Ikuti Seni Menelusuri Kuala Lumpur

CHIN JIAN WEI | 1 April 2026

Sesat-sesat sikit kat Petaling Street, best juga — masuk lorong mana pun, mesti jumpa warna-warni cantik dan tempat ambil gambar yang memang dah tersedia.

KUALA LUMPUR, tanpa kita sedari, mempunyai ekosistem seni yang semakin berkembang. Daripada galeri kontemporari yang meneroka idea baharu hingga bangunan berusia ratusan tahun yang menyimpan jejak masa, kota ini menghimpunkan spektrum ekspresi kreatif yang tidak disangka dalam jarak yang dekat. Seni di sini tidak terhad buat ruang galeri semata-mata – ia berkembang ke lorong belakang, hidup dalam rumah kedai yang dipulihara, dan hadir dalam ruang awam yang untuk kegunaan harian.

Inilah semangat yang mendorong Warisan KL – satu usaha kolektif untuk menghidupkan semula ibu kota sebagai hab kreatif yang bertenaga dan berteraskan komuniti. 
    
Salah satu cara paling mudah untuk mengalaminya sendiri adalah dengan bergerak merentasi kota. Laluan yang dirancang dengan teliti boleh membawa anda daripada pembukaan galeri ke lorong dipenuhi mural, daripada pusat beli-belah berkonsepkan reka bentuk ke bangunan warisan yang sarat dengan kisah terpahat pada fasadnya – semuanya dalam tempoh sehari. Apa yang terhasil bukan sekadar senarai lokasi seni, tetapi potret berlapis tentang kota ini: masa lalu dan masa kini, formal dan tidak formal, dikurasi dan spontan.   

Di sekitar Lembah Klang yang lebih luas, sudah tentu terdapat banyak lagi galeri yang wajar dikunjungi – termasuk Balai Seni Negara, Ilham Gallery dan Wei-Ling Gallery – masing-masing menawarkan perspektif tersendiri terhadap landskap seni Malaysia yang terus berkembang. Namun bagi mereka yang ingin meneroka dengan berjalan kaki, laluan berikut menghimpunkan beberapa ruang yang cukup berdekatan untuk dinikmati sepanjang dua hari pada hujung minggu, tanpa perlu pergi jauh.    

Jika anda tertanya-tanya bagaimana merangka sebuah itinerari yang meneroka landskap seni Kuala Lumpur, inilah contohnya – satu perjalanan yang mencerminkan pelbagai cara seni terus membentuk, dan dibentuk oleh, kota ini.


+n by UR-MU

Kita mulakan di UR-MU, atau Urban Museum. UR-MU merupakan rangkaian muzium seni kontemporari yang terkenal dengan koleksi karya yang eklektik, berani dan sering mencetuskan pemikiran. Kini terdapat tiga muzium: UR-MU @ Bukit Bintang, UR-MU @ Toffee, Raja Chulan dan UR-MU +n @ Tun HS Lee.

+n ialah yang ketiga dalam siri ini, dan terbukti setanding dengan reputasinya. Hanya dua minit berjalan kaki dari Central Market, ruang ini dahulunya merupakan sebuah rumah kedai di Chinatown, namun kini dihidupkan semula sebagai galeri seni kontemporari moden.   

Pada masa ini, muzium ini menampilkan Strategies of Dissent, sebuah pameran yang menghimpunkan hampir 70 karya daripada koleksi arkitek landskap terkenal Ng Sek San. Koleksi ini merangkumi karya dari tahun 1990-an hingga kini, dan seperti judulnya, ia mengetengahkan tema protes dan penapisan, seolah-olah menjadi rekod hubungan negara yang kompleks dengan isu penapisan, daripada demonstrasi dramatik hingga bentuk penentangan yang lebih halus. 

