Tandakan kalendar anda – Hari Muzium Antarabangsa bakal tiba pada 18 Mei! Disambut di seluruh dunia dan diselaraskan oleh Majlis Muzium Antarabangsa (International Council of Museums), acara tahunan ini mengetengahkan peranan penting muzium dalam kehidupan kita. Setiap tahun hadir dengan tema yang berbeza, dan pada tahun 2025 ini, ia bertemakan “Masa Depan Muzium dalam Komuniti yang Sedang Berubah Pesat.”
Tema ini sangat sesuai dengan Kuala Lumpur – sebuah bandar yang sentiasa berubah, dibentuk oleh aliran migrasi, perdagangan dan pertembungan budaya. Daripada deretan kedai lama di Jalan Tun H.S. Lee hinggalah ke pencakar langit di KLCC, kota ini mencerminkan perundingan berterusan antara masa lalu dan masa kini. Dalam kita menyesuaikan diri dengan arus global dan tuntutan moden, penting juga untuk kita tidak melupakan di mana akar kita. Muzium seperti Muzium Negara, Muzium Kesenian Islam dan
Muzium Tekstil Negara berdiri sebagai penjaga warisan, mengingatkan kita tentang asal-usul kita – walaupun kita terus melangkah ke hadapan.
“Di tengah-tengah Kuala Lumpur, muzium membentuk identiti budaya bandar ini dengan menghubungkan masyarakat tempatan dengan warisan mereka, serta mendidik pelancong tentang kepelbagaian Malaysia,” kata Ni-Tsia Cheong, Pengurus Kanan Museologi di Think City. “Bagi masyarakat tempatan, muzium mengukuhkan rasa bangga dan identiti budaya melalui pameran tentang sejarah dan tradisi. Bagi pelancong pula, muzium menawarkan pengenalan yang mudah diakses kepada kepelbagaian budaya Malaysia, mencabar stereotaip dan menampilkan identiti moden negara. Muzium-muzium ini memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara kebanggaan tempatan dan kefahaman global.”
Dia turut menambah bahawa menarik juga untuk melihat bagaimana dalam era media digital dan tumpuan yang semakin singkat, muzium telah menyesuaikan diri untuk kekal relevan. “Muzium di Kuala Lumpur kini menawarkan paparan interaktif, pengalaman imersif, lawatan maya dan kandungan media sosial bagi menarik minat pengunjung. Mereka memberi tumpuan kepada kandungan pendek dan menarik, serta menyediakan panduan digital untuk pengalaman yang lebih peribadi,” kata Cheong. “Banyak juga yang menyediakan pameran atas talian, menjadikan koleksi mereka boleh diakses oleh khalayak global – memastikan muzium kekal relevan dalam era digital.”