Keberkatan Melimpah di Kwai Chai Hong

Ann Marie Chandy | 15 Januari 2025

Ketika Chinatown Kuala Lumpur bersiap untuk menyambut Tahun Naga pada bulan Januari 2025, Lorong Kwai Chai Hong (KCH), yang terletak di kawasan Petaling Street, telah bertukar menjadi pameran tradisi, seni dan budaya yang memukau. Bertemakan ‘Bountiful Blessings’ atau ‘Keberkatan Melimpah’, sebagai tanda penghormatan untuk kemakmuran budaya dan komuniti. Diketuai oleh Javier Chor, Perunding Pemasaran dan Pereka Bebas, instalasi ini menggabungkan suasana pada masa lampau dan masa kini, sekali gus telah menarik pengunjung untuk merasai sendiri kekayaan simbol Tahun Baru Cina.

Anda bertuah jika berkesempatan untuk melawat KCH sewaktu Tahun Baru Cina, kerana anda pasti terpesona dengan hiasan tanglung ikan serta layang-layang, yang mana mengikut kepercayaan kaum Cina ia merupakan simbol keberkatan yang melimpah, diinspirasikan oleh motif tradisional Cina serta kenangan Chor sendiri.

Kata Chor sambil mengenang; “Ibu saya selalu menyediakan hidangan ikan semasa makan malam Tahun Baru Cina. Sudah menjadi tradisi keluarga untuk meninggalkan sebahagian daripada ikan tersebut tidak dimakan, ini melambangkan ‘Nian Nian You Yu’ yang bermaksud lebihan tahun demi tahun.”
Ia merupakan simbol yang amat bermakna buat masyarakat Cina. Ikan melambangkan sesuatu yang melimpah, kemakmuran dan tuah. Chor sangat terinspirasi dengan tradisi 600 tahun tanglung ikan karp, yang diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara oleh Unesco.

“Berkongsi warisan ini dengan orang ramai telah menjadi misi saya,” katanya. “Frasa ‘鱼’ (ikan) dan ‘余’ (lebihan) berkongsi sebutan yang sama dalam bahasa Cina, menggambarkan harapan untuk limpahan dalam semua aspek kehidupan – bukan hanya kekayaan material, tetapi juga cinta, kebijaksanaan dan kebaikan.”
“Frasa ‘鱼’ (ikan) dan ‘余’ (lebihan) berkongsi sebutan yang sama dalam bahasa Cina, menggambarkan harapan untuk limpahan dalam semua aspek kehidupan – bukan hanya kekayaan material, tetapi juga cinta, kebijaksanaan dan kebaikan.”

Javier Chor
Dari sudut penghasilan kreatif di sebalik ‘Bountiful Blessings’ ia merupakan keseimbangan yang halus antara menghormati warisan budaya dan suntikan estetik kontemporari. Pengunjung memulakan perjalanan mereka dari Jambatan Berkat, yang mana mereka harus berjalan di bawah tanglung yang dihiasi dengan ucapan-ucapan yang baik. Di sebalik jambatan, pengunjung disambut dengan hiasan tanglung ikan dan layang-layang yang cukup mempesonakan. Elemen-elemen ini menggabungkan kemahiran tradisional dengan bahan-bahan moden seperti rangka logam, fabrik, dan lampu LED. “Kami mahu mengekalkan keaslian tanglung ikan karp tradisional sambil memastikan ia dapat bertahan dengan suasana luar,” jelas Chor. “Dengan mengintegrasikan bentuk tradisional dengan pelaksanaan kontemporari, kami dapat meraikan masa lalu sambil menjadikannya mudah diakses oleh semua pengunjung.”

KCH juga turut menganjurkan tiga Perarakan Tanglung Ikan, yang merupakan pertunjukan interaktif yang membawa semangat perayaan ke lorong it.

“Ia bukan tugas yang mudah, tetapi kejayaan tidak diukur dengan kesempurnaan – lebih kepada kegembiraan dan rasa ingin tahu di wajah orang ramai,” kongsi Chor. “Tema ‘Bountiful Blessings’ benar-benar mencerminkan transformasi limpahan menerima kepada berkongsi. Sambutan yang luar biasa daripada pengunjung dengan senyuman yang manis di raut wajah mereka memberi gambaran kesepaduan dan memberi rasa yang amat menyentuh perasaan.”
Memandang ke hadapan
Sejak kebangkitannya pada 2019, Kwai Chai Hong telah menjadi pusat budaya dan seni, yang menarik pengunjung dengan gabungan sejarah, seni dan pengalaman interaktif. Memandang ke hadapan pada 2025, Chor memberi petunjuk tentang lebih banyak aktiviti yang inovatif. “Kwai Chai Hong bertujuan untuk memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mencari semula dan menghargai warisan budaya Cina,” katanya. “Dengan menggabungkan tradisi dengan teknologi moden, kami akan pastikan cerita-cerita ini tetap relevan untuk generasi akan datang.”
Rancang lawatan anda
Sama ada semasa Tahun Baru Cina atau selepas, KCH dapat membawa pengunjung untuk mengintai ke dalam era keemasan Chinatown KL. Dengan mural yang menakjubkan, rumah kedai yang telah dibaik pulih serta acara budaya yang berterusan, ia adalah destinasi yang wajib dikunjungi oleh penduduk tempatan dan pelancong.
  • Waktu Lawatan: Dibuka setiap hari daripada 9 pagi hingga 10 malam
  • Masuk: Percuma untuk semua pengunjung
  • Lokasi: Di belakang Petaling Street, boleh diakses dari Stesen LRT dan MRT Pasar Seni
  • Kawasan menarik berhampiran: Pasar Seni, Petaling Street, Kuil Sin Sze Si Ya
  • Laman Web: www.kwaichaihong.com
  • Instagram: @kwaichaihong

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2