Jejak Buat Pencinta Coklat

Ellfian Rahim | 4 Julai 2025

Kejutan coklat yang mencairkan anda pada Julai 7 ini? Gelap, berkrim, berkacang dan melekit – pilih dan jadikannya lazat! #HariCoklatSedunia Foto: nodesserts/Instagram
SAMA ada segelas Milo Ais yang sejuk di mamak, sebatang coklat Crispy dari kedai runcit yang disimpan dalam beg sekolah, atau sepotong brownie yang dinikmati bersama kopi o kurang manis – coklat telah lama mewarnai kehidupan rakyat Malaysia – menenangkan, membangkitkan nostalgia, namun penuh kejutan. Dan apakah masa yang lebih sempurna untuk menikmatinya kalau bukan pada Hari Coklat Sedunia, Julai 7 ini?

Di tengah-tengah Kuala Lumpur, di mana deretan rumah kedai lama berdiri megah bersebelahan dengan kafe moden, anda boleh merasai perjalanan rasa yang mengimbau zaman silam – daripada jenama retro yang mewarnai zaman kanak-kanak kita hinggalah ke bakeri dan patiseri inovatif yang memberikan sentuhan moden pada koko. Dari bar wafer ke biskut cair di mulut, daripada pralin (sejenis gula-gula yang diperbuat daripada gula dan kacang) buatan tangan ke truffle berperisa durian – inilah tempat-tempat untuk menikmati kemanisan warisan coklat di KL dengan ciptaan terkini – semuanya dalam kawasan pusat bandar yang meriah.
Mengenang kembali zaman yang cukup manis! Coklat retro yang mana yang masih cair di hati anda – Apollo Wafers, Gold Coins atau Eyeglass Candy?
Menghidupkan Rasa Zaman Kanak- Kanak

Sebelum matcha dan mille crepes menjadi kegilaan, coklat tempatan seperti Crispy, Apollo Wafers, dan lebih baru lagi seperti Beryl’s, Benns dan Harriston, sudah pun memeriahkan bekalan sekolah dan bakul hamper perayaan. Beberapa kegemaran seperti Van Houten, Cadbury’s, Nestlé dan Kandos pernah, dan masih, popular di Malaysia tetapi semuanya jenama dari luar negara.

Kalau anda terasa rindu akan zaman dulu, singgahlah ke Childhood di Pasar Seni atau Kedai Runcit di REXKL – sebuah kedai runcit versi moden yang dibuka dalam pawagam lama Rex. Kedua-dua lokasi ini ibarat lorong kenangan, dipenuhi mainan retro, barangan koleksi, dan tentunya – coklat klasik Malaysia yang membesarkan kita semua. Anda juga akan jumpa coklat Crispy yang masih gagah bertahan selepas 52 tahun – dan masih serangup seperti kali terakhir anda merengek minta pada mak ketika kecil dulu.

Tip nostalgia: Padankan dengan Milo kotak sejuk dari peti ais untuk nostalgia yang sempurna – dan sambil anda nikmati setiap gigitan manis itu, luangkan masa untuk hayati sejarah dua lokasi ikonik ini: Pasar Seni yang penuh warisan, dan panggung Rex yang kini diberi nafas baharu.

Buat Pencinta Manisan Moden
Jika anda gemarkan coklat dengan sentuhan lebih mewah dan berani, barisan Coklat generasi baharu di Pusat Bandar KL pasti tidak mengecewakan.

Terletak betul-betul di luar Pasar Seni di Kasturi Walk, Cake Dreamer by Mitchie menghasilkan manisan buatan tangan dalam kuantiti terhad yang kaya dengan rasa – sesuai untuk dikongsi… atau dinikmati sendiri! Menu seperti Choco Chip Croissants, Sea Salt Chocolate Chip Cookies, dan Triple Chocolate Cookies versi "blackout" mereka bukan sahaja sedap yang luar biasa, malah hadir dengan sentuhan premium yang memikat.
Terletak hanya beberapa langkah dari situ,Cookiecrumbs, Jalan Petaling ialah destinasi wajib bagi pencinta biskut gaya New York yang tebal dan lembut – ya, yang sering tular di media sosial! Cookiecrumbs diasaskan oleh dua sahabat rakyat Malaysia yang mula membakar biskut dari apartmen mereka semasa pandemik. Tarikan utama mereka ialah Pistachio Chocolate Cookie, yang diinspirasi daripada trend coklat di Dubai namun diberi sentuhan identiti KL yang tersendiri. Ia mewah, comot, dan paling nikmat apabila dimakan terus di kaki lima.

Jika anda mencari sesuatu yang lebih canggih, kunjungi pula Nucre Patisserie, juga di Jalan Petaling. Kafe dua tingkat bergaya ini menggabungkan inspirasi Jepun, Perancis dan Malaysia. Chocolate Snap Cookie mereka lemak berkrim dengan rasa kekacang yang halus, manakala Dark Chocolate Mousse Cake – diperbuat daripada coklat Valrhona dan biskut pralin – sungguh berbaloi untuk dinikmati perlahan-lahan.

Tip berguna: Duduklah di tepi tingkap di Nucre atau cari sudut tenang di Cookiecrumbs untuk menyaksikan hiruk-pikuk Jalan Petaling – bukti bahawa di KL, tradisi dan trend memang sentiasa berjalan seiring.
Menelusuri Kidah Coklat
Jika anda ingin seimbangkan rasa manis dengan sedikit ilmu, kunjungilah Beryl’s Chocolate Story di Jalan Panggong. Mini muzium yang menarik ini – dibangunkan oleh Beryl’s, jenama tempatan kesayangan sejak 1990-an – membawa anda menyusuri sejarah bagaimana koko tiba di Malaysia dan bagaimana negara kita mencipta nama dalam dunia coklat.

Mesin lama, pembungkusan klasik, serta fakta menarik tentang perisa tempatan menjadikan lawatan ini satu persinggahan yang tidak dijangka ini menyeronokkan.
Belum cukup puas? Naik LRT dan pergi ke Harriston’s Gellery di Jalan Ampang, hanya beberapa langkah dari Menara Berkembar Petronas. Anda boleh cuba dan membeli coklat dengan campuran pelbagai rasa Malaysia yang anda bayangkan – seperti durian, Tongkat Ali malah susu kari! Ya, betul. Ini mengingatkan kita kreativiti lokal boleh menyinar walaupun dalam manisan yang paling sederhana.

Jadi, sama ada anda sedang mengoyakkan bungkusan Crispy dengan jari yang melekit, berkongsi sepotong brownie enak bersama kopi tarik, atau menikmati biskut pistachio yang lembut dan cair di kaki lima, Pusat Bandar KL sedia memenuhi keinginan coklat anda – baik yang klasik mahupun moden.
Tip berguna: Di Beryl’s, luangkan sedikit masa lebih lama untuk meneliti pembungkusan dan mesin vintaj – ia satu pandangan nostalgik tentang bagaimana sejarah perindustrian KL membentuk manisan yang masih kita gemari hingga ke hari ini. Di Harriston pula, keluar sebentar selepas sesi merasa coklat dan nikmati sisi lain Menara Berkembar ikonik yang terletak hanya beberapa langkah sahaja dari situ – latar yang sempurna untuk menamatkan perjalanan coklat anda.
Imej janaan AI.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2