Kedai Buku Indie yang Menyusun Cerita, Idea dan Komuniti

S. INDRAMALAR | 22 September 2025

JIKA anda suka mengembara di dalam mahupun di luar negeri – seorang yang sering mencari kedai buku indie, Riwayat wajib ada dalam senarai destinasi anda. Terletak di sebuah bangunan lama tinggalan perang yang menawan di Jalan Tun HS Lee, Riwayat ialah sebuah ruang buku yang selesa, tersusun dan berjiwa komuniti – menawarkan buat semua pencinta buku sebuah ruang yang tenang untuk anda lari seketika dari kesibukan pusat bandar KL yang pasti kedengaran bila pintu kedai buku ini dibuka.

Riwayat merupakan projek hasil daripada minat dua sahabat – Muhammad Nazreen dan Engku Roestam Alias – yang berhasrat untuk membuka sebuah kedai buku yang “menjadi sebahagian daripada nadi kota… kecil, intim, tetapi penuh dengan idea.”

“Saya lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur, dan bagi saya, tiada tempat lain di dunia yang setandingnya,” kata Roestam. “Saya pernah tinggal di Eropah untuk beberapa ketika, dan sepanjang tempoh itu, ia membuka mata saya untuk memahami apa yang saya ingin sumbangkan kepada kota yang saya cintai. Menjalani kehidupan di bandar-bandar lain membuatkan saya lebih menghargai KL, dan mula memikirkan dengan serius tentang potensinya.

“Saya banyak terinspirasi oleh cara kedai buku bebas berfungsi di bandar-bandar Eropah, dan Riwayat adalah respons saya terhadap inspirasi itu. Ini adalah sumbangan saya buat KL. Ketika mencari lokasi, saya tertarik kepada pesona tersembunyi di Pusat Bandar KL,” katanya.

Terinspirasi oleh kedai buku indie di Eropah, Roestam menubuhkan Riwayat sebagai persembahannya kepada Kuala Lumpur.

Riwayat boleh juga diterjemahkan sebagai "cerita" atau "naratif" – bukan sekadar sebuah kedai buku. Ia adalah sebuah pusat pembelajaran dan penemuan, dengan koleksi buku yang dikurasi secara teliti meliputi sastera, sejarah, teori kritikal, pemikiran dekolonial, falsafah, politik, serta seni dan budaya – dalam bahasa Inggeris dan Melayu.

Ruangnya mungkin kecil, tetapi cukup untuk dijadikan tempat untuk perbincangan yang besar.
 
“Matlamat kami bukan untuk menyimpan pelbagai jenis buku, tetapi untuk kami kurasi tempat ini dengan penuh makna, niat dan tujuan,” kata Roestam. “Saya ingin menyumbang sesuatu kembali kepada masyarakat, dan saya sentiasa tertarik untuk memilih kandungan yang merangsang pemikiran kritis.”
Dia juga mahu Riwayat menjadi lambang penghargaan buat kota ini.

“Satu perkara yang saya sedar ialah terdapat banyak tajuk menarik tentang Pulau Pinang, tetapi tidak banyak buku tentang Kuala Lumpur. Kekurangan itu menjadi antara tema yang kami mahu kami angkat. Selain itu, kami juga ingin bekerjasama dengan penulis, penggiat seni, penerbit, kolektif, NGO dan komuniti melalui pelbagai program awam.”

“Kami mencerminkan nilai melalui jenis buku yang kami pilih untuk ketengahkan. Ia bukan tentang menegakkan pendirian yang tetapi, lebih kepada mencuit rasa ingin tahu dan penglibatan lapisan pemikiran daripada semua pengunjung,” jelas Roestam.

Menubuhkan sebuah kedai buku bukanlah sesuatu yang dirancang – ia berlaku hampir secara kebetulan. Roestam sebelum ini bekerja dalam bidang perkilangan sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja dan menyambung pelajaran. Keputusan ini membawanya bekerja di luar negara selama beberapa tahun.

“Menubuhkan Riwayat adalah satu cabaran, baik secara peribadi mahupun praktikal: saya tiada latar belakang formal dalam bidang penjualan buku, tetapi saya dipandu oleh naluri, minat dan tujuan.”

Roestam percaya bahawa kedai buku bebas boleh memainkan peranan dalam membentuk identiti dan pembangunan sesebuah kota – sesuatu yang dia harap Riwayat mampu capai dalam jangka masa yang panjang.

“Kedai buku sebenarnya boleh menjadi enjin senyap dalam kehidupan sivik sesebuah masyarakat. Tetapi ini sesuatu yang mengambil masa… bahkan mungkin bertahun-tahun untuk benar-benar berakar. Ini dapat kita lihat di banyak kedai buku di seluruh dunia… yang kebanyakannya telah beroperasi selama berdekad. Di Eropah, sebagai contoh, ada kedai buku bebas yang telah wujud lebih 30 tahun.”
 
“Setiap orang ada peranan masing-masing. Kedai buku bebas hanya boleh terus hidup jika komuniti percaya dan menyokongnya. Jika lebih ramai pembaca di Lembah Klang memilih untuk menyokong kedai tempatan berbanding rangkaian besar – bukan sekadar berkunjung, tetapi dengan membeli dan membawa pulang sebuah buku – itu amat besar bezanya. Setiap pembelian dapat bantu memastikan kelangsungan kedai buku bebas. Mengendalikan kedai buku fizikal memang ada cabarannya, tetapi dengan sokongan yang berterusan dan tulus, kami percaya Riwayat boleh terus berkembang.”

Setakat ini, sambutan terhadap Riwayat boleh dikatakan “tenang tetapi menggalakkan”, katanya.

“Saya telah bertemu ramai orang yang berkata, ‘Saya tak sangka akan jumpa tempat seperti ini.’ Itu sangat bermakna buat saya. Ada banyak detik indah, tetapi mungkin yang paling menyentuh perasaan saya apabila melihat wujudnya komuniti kecil yang komited – pelanggan yang datang semula, menyokong dengan membeli buku, dan turut ikut dalam perbualan yang bermakna.”

Kata-kata Roestam mengakhiri sesi: “Selepas ini, saya berharap Riwayat akan terus mengakar lebih dalam – untuk menerbit, mendokumentasi naratif yang belum diceritakan, dan kekal terbuka untuk berevolusi seiring perubahan dunia di sekeliling kita.”

Kedai Buku Riwayat
Lokasi: 34, Jalan Tun H S Lee, City Centre, 50000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Talian: +6010-227 9113
Dibuka setiap hari: 11pg sehingga 7mlm

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2