Demi Cinta terhadap Buku

NABILA AZLAN | 25 April 2026

ANDA boleh mengenali sebuah kota yang membaca dan yang tidak. Dengan perwatakan sederhana yang mencintai buku, Kuala Lumpur ialah sebuah hab sastera yang sarat dengan warisan, penuh kecerdikan dan pesona tersendiri. Hal ini jelas melalui pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia UNESCO pada tahun 2020 (KL BACA) serta pelbagai inisiatif dan acara berterusan yang meraikan budaya membaca - antaranya KOTA BACA 2026 oleh Perbadanan Kota Buku, yang kini berlangsung di Dataran Merdeka yang bersejarah (dari 23 hingga 26 April 2026), menghimpunkan pembaca, penerbit dan pengkarya melalui kuasa halus sastera.

Selain itu, kedai-kedai buku kecil dengan pesona tersendiri serta aktiviti di sekitar kota turut membentuk sebuah ekosistem membaca yang dinamik. Kami benar-benar percaya bahawa Kuala Lumpur menawarkan sesuatu untuk semua pencinta buku, jadi senarai ini kami susun untuk semua! Kami membawakan panduan ringkas tentang di mana untuk bermula apabila anda jatuh cinta, atau jatuh cinta semula dengan Kuala Lumpur sebagai seorang pencinta buku, melalui kedai-kedai tempatan dan acara di sekitar bandar, tanpa mengira genre pilihan anda.

…Namun, tidak tanpa bantuan enam personaliti – penulis, penjual buku, artis serta penggerak dunia sastera: Dina Zaman (56), Surin Suksuwan (51), Farah Liyana (28), Muhammad Nazreen (36), Rishika Lazarus (29) dan Linda Tan Lingard (62), yang sama-sama meraikan seni menikmati sebuah buku yang baik.

Sekilas tentang budaya membaca di Kuala Lumpur

Dina Zaman, 56, penulis dan pengasas bersama IMAN Research yang rak bukunya merupakan gabungan memukau daripada fiksyen hingga kajian Islam dan puisi: “Saya rasa ia semakin terbuka kepada umum; dalam satu sudut, itu sesuatu yang baik kerana semakin ramai orang membaca. Saya harus akui, saya sentiasa dikelilingi oleh pembaca.”

Surin Suksuwan, 51, pengasas bersama Sunda Shelves yang sebagai seorang konservasionis alam semula jadi sering tenggelam dalam fiksyen sains dan Malaysiana, selain sejarah alam: “Walaupun terdapat banyak gangguan dalam kehidupan harian di KL, masih ada jumlah pembaca aktif yang tinggi di sini. Terdapat kepelbagaian tabiat dan kecenderungan membaca memperlihatkan lebih ramai peminat fiksyen, dengan pelbagai kelab buku. Terdapat juga sesi membaca dalam pelbagai bentuk dan di lokasi berbeza.”

Farah Liyana Abdul Rahman, 28, penulis terbitan, artis dan pengasas Mythologie Resources yang penulisannya dipengaruhi sifat eksperimental dan surealis oleh Hermann Hesse dan Olga Ravn: “Pembaca di KL sangat pelbagai bergantung pada tempat yang anda kunjungi. Anda lebih mudah menemui ‘makhluk’ membaca ini di tempat yang ada makanan dan akses pengangkutan awam seperti LRT. Kebanyakan pembaca di KL bersifat individual, tetapi terdapat juga sebilangan besar yang mendapati membaca secara berkumpulan itu menenangkan. Sebuah peralihan yang dapat dilihat selepas pandemik, apabila golongan muda mula mencari hubungan dan keterhubungan.”

Dari kiri: Dina, Surin dan Farah Liyana

Muhammad Nazreen, 36, pengasas-pengurus Bukuku Press yang genre kegemarannya merangkumi pelbagai jenis bukan fiksyen - sejarah, politik, isu semasa dan lain-lain: “Pembaca, terutamanya dalam kalangan generasi muda, meningkat secara mendadak. Buku juga mudah diakses. Penerbit semakin banyak. Secara relatifnya, buku import juga berharga mampu milik. KL mempunyai banyak pilihan buat pencinta buku. Mungkin inilah sebabnya budaya membaca yang kita perlukan bukan sekadar berasaskan eskapisme atau pembangunan diri. Walaupun kedua-duanya ada tempatnya tersendiri, tetapi ia tetap berteraskan sejarah, politik dan idea. Permintaan terhadap kedai buku semakin meningkat, pasaran buku terus berkembang.”

