Kembara Merentas Masa di Kampung Baru

JACQUELINE PEREIRA | 19 Mei 2025

BERJALAN bersama Fuad Fahmy menyusuri Kampung Baru adalah satu pengalaman santai yang membawa kita kembali ke masa lalu. Di sini, setiap sapaan penuh keikhlasan, sejarah terukir indah pada kayu binaan, dan kejiranan yang mesra menyelubungi anda seperti angin sepoi-sepoi bahasa di tengah panas terik. Terletak di antara dua dunia, Kampung Baru bukan sahaja mengekalkan tradisinya, malah terus berkembang dengan rentaknya yang tersendiri dan tidak tergesa-gesa.

Sebaik sahaja kami hendak memulakan sesi jalan petang, kami terserempak dengan beberapa budak lelaki yang sedang asyik mencuba untuk menerbangkan wau mereka. Kami melalui sebuah rumah terbuka Hari Raya yang meriah, dengan para tetamu yang ceria dalam busana perayaan, penuh sehingga ke jalan utama. Bila membelok ke satu sudut lain, kami terserempak dengan dua wanita yang meluahkan kepada Fuad rasa sedih mereka atas kehilangan sebuah asrama yang musnah dalam kebakaran pada pagi yang sama.
Fuad Fahmy berkongsi cerita baru dan lama sambil memimpin lawatan imersif di Kampung Baru, mendedahkan hati kehidupan warisan Kuala Lumpur yang masih hidup.
Fuad memang berasal dari Kampung Baru. Moyangnya, Haji Sulaiman Haji Shahbuddin berasal dari Rawa, Sumatra. Telah menjadi Imam pertama di Masjid Jamek Kampung Baru pada tahun 1907. Sejak dari itu, walaupun masjid itu telah diubah suai beberapa kali, elemen seni bina asalnya yang mempunyai pengaruh Mughal dan Moorish masih diterapkan.

Walaupun kini dia menetap di tempat lain, Fuad dilahirkan dan dibesarkan di sini, di sebuah rumah yang mula-mula dibina hampir satu abad yang lalu. Namun, dia sering kembali — untuk bekerja, dan juga untuk terus dekat dengan komuniti serta kisah-kisah yang membentuk dirinya. “Hidup saya memang sekitar kawasan ini, saya pun memang rindukan zaman kanak-kanak saya,” akuinya.
Pembuat kuih generasi ketiga, Rosnah Abu Samah menjual biskut dan kerepek kepada aliran pelanggan setia yang tidak pernah putus.
Kami melewati sekumpulan makcik yang rancak berbual di serambi, salah seorang berseloroh tentang rambut Fuad yang persis Ramli Sarip. Tidak lama kemudian, kami tiba di gerai kecil Makcik Ros. Rosnah Abu Samah, seorang pembuat kuih generasi ketiga, membuka gerainya seawal jam 8 pagi setiap hari untuk menjual biskut dan kerepek. Sudah beroperasi lebih sedekad, namun gerainya tidak pernah diberi nama. Namun begitu, perniagaannya tetap laris.

Sambil kami terus berjalan perlahan, Fuad menunjukkan beberapa rumah kampung yang menarik, seperti Rumah Limas yang dicat sepenuhnya dengan warna hitam. “Sekarang generasi ketiga tinggal di sini, dan rumah ini masih kukuh,” katanya, sambil memberitahu bahawa tiada satu paku pun digunakan dalam pembinaannya. Namun, ada juga rumah-rumah yang telah ditinggalkan oleh pemiliknya — kini usang, akibat pertikaian tanah atau pusaka yang belum selesai.
Kagumi Rumah Limas serba hitam – yang dibina tanpa sebarang paku; atau berbual dengan penduduk lama Kampung Baru untuk mendengar cerita yang tidak akan anda temui dalam buku panduan.
Kami kemudian terserempak dengan Encik Khairul yang sedang sibuk memetik bunga turi putih — untuk direbus, dimakan sebagai kerabu, atau dimasukkan ke dalam telur dadar. Dia menjelaskan bahawa walaupun daunnya biasanya dimasak dalam sayur lemak, bunga turi juga boleh dimakan dan turut dimanfaatkan kerana khasiatnya dalam dunia perubatan.

Kami meninggalkan kawasan tenang Kampung Paya dan menuju ke enam kampung lain yang apabila digabung membentuk Kampung Baru — Kampung Periok, Kampung Masjid, Kampung Atas A dan B, Kampung Hujung Pasir dan Kampung Pindah. Ditubuhkan pada tahun 1899 dan diwartakan sebagai Penempatan Pertanian Melayu pada tahun 1900, Kampung Baru kekal sebagai sebuah perkampungan unik yang mengekalkan cara hidup masyarakat Melayu. Namun, lebih daripada sekadar kubu kuat orang Melayu, Kampung Baru juga merupakan kawah budaya, dihuni oleh perintis dari Melaka dan Klang, serta keluarga Jawa, Minangkabau, Mandailing dan Rawa. “Namun begitu,” kata Fuad, “selepas 125 tahun, hanya 40% penduduk di sini berasal dari Kampung Baru.”