Di mana? 131, 133, Jalan Tun H S Lee, Pusat Bandaraya, 50000 Kuala Lumpur
Bila? Dibuka dari 11 pagi hingga 7 malam, Selasa hingga Ahad

Kwai Chai Hong

Berdekatan Petaling Street, terdapat sebuah lorong kecil – Lorong Panggung – yang tersembunyi di celah-celah kafe dan bar. Dihias dengan konsep Chinatown sekitar tahun 1960-an, lokasi ini merupakan khazanah bagi mereka yang mencari tempat estetik dan “Instagrammable”. Mural, lampu neon dan seni bina retro yang benar-benar membawa pengunjung menyelami era kegemilangan Chinatown.

Jika anda berkunjung pada musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina atau Pesta Tanglung (Mid-Autumn Festival), Kwai Chai Hong biasanya akan menampilkan instalasi seni bertema khas. Instalasi ini berubah setiap tahun dan rugi jika tidak ambil kesempatan untuk melihatnya. 
   
Tanpa mengira tema, ia memberi ruang kepada artis kontemporari tempatan untuk menyerlah dalam medium pilihan mereka. Antara contoh instalasi termasuklah deretan pintu tradisional Cina yang dihiasi lampu neon, naga Cina yang dihasilkan daripada pinggan plastik, serta arca zodiak Cina.   

Jangan lepaskan peluang untuk meneroka kawasan sekitarnya – Lorong Petaling 4, Jalan Sang Guna, Lorong Bandar 21, serta lorong-lorong kecil di sekitar Jalan Sultan – kerana kawasan ini turut menempatkan pelbagai seni jalanan yang berwarna-warni dan sarat dengan identiti tempatan.

Di mana? Lorong Panggung, Pusat Bandaraya, 50000 Kuala Lumpur
Bila? Dibuka dari 9 pagi hingga 12 tengah malam, setiap hari

Kat GMBB, foyer pun tak pernah kekal sama – kelip mata je, boleh terlepas instalasi seni yang terbaru

GMBB

Seterusnya dalam laluan anda ialah pusat komuniti kreatif, GMBB, yang terletak di sepanjang Jalan Robertson. Ramai artis menjadikan pusat ini sebagai “rumah” mereka, dan ia sememangnya menempatkan pelbagai galeri serta bengkel. Sesuai untuk pengunjung yang ingin meluangkan masa mencuba aktiviti menyeronokkan seperti seni pasir, lukisan cat air, atau aktiviti yang lebih unik seperti pembuatan Wagashi Jepun dan gincu!

Antara pameran yang sedang berlangsung termasuk Fujifilm User Recognition Exhibition, pameran fotografi hidupan liar yang menampilkan tumbuhan periuk kera, serta pameran seni 3D oleh Cerikapak bertajuk Near-Depth Experience
   
Bagi mereka yang berminat dengan warisan seni masyarakat pribumi, Gallery Gerimis mempamerkan karya artis dan penggiat seni Orang Asli, selain kerap menganjurkan pameran dan acara untuk berkongsi ilmu serta sumber berkaitan budaya pribumi.

Di mana? 2, Jalan Robertson, Bukit Bintang, 50150 Kuala Lumpur
Bila? GMBB dibuka setiap hari dari 11 pagi hingga 8 malam.

River of Life

Dalam kita berjalan dari GMBB ke destinasi berikutnya, anda akan melalui River of Life. Terletak berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad yang ikonik serta Panggung Bandaraya, kawasan ini sarat dengan nilai sejarah. Dikenali dengan pencahayaan biru dan kabus atmosfera yang menyelubungi tebing sungainya pada waktu malam, River of Life juga menjadi lokasi kepada pelbagai karya seni jalanan.

Salah satu tarikan utama ialah mural dinding tiga tingkat yang indah, menggambarkan kehidupan masyarakat Malaysia pada zaman dahulu. Dinding longkang monsun di sepanjang tebing sungai turut dihiasi grafiti yang berwarna-warni dan bergaya unik – membuktikan bakat serta identiti tersendiri komuniti artis grafiti tempatan.

Di sepanjang tebing, anda juga dapat melihat pasar seni, bengkel kreatif, pelukis urban sketch serta pelukis karikatur yang sedang berkarya. Untuk perkembangan terkini, anda boleh mengikuti @riverbank, @klsketchnation dan @makan.buzz!