Rishika Lazarus, 29, pengasas Rish’s Book Club yang pada satu ketika menyedari beliau tidak menemui ruang yang benar-benar dirasakan sebagai tempatnya, lalu membina tempat itu sendiri: “Apa yang terasa berbeza kini ialah aktiviti membaca makin mudah diakses dan menghasilkan peningkatan membaca. Dengan platform seperti TikTok, Goodreads dan Instagram, perbualan tentang buku kini menjangkau jauh lebih ramai orang. Anda akan melihat seseorang mengesyorkan sebuah buku, dan secara semula jadi ia mencetuskan rasa ingin tahu. Satu buku membawa kepada buku yang lain, dan tiba-tiba anda meneroka genre atau penulis yang mungkin sebelum ini tidak pernah anda pilih. Di KL, kita juga melihat peningkatan ruang yang digerakkan oleh komuniti seperti kelab buku, kedai buku bebas dan acara yang dikurasi, yang menjadikan aktiviti membaca terasa lebih sosial dan dikongsi bersama. Ia bukan lagi sekadar membaca secara bersendirian, tetapi tentang perbualan dan hubungan yang lahir daripadanya.”

Kelab Buku Rishika

Linda Tan Lingard, 62, pengasas dan pengarah OyezBooks serta pengasas bersama dan pengarah Duke Museum of Picture Book Art yang gemar membaca misteri “whodunit”, bukan fiksyen popular dan karya sastera Asia: “Sememangnya aktif, terdapat banyak pesta buku yang dianjurkan secara berkala, dan semuanya sentiasa sesak dengan pengunjung.”

Daripada kegemaran budaya pop hingga judul niche, tidak ketinggalan pilihan luas penerbitan tempatan, kedai-kedai buku di KL mempunyai segalanya. Ia bukan sekadar ruang runcit untuk memuaskan keinginan terhadap bahan bacaan, tetapi juga tempat di mana perbualan bermula dan minat baharu tercetus. Berikut merupakan beberapa kedai yang wajib dikunjungi, satu perspektif berbeza daripada rangkaian antarabangsa popular di KL seperti Kinokuniya, Eslite dan Tsutaya.

Kedai buku fizikal tempatan dan banyak lagi di KL serta sekitarnya


RIWAYAT
Sebuah ruang nyaman dengan pilihan teliti buku fiksyen dan bukan fiksyen, baharu dan lama.

34, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur
Dibuka setiap hari dari 11 pagi hingga 5 petang

G-41, The Campus Ampang, Lot 7706, Jalan Kolam Air Lama, Mukim Hulu Kelang, Ampang, Selangor. 
Dibuka pada hari Ahad hingga Khamis dari jam 2 petang hingga 11 malam; Jumaat dan Sabtu pula dari 2 petang hingga 12 tengah malam.

“Engku Roestam, individu bersemangat di sebalik Riwayat, suatu hari datang kepada saya dengan satu idea yang ringkas: dia mahu membuka sebuah kedai buku kecil di tengah-tengah Kuala Lumpur. Saya tidak memerlukan banyak pujukan. Bandar ini sememangnya memerlukan sebuah ruang sastera yang wajar di pusat kotanya.

Jika anda berada di Kuala Lumpur dan mempunyai waktu lapang di sebelah petang, tinggalkan pusat membeli-belah dan kunjungi kedai buku bebas di sekitar bandar,” kata Nazreen. “[Singgahlah ke] tempat seperti Tintabudi, Riwayat, Czip Lee dan Pelita Dhihin. Namun, jika anda tidak menemui buku yang dicari di kedai buku fizikal tersebut, anda boleh mencarinya di laman Bukuku Press website – kami khusus dalam buku-buku yang jarang dijumpai dan yang sudah tidak dicetak lagi berkaitan Malaysiana yang mungkin sukar ditemui di tempat lain.”

JUNK BOOKSTORE 
Kedai buku terpakai di tengah Kuala Lumpur untuk naskhah sukar ditemui dan khazanah tersembunyi
    
78, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur
Dibuka setiap hari kecuali Ahad dari 8.30 pagi hingga 3 petang

“Saya suka Junk Bookstore kerana saya memang meminati buku-buku lama,” kata Dina.

TINTABUDI
Persinggahan yang menyenangkan untuk pembaca falsafah, sejarah, sastera dan banyak lagi

A-1-13, TTDI Plaza, Jalan Wan Kadir 3, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur
Dibuka setiap hari kecuali Isnin dari 11 pagi hingga 9 malam    
       
“Walaupun kedai buku runcit yang lebih besar mungkin menawarkan banyak buku menarik merangkumi pelbagai topik, penemuan yang benar-benar istimewa selalunya terdapat di kedai buku bebas kerana setiap satunya mempunyai kepakaran tersendiri dan sering menyimpan buku yang tidak mudah ditemui di tempat lain,” kata Surin.

