Festival Taman KL 2025: Pelbagai Aktiviti Menarik Menanti Anda

Chin Jian Wei | 13 Oktober 2025

Festival Taman KL (KLPF2025), sambutan dwitahunan bertemakan alam semula jadi dan kehijauan bandar, kembali pada 17–26 Okt ini di Taman Tasik Titiwangsa, dengan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Festival ini bertujuan untuk mengingatkan warga kota tentang pentingnya taman dalam memperkayakan kehidupan bandar, menyediakan daya hidup landskap urban masa kini, serta ruang untuk rekreasi, sukan dan aktiviti santai. Peranan taman yang kurang ketara juga termasuk mitigasi banjir, pemuliharaan hidupan liar dan pembekalan udara segar. 
 
Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata: “Ia merupakan satu jemputan terbuka untuk meraikan ruang hijau bandar kita, mempromosikan kelestarian bandar dan gaya hidup yang mesra alam. Ia membantu menyatukan masyarakat majmuk Kuala Lumpur dan negara-negara ASEAN. Ia juga menampilkan kreativiti Malaysia dalam seni, budaya dan makanan. Untuk tahun 2025, festival ini dipandu oleh empat tema utama iaitu kehidupan hijau, ekspresi budaya, penyertaan komuniti dan inovasi melalui alam semula jadi.” 

Minat beliau terhadap kehidupan lestari bukan sekadar dasar semata-mata. “Saya tanam semua jenis herba di kebun saya, lebih daripada sepuluh jenis,” katanya sambil tersenyum. “Di Kediaman Datuk Bandar di KL, saya menanam dengan bantuan tukang kebun. Di rumah saya di Kuala Pilah pula, saya tanam sayur, bela ayam, malah ada kolam itik dan pokok buah-buahan. Semasa saya di Nairobi bersama PBB, saya ada hampir 350 ayam, arnab dan itik! Saya ingin menggalakkan orang lain untuk mendekati pertanian bandar, kelestarian dan gaya hidup organik.” 

Komitmen peribadi inilah yang menjadi asas semangat KLPF2025, mengilhamkan warga kota untuk kembali berhubung dengan alam, walau sesibuk mana pun kehidupan di bandar.
Festival ini turut menampilkan pameran taman dan program interaktif yang menghimpunkan pelbagai sektor komuniti, termasuk penduduk, agensi kerajaan dan korporat, serta institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti. 

Untuk tahun ini, KLPF2025 juga akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN 2025. Pengunjung boleh menantikan pelbagai elemen daripada negara-negara anggota ASEAN yang akan diketengahkan dalam pameran taman, termasuk yang meraikan warisan budaya Malaysia. “Tema utama adalah perpaduan dalam kepelbagaian,” kata Datuk Seri Maimunah. “Ia mencerminkan kekayaan rantau kita.” 

Think City merupakan rakan strategik DBKL bagi Festival Taman KL ini. Daniel Lim, Pengarah Penyelesaian Bandar di Think City berkata, “Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, kami turut mempromosikan festival ini dan akan menganjurkan satu sesi panel pada 21 Oktober yang membincangkan peranan ‘placemaking’ dalam ruang hijau dan awam. 

“Apabila kita bercakap tentang kelestarian dan daya tahan, kita harus melihat lebih jauh daripada sekadar taman. Kehijauan tidak sepatutnya terhad kepada sempadan tertentu, ia seharusnya mengalir ke seluruh bandar, disepadukan dengan sengaja ke dalam jalan, lorong, taman mini, ruang terbuka, malah pada dinding dan bumbung bangunan.” 

Secara keseluruhan, terdapat 12 komponen utama yang dirancang untuk festival ini, antaranya:
Mystical Titiwangsa merupakan tarikan utama acara ini, yang mana ia menampilkan pengalaman imersif yang menggabungkan elemen hortikultur, teknologi visual canggih dan cerita rakyat Malaysia. Kisah seperti Puteri Gunung Ledang dan Si Tanggang akan dihidupkan melalui teknologi interaktif yang membolehkan pengunjung berinteraksi secara langsung dengan pameran. 

Bagi mereka yang gemarkan elemen tradisional, jangan lepaskan peluang mengunjungi Taman Warisan Malaysia, sebuah pameran taman yang mengetengahkan taman-taman budaya dan warisan dari pelbagai bandar dan negeri di seluruh negara bagi menonjolkan keunikan tradisi dan keindahan setiap wilayah di Malaysia. Begitu juga dengan Taman Arca ASEAN yang mempamerkan hasil karya pereka dari Malaysia dan negara-negara ASEAN lain, menggunakan arca dan instalasi seni sebagai medium untuk meraikan warisan dan kreativiti rantau Asia Tenggara.
Bagi meneruskan tema taman ini, Garden of Haven (Taman Syurga) merupakan pameran taman kediaman yang dibawakan oleh penganjur bersama rakan-rakan strategik, yang menampilkan pendekatan Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi (Nature-Based Solutions – NBS) dalam konsep berkebun di rumah. Ia menunjukkan bagaimana sesebuah taman boleh menjadi sebahagian yang tidak terpisah daripada rumah, menggabungkan ruang dalaman dan luaran secara harmoni. 

“Kami ingin menggalakkan komuniti tempatan untuk turut serta dalam menjual produk mereka termasuk sayur-sayuran dan produk inovatif lain yang dihasilkan daripada tanaman,” tambah Maimunah. 