Di mana? Jalan Benteng, Pusat Bandaraya, 50050 Kuala Lumpur
Bila? 6 pagi hingga 12 tengah malam, setiap hari

Bank Negara Malaysia Museum and Art Gallery

Kemudian, kita boleh meneruskan perjalanan ke Jalan Dato Onn, di mana terletaknya Muzium Bank Negara Malaysia. Sebahagian besar bangunan ini dikhususkan kepada bidang numismatik, dengan penyampaian maklumat pendidikan kepada pengunjung mengenai sejarah kewangan negara, daripada syiling lama zaman Kesultanan Melaka hingga teknologi moden seperti perbankan dalam talian.

Namun begitu, di tingkat paling atas terdapat sebuah galeri seni yang kini menampilkan pelbagai karya di bawah tema Dondang Warisan dan Gema Selatan. Dondang Warisan memaparkan Melaka pada zaman dahulu, termasuk lombong bijih timah, perkampungan nelayan dan suasana jalanan, manakala Gema Selatan mengetengahkan karya seni dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, memperlihatkan bagaimana seni di rantau ini dibentuk oleh perjalanan, perdagangan dan peredaran sejarah.
     
Di mana? Sasana Kijang, 2, Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur, 50480 Kuala Lumpur
Bila? Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dibuka dari 10 pagi hingga 5 petang, Selasa hingga Ahad.

Seri Negara

Lokasi seterusnya ialah sebuah bangunan bersejarah, Seri Negara yang merupakan sebahagian daripada kompleks Carcosa Seri Negara, terletak berhampiran Taman Tasik Negara. Dibuka pada tahun 1913 dan dibina dalam gaya neo-Gothic serta Tudor revival, ia dahulunya merupakan kediaman rasmi dan rumah tetamu bagi Pesuruhjaya British. Nama ini merupakan gabungan dua bangunan kolonial di kawasan tersebut, iaitu Carcosa (kediaman) dan Seri Negara (rumah tetamu).

Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, Carcosa Seri Negara telah digunakan sebagai kediaman kenamaan, hotel, dan sejak tahun 2017, sebagai sebuah muzium. Setelah melalui proses pemulihan oleh Khazanah Nasional pada tahun 2025, sekarang merupakan waktu terbaik untuk berkunjung dan melihat muzium yang bukan sahaja memperincikan perjalanan Malaysia menuju kemerdekaan, malah turut menghimpunkan pelbagai karya seni yang indah sebagai sebahagian daripada Galeri Khazanah.     
      
Di mana? Persiaran Tuanku Ja’afar, Tasik Perdana, 50480 Kuala Lumpur
Bila? Seri Negara dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang, Selasa hingga Ahad

The Zhongshan Building

Akhir sekali, jejak seni kita tamat di The Zhongshan Building, yang terletak di Kampung Attap. Bangunan moden pasca-perang ini dibina pada tahun 1950-an untuk Persatuan Zhongshan Selangor. Kini, ia menjadi ruang yang menghimpunkan pelbagai elemen kreatif, daripada galeri seni, kafe, kedai piring hitam, kedai buku hingga kedai alat tulis.

Bangunan ini juga sering menjadi lokasi acara, seperti edisi ke-4 festival tahunan PESTZA pada tahun 2025. Jika anda mencari seni, jangan hanya tertumpu pada galeri sahaja. Seni jalanan di lorong-lorong dan dinding sekitar  bangunan ini juga menawarkan pelbagai karya menarik untuk diterokai.    
     
Berdekatan bangunan ini, anda juga boleh berkunjung ke Pentago House, yang menampilkan mural besar di bahagian luar, sebuah lagi lokasi yang wajar untuk dikunjungi!

Di mana? Jalan Kampung Attap, 80 - 84, Jalan Rotan, 50460 Kuala Lumpur
Bila? The Zhongshan Building dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang, Selasa hingga Ahad

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2