Selepas kami singgah sebentar ke rumah ayah Fuad untuk menikmati kuih bingka ubi kayu dan karipap yang lazat, kami memasuki fasa terakhir perjalanan kami. Ketika itu jam sudah 6.30 petang, dan suasana di kejiranan semakin meriah, dengan restoran, gerai dan kafe mula dipenuhi orang ramai. Fuad menunjukkan White Butter (@whitebutter.kl), sebuah tempat makan malam yang tular di sebelah rumahnya — sering sesak pada hujung minggu dengan anak muda yang sibuk merakam gambar untuk media sosial. Menunya menggabungkan hidangan Barat dan kegemaran tempatan, disajikan ringkas dengan latar pemandangan KLCC dan suasana yang “Instagrammable”.
Tengah cari makanan trendy lewat malam? Singgah ke White Butter (@whitebutter.kl) – destinasi viral yang sering dipenuhi orang ramai pada hujung minggu, dengan telefon bimbit, siap untuk bergambar dan makan!
Fuad juga mempunyai kedai makan kegemarannya yang sering dikunjungi. Salah satunya ialah Warung Mak Nenek, yang hanya dibuka untuk sarapan pagi — menyajikan kuih-muih klasik, nasi lemak tradisional, dan nasi goreng cara lama. Pada hari Jumaat, bubur istimewa turut disediakan. Satu lagi kegemarannya ialah Restoran Rose (@restoranrose.kg.baru), sebuah restoran Indonesia yang menawarkan sehingga 50 jenis lauk Padang dan Minang, dengan sambal hijau dan dendeng daging sebagai tarikan utama.

Fuad turut memeriksa sama ada tempat nasi lemak kegemarannya, Nasi Lemak Kak Chuk (@nasilemakkakchuk), masih dibuka. Barisan sudah mula terbentuk, termasuk seorang pelanggan pemburu nasi lemak dari Jalan Klang Lama Old. Gerai ini diusahakan di belakang rumah Kak Chuk sendiri, menampilkan suasana yang penuh pesona kampung. Kak Chuk turut menghulurkan kerepek tempatan kepada para pelanggannya. Tidak dinafikan, kangkung rangup dan sambal pedas mereka wajib dicuba. Paru goreng berempah yang dicucuk dan digoreng rangup benar-benar menaikkan ketagihan saya terhadap paru ke tahap yang baharu. Saya pasti akan kembali untuk mencuba sambal sotong yang berkuah, rendang yang kaya dengan rasa, dan – paling popular – ayam goreng berempah yang berwarna keemasan yang disaluti rempah.
Nikmati hidangan kegemaran tempatan di Kampung Baru, dari Nasi Lemak Kak Chuk hingga Satay Din – rasa yang membuatkan orang sentiasa kembali.
Persinggahan terakhir: Satay Din. Selepas beberapa cucuk satay ayam dan daging yang begitu lembut, dipanggang perlahan di atas bara arang, satay lain terasa tidak setanding dengannya. Perapan yang sempurna, sedikit hangus di tepi dan lembut di dalam, setiap gigitan disempurnakan lagi dengan kuah kacang yang berkrim dan berlemak – kaya, sempurna, dan sukar ditandingi.

Selama beberapa dekad, Kampung Baru telah menolak arus pembangunan semula yang agresif. Penduduk di sini bukan sahaja mempertahankan tanah mereka, tetapi juga warisan hidup mereka. Maka, selepas sembilan tahun menjalankan lawatan berjalan kaki ini, Fuad berharap dapat mempromosikan pelancongan komuniti lestari yang menyokong kehidupan setempat tanpa mengorbankan warisan demi bangunan pencakar langit.
Masjid Jamek, satu asas kehidupan rohani dan budaya di Kampung Baru sejak akhir 1880-an, berdiri megah sebagai simbol warisan yang kekal dalam komuniti – pintu gerbangnya yang diperbesarkan kini dibingkai dengan jubin Islam tradisional.
Apabila cahaya langit mula tenggelam di sebalik menara-menara KL, dan laungan azan maghrib berkumandang merentasi bumbung rumah, Kampung Baru terus bersinar dengan lembut — mempertahankan cara hidup yang enggan dilupakan. Dalam hanya beberapa jam, kami telah menemui jiwa Kuala Lumpur — yang masih berdegup tenang di jiwa tuanya.

Untuk lawatan berjalan kaki di Kampung Baru, anda boleh menghubungi Fuad Fahmy (@magicalkampungbaru) di talian ini. Untuk maklumat lanjut, layari laman web Magical Kampung Baru.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2