Bazaar Asean Marketplace turut menjadi salah satu tarikan utama festival ini, menampilkan lebih daripada 100 gerai. Gerai-gerai ini menawarkan pelbagai pilihan yang pasti menarik minat pengunjung, termasuk makanan halal, tumbuhan, serta hasil seni dan kraf tangan.
Sorotan lain festival ini termasuk pertandingan terbuka awam seperti KL Balcony Showdown dan Seni Alam Sekitar. KL Balcony Showdown memberi tumpuan kepada reka bentuk landskap dan taman di ruang balkoni kecil, di mana ruang balkoni akan disediakan buat peserta, untuk mempamerkan hasil rekaan mereka dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada warga kota lain untuk menghijaukan kediaman mereka. Sementara itu, pertandingan Seni Alam Sekitar menampilkan karya seni berskala besar dalam persekitaran taman. Terdapat tiga kategori dalam pertandingan ini, iaitu arca yang dibina di atas tanah, digantung di udara, atau terapung di atas air.

Program Young Expression pula dianjurkan dengan kerjasama pelbagai universiti, melalui penubuhan Student Village, iaitu sebuah ruang khas yang menyokong pelbagai pertandingan, persembahan dan aktiviti untuk pelajar institusi pengajian tinggi. Ia memberi peluang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat dan kreativiti mereka dalam dinamik yang menyeronokkan.
Community Garden pula merupakan ruang yang disediakan khusus untuk aktiviti komuniti. Dianjurkan oleh Local Agenda 21 (LA21) dan Persatuan Arboris Malaysia, Community Garden bertujuan mendidik orang ramai dalam kesedaran alam sekitar, penjagaan pokok dan pertanian bandar. Pendidikan ini disampaikan melalui program interaktif seperti pameran, ceramah, pertandingan dan jualan.

Bagi pengunjung yang gemarkan aktiviti lebih lasak dan mencabar, Outdoor Adventure pasti menarik minat, dengan pelbagai aktiviti luar yang mendebarkan seperti glamping, sukan air dan sukan ketahanan. Bagi pengunjung yang lebih gemarkan suasana santai dan dalam bangunan juga tidak dilupakan, mereka boleh menikmati pelbagai permainan tradisional, malah e-sukan turut disediakan! 

Melalui Nature Spark, para pakar tempatan dan antarabangsa turut dijemput untuk berkongsi ilmu dan kepakaran mereka dalam siri seminar, ceramah dan forum yang diadakan sepanjang festival. Akhir sekali, Rhythm of Life merupakan rangkaian instalasi seni cahaya yang bertemakan kepelbagaian budaya ASEAN, diletakkan secara strategik di sekitar taman untuk dinikmati, dirakam dan dikongsi oleh pengunjung melalui gambar dan media sosial mereka.
Salah satu tarikan utama festival semestinya Festival KL Genta: Gendang dan Tarian. Pengalaman yang wajib disaksikan ini menampilkan kepelbagaian tarian dan irama dari enam negara ASEAN dan empat negeri di Malaysia, mempamerkan keindahan keharmonian silang budaya yang unik dan menghiburkan. Fiesta Makanan Halal ASEAN turut disajikan buat anda, yang mana ia menghimpunkan pelbagai hidangan halal dari seluruh rantau ASEAN. Negara jiran seperti Indonesia, Kemboja dan Thailand juga akan mengambil bahagian, manakala juadah tempatan pula diwakili oleh hotel-hotel ternama negara.

Pada tahun 2023, hampir 150,000 pengunjung hadir sewaktu edisi sulung festival taman ini. Tahun ini, Datuk Seri Maimunah berharap agar lebih 250,000 orang akan turut serta! “Akan ada juga lokasi satelit. Kami ingin menghubungkan bahagian lain bandar dengan Taman Titiwangsa,” kata Maimunah, merujuk kepada Taman Perpaduan ASEAN, yang kini dibuka di Raintree Plaza, TRX sehingga 26 Oktober. Sebagai sebahagian daripada Koridor KLPF2025, Pameran Bandar Mekar, kawasan beli-belah dan kewangan ikonik TRX menampilkan gabungan landskap, budaya dan perpaduan yang unik.

Pihak DBKL dan semua penganjur berharap agar KLPF2025 dapat membantu warga kota menghargai ruang hijau bandar dengan lebih mendalam. Menurut Daniel Lim, “Ruang hijau bukan sekadar memberi manfaat alam sekitar seperti menyejukkan bandar, memperbaiki kualiti udara, mengurangkan banjir dan menyokong biodiversiti. Ia juga membina daya tahan sosial dengan memupuk kesejahteraan, keharmonian masyarakat dan rasa kekitaan. Apabila kehijauan disepadukan dalam struktur bandar, ia menjadi penghubung berterusan, bukan sahaja untuk manusia, tetapi juga hidupan liar, sekali gus meningkatkan kebolehlaluan, keterhubungan dan kualiti hidup. Akhirnya, sebuah bandar yang mampan dan berdaya tahan menjadi bandar yang boleh didiami dan disayangi.” 

KLPF2025 dibuka kepada orang ramai dari jam 9 pagi hingga 11 malam setiap hari. Kemasukan adalah percuma.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2