Ann Marie Chandy | 20 Jun 2025
Namun, ini bukan sekadar tentang ekspresi seni atau penambah baikan estetik. Ia merupakan pemacu yang berpengaruh dalam ekonomi kreatif KL. Di sebalik kejayaan kreatif yang kita dapati hari ini, berdirinya Think City, sebuah organisasi yang berdiri teguh memperjuangkan pemulihan bandar berteraskan komuniti.
Tambah Tan, "Kerja-kerja Think City berlandaskan kepercayaan bahawa sebuah bandar harus berkembang bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga secara budaya, sosial dan kreatif." Pendekatan ini telah membentuk pelbagai inisiatif seperti program seni awam, festival komuniti, dan pengaktifan semula ruang-ruang terbiar menjadi pusat kreatif.
Salah satu inisiatif paling menonjol adalah strategi penempatan semula kreatif yang dilaksanakan Think City – yang bukan sekadar menaik taraf infrastruktur, tetapi menghidupkan ruang awam melalui penceritaan, program seni dan kolaborasi. “Kami memberi tumpuan kepada pengaktifan ruang melalui program seni awam, mewujudkan platform utama seperti festival bandar, menyepadukan seni dan budaya tempatan ke dalam nod transit, serta menghidupkan semula bangunan warisan dan institusi,” kata Tan.
Pada tahun lalu, festival Kreatif KL (anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Think City, dengan sokongan Kementerian Kewangan) telah menampilkan lebih 100 acara seni dan budaya merentasi lima kawasan utama di Pusat Bandar KL. Festival ini berlangsung selama hampir tiga bulan, bermula dari September hingga November 2024, dan meraikan pelbagai lapisan warisan kota kita.
Pendekatan holistik ini memberi ruang buat semua – sama ada seniman, penduduk, usahawan mahupun pelawat – untuk turut serta dan merasai manfaat dari Kuala Lumpur yang kini hidup lebih berjiwa.
Dari perspektif yang lebih luas, festival dan acara kreatif utama lain yang dapat menyerlahkan bakat tempatan sambil memberi menyumbang kepada ekonomi setempat serta ekosistem budaya, ini termasuklah seperti Rainforest World Music Festival, George Town Festival, Tapau Fest di Lenggong, Ipoh International Art Festival, dan KL Illustration Fair. Acara-acara ini bukan sahaja meraikan ekspresi seni, malah berperanan sebagai platform untuk penyertaan komuniti, perusahaan kreatif, dan pelancongan budaya.
Pada tahun ini, 2025, dijangka menjadi tahun yang amat menarik bagi landskap kreatif Kuala Lumpur, terutamanya apabila Malaysia memegang tanggungjawab sebagai Pengerusi Asean. Tan menekankan bahawa perhatian serantau ini akan membolehkan Kuala Lumpur menonjolkan kekuatan diplomatik dan budayanya secara serentak.
“Barisan acara yang pelbagai mencerminkan kepelbagaian dan semangat dalam dunia kreatif kita. Dari sambutan komuniti dan pasar kreatif yang menonjolkan bakat tempatan, sehinggalah aktiviti seni dan budaya yang merapatkan jurang antara tradisi dan kehidupan bandar moden – kalender tahun ini memang padat,” katanya.
Insentif kerajaan juga telah membantu menghidupkan semula sektor hiburan secara langsung di bandar ini, dengan konsert dan persembahan yang telah kembali rancak. Namun, di sebalik kemeriahan tersebut, Tan menekankan bahawa banyak inisiatif ini berakar pada nilai pertukaran yang bermakna. “Ia mewujudkan platform perbincangan atau pertukaran idea yang merentasi budaya, dan kolaborasi antara penggiat kreatif tempatan dan serantau.”
Dia mencadangkan agar orang ramai mengikuti kalender Warisan KL, yang menampilkan pelbagai acara menarik – daripada festival, pameran, persembahan sehinggalah ke pop-up kreatif – semuanya mencerminkan jiwa kreatif Kuala Lumpur yang sebenar.
Melihat ke hadapan, matlamat utama adalah untuk mengekalkan momentum, memperkukuh infrastruktur dan mengangkat kedudukan Kuala Lumpur di persada dunia. “Kejayaan ekonomi kreatif Kuala Lumpur bermakna mewujudkan ekosistem yang subur di mana penggiat seni dan kreatif tempatan terus menghasilkan karya yang memperkayakan masyarakat, mencerminkan kepelbagaian yang kita miliki dan mendorong inovasi,” kata Tan.
Ini termasuklah penyediaan lebih banyak ruang kreatif mampu milik, kerjasama yang merentasi sektor, serta usaha untuk membina masyarakat di masa hadapan melalui pendidikan dan lebih berfikiran terbuka dan luas.
“Nadi kepada visi ini adalah Pusat Bandar KL – yang kini muncul sebagai enjin kreatif dan destinasi serantau yang diiktiraf untuk budaya, reka bentuk dan pertukaran seni,” tambah beliau.
Matlamatnya, pengiktirafan antarabangsa – seperti menyertai Rangkaian Bandar Kreatif Unesco (UCCN) – akan menjadi satu pencapaian besar. Namun apa yang lebih penting daripada sebuah gelaran ialah bagaimana kreativiti dapat diserap ke dalam kehidupan bandar harian.
Seperti yang dinyatakan oleh Tan, “Ekonomi kreatif yang mampan, inklusif dan berhubung secara global – di mana kreativiti bukan sahaja diraikan, tetapi menjadi sebahagian daripada cara kita hidup, bekerja dan berkembang sebagai sebuah bandar.”
Jadi, sama ada anda seorang pelancong yang ingin tahu, seorang seniman yang bercita-cita tinggi, atau sekadar ingin merasai denyut nadi sebuah bandar yang berjiwa – Kuala Lumpur sedia menyambut anda – penuh warna, imaginasi dan sedang bangkit semula, satu demi satu percikan kreatif pada satu masa.
Layari kalendar acara Warisan KL untuk merancang kunjungan anda yang seterusnya ke pusat kreatif Kuala Lumpur.
Discover more stories