SAMBIL menghayati pemandangan kota sempat saya berbual dengan beberapa penumpang di sini. Salah seorang penumpang, Russell Wealsh dari New Zealand berkata, “Ini adalah hentian ke empat kami untuk lihat pemandangan bangunan yang mengagumkan untuk kami ambil gambar. Saya dapat rasai sendiri perbezaan antara bas baharu dan lama, bagus, sangat bagus dan jauh lebih baik.”
Nasua Azzhar seorang pelajar berusia 17 tahun dari Indonesia berkata, “Sudah lama kami merancang untuk ke Malaysia dan Alhamdulillah tercapai. Memang seronok bas yang terbuka dengan udara segar. Sistem pemandu pelancong AI juga bagus kerana dapat membantu pelancong, terutamanya bagi mereka yang tidak tahu berbahasa Melayu.”
Kata Helija, 43, yang berasal dari Russia pula, “Saya tidak fasih berbahasa Inggeris, orang-orang di sini peramah, saya hanya bercakap satu perkataan dan mereka cuba untuk tolong saya.” Tambahnya, “Dari kecil saya memang suka melancong dengan pengangkutan awam, bus, tram, metro dan macam-macam lagi. Saya nampak perkhidmatan bas ini di YouTube dan hendak mencubanya sendiri. Malaysia sangat menarik, walaupun saya tidak suka cuaca yang begini tetapi saya nak tahu budaya di sini.”
Malaysia menyasarkan seramai 46,000,000 pelancong tahun hadapan sempena tahun melawat Malaysia, dengan 30,000,000 daripadanya akan berkunjung ke Kuala Lumpur. Penambahan 10 bas KL Hop-On Hop-Off baharu dengan empat daripadanya akan siap pada tahun hadapan pastinya dapat menampung kapasiti kemasukan pelancong ke negara kita.
Sambung Amin: “Kuala Lumpur dan warisan memang tidak boleh lari jauh, sebaliknya dengan adanya lawatan seperti ini dan kemudahan AI, gabungan ini dapat memberi lebih informasi buat penumpang. Kami R&D dan lihat sendiri bagaimana AI dapat membantu mempermudahkan jurang dalam komunikasi. Tapisan informasi telah dibuat dengan pelbagai pihak cuma pasti akan ada sedikit kekurangan, seperti sebutan beberapa perkataan, tetapi masih tidak lari jauh dari maksud utama.”