JACQUELINE PEREIRA | 4 September 2025
Teuku Umar Ilany bersama pasukan Gangsapura beraksi penuh semangat semasa persembahan sulung Kampung Ronggeng pada 2023 di Damansara Performing Arts Centre.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan mereka sekali lagi, kali ini di Teater Eksperimental ASWARA.
BAYANGKAN! Apabila matahari terbenam di sebalik bukit-bukau yang menghijau. Penduduk kampung berkumpul di sekeliling padang terbuka. Gelak tawa bergema, mengisi ruang udara senja yang hangat. Muzik mula kedengaran, membimbing penari-penari berpasangan yang saling bertukar senyuman dan tersipu malu dengan langkah-langkah nakal. Sorakan dan tepukan mengiringi, apabila jiran-jiran kelihatan dalam suasana yang bersemangat, bersatu dan cukup mesra. Maka bermulalah malam ronggeng.
Inilah peluang anda untuk menghidupkan kembali kehangatan, irama dan kegembiraan bersama. Dengan pentas moden, pencahayaan kreatif dan teknik teater imersif, Kampung Ronggeng 2.0, persembahan oleh Gangsapura, mengaburkan sempadan antara pelakon dan penonton. Bersedialah untuk dibawa masuk ke dalam sambutan gaya kampung yang meriah, di mana penari dan pemuzik menyulam keriangan mengikut alunan gamelan yang mengasyikkan, membalut anda dalam satu anyaman tradisi yang mempesona.
“Ia satu jemputan: untuk ketawa, untuk menari, untuk menyanyi, dan untuk mengingati bahawa tradisi akan terus hidup apabila kita menghidupkannya bersama,” kata pengasas bersama Gangsapura, Nur Diyana Nadira. Dia bersama suaminya Teuku Umar Ilany, telah menubuhkan kumpulan ensembel muzik ini pada tahun 2016. Ronggeng sentiasa menjadi lambang kegembiraan, kebersamaan dan perayaan dalam dunia Melayu. “Ia merupakan bentuk seni yang secara semula jadi menggabungkan tarian, muzik dan komuniti,” jelas Nur Diyana. “Bagi kami, ronggeng ialah titik permulaan yang sempurna untuk mengingatkan orang ramai bahawa seni tradisional tidak pernah bersifat jauh atau elit – ia sebenarnya dihidupkan, dikongsi dan dinikmati dalam kehidupan kampung.”
Membayangkan Semula Warisan
Sebagai pengamal warisan muzik tradisional, Gangsapura terus meneroka sempadan muzik warisan Melayu bagi membolehkan ia berkembang, menyesuaikan diri dan bersuara dalam zaman yang moden ini. Tanpa terikat sepenuhnya pada masa lalu, kumpulan ini mencipta karya asli, mementaskan persembahan imersif, dan membuka ruang dialog antara tradisi dan inovasi. Mereka memanfaatkan platform kontemporari, dengan penceritaan di media sosial hinggalah kolaborasi di ruang bandar dan sentiasa berusaha untuk mendekati khalayak ramai di mana sahaja mereka berada, dalam cara yang baharu namun tetap berakar.
Persembahan mereka bukan sekadar tentang ingatan budaya, tetapi juga tentang daya cipta. Inilah yang menjadikan Kampung Ronggeng 2.0 sebagai ruang untuk berhubung: antara masa lalu dan masa kini, antara penggiat seni dan penonton, antara kampung dan kota. Seperti yang dikatakan oleh Nur Diyana, “Kami melihat tradisi sebagai satu pengalaman, bukan sekadar pengajaran.” Beliau menekankan: “Dengan menjadikan konsert ini interaktif, imersif dan penuh elemen permainan, kami mengurangkan jurang bagi mereka yang mungkin rasa terasing atau takut untuk mendekati seni tradisional.”
Di mana dan bila
Tarikh: Sept 4 – 7, 2025 (Khamis – Ahad)
Masa: 8.30 mlm (pintu dibuka pada 8 mlm)
Lokasi: Experimental Theatre, ASWARA, 464, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.
Tiket: RM99 (Terhad, tempat duduk imersif yang terbuka)
Untuk maklumat lanjut: Kampung Ronggeng 2.0 – Gangsapura
Discover more stories