap sajian.

Bagi warga Kuala Lumpur, kehadiran Kakao Origin membuka peluang untuk mengenali coklat melangkaui sajian pencuci mulut yang lazim ditemui. Bagi pengunjung pula, ia menambah satu lagi dimensi kepada pengalaman meneroka pusat bandar – dengan menggabungkan elemen pertanian Malaysia, seni kraf tempatan dan budaya makanan kontemporari.

Ada kalanya, meneroka sesebuah bandar bukan sekadar tentang mengunjungi mercu tanda terkenalnya. Sebaliknya, ia juga tentang menemukan pengalaman yang di luar jangkaan, yang tersembunyi di sebalik kesibukan kota.

Kakao Origin

Alamat: Lot F1-01(B), Level 1, Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin hingga Jumaat, 9pagi hingga 6petang; Sabtu, 10pagi hingga 6petang.

Terokai Detik Bermakna

Hubungi kami
Ikuti kami di
Ooops!
Generic Popup2