“Bagi pencinta buku sejati, saya sarankan anda menjelajah kedai-kedai buku bebas di KL seperti Riwayat untuk buku berkenaan minat tempatan, Tintabudi yang memberi tumpuan kepada bidang kemanusiaan terutamanya falsafah, Lit Books dengan pilihan fiksyen yang dikurasi, dan tentunya Sunda Shelves jika anda meminati alam semula jadi, budaya dan pengembaraan.”

BOOKXCESS di REXKL

Sebuah ruang moden yang menghimpunkan buku berkualiti tinggi merentasi pelbagai genre
RexKL, Jalan Sultan, Kuala Lumpur
Dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam    
        
“Jika saya sekali lagi dapat mengunjungi sebuah kedai buku buat kali pertama,” kata Farah Liyana, “saya ingin ke BookXcess di REXKL. (Ia menawarkan) pelbagai pilihan untuk pembaca baharu, suasana yang mesra serta sebuah ruang yang penuh keunikan untuk diterokai. Ia memberikan rasa pengembaraan kepada mereka yang teruja dalam pencarian sesebuah judul.

THE DUKE MUSEUM OF PICTURE BOOK ART
Persinggahan yang mempesona, mempamer dan menjual cerita bergambar yang artistik untuk kanak-kanak dan juga yang berjiwa kanak-kanak   

GMBB, 2, Jalan Robertson, Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Dibuka setiap hari dari 11 pagi hingga 8 malam
      
“Kami mempunyai koleksi buku bergambar kanak-kanak Malaysia yang baik, sesuai dijadikan hadiah, selain buku edisi terhad yang jarang ditemui serta beberapa buku berkaitan politik dan sosioekonomi yang dibekalkan oleh Gerakbudaya PJ. Hanya dengan melihat kulit buku, pengunjung sudah boleh mendapat gambaran tentang isu-isu semasa di Malaysia selain sejarah. Kami juga mempunyai karya seni asli dan cetakan daripada artis tempatan seperti Allahyarham Yusof Gajah serta Stephanie Kuen dan Wen Dee Tan,” kata Lingard.

Selain kedai buku, cara kegemaran kami untuk menyelami dunia membaca tempatan secara lebih mendalam serta meneroka penerbit, genre dan bentuk sastera baharu adalah dengan berjalan dengan santai melalui acara-acara buku terbaik di KL. Berikut antara acara tahunan yang paling dinanti, dipenuhi penemuan sastera yang unik dan menjadi buruan, pertemuan bersama pengkarya, pertukaran antarabangsa serta pelbagai cadangan bacaan baharu.

Jom terokai: Acara berkaitan buku untuk dinikmati

KL INTERNATIONAL BOOK FAIR (PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR)
29 Mei hingga 7 Jun 2026 di WTC KL
10 pagi hingga 10 malam
Acara buku terbesar di Malaysia, dijangka menampilkan lebih 1,000 reruai tahun ini, merangkumi galeri, kedai buku dan pelbagai lagi

KL ALTERNATIVE BOOK FEST (KLAB)
Pasar Seni Kuala Lumpur
Tarikh 2026 telah berlalu (30 Jan hingga 3 Feb); kebiasaannya berlangsung pada tahun di suku pertama tahun
Pilihan utama untuk penerbit indie, judul alternatif dan penemuan niche di bawah satu bumbung

KL ART BOOK FAIR
Tarikh bagi tahun 2026 masih belum diumumkan; kebiasaannya berlangsung pada suku akhir tahun
Satu siri jelajah (dan perbincangan) yang menampilkan bakat sastera paling unik di KL, sekali gus membuka ruang kepada wacana seni antarabangsa

Sebuah harapan, apa yang pembaca ingin lihat dengan lebih banyak:
“Lebih banyak ruang membaca di tengah bandar KL. Mungkin ada yang mengatakan rakyat Malaysia boleh membaca di tempat awam seperti taman atau kebun, tetapi faktor luaran seperti cuaca dan akses ke lokasi juga perlu dipertimbangkan.” – Farah Liyana

“Saya ingin melihat lebih banyak penghargaan terhadap buku oleh penulis tempatan, sama ada yang bersifat sejarah atau kontemporari. Selain itu, saya berharap agar penulis tempatan dapat menemukan suara mereka sendiri, bukan menulis semata-mata untuk memenuhi kehendak orang lain.” – Surin    

“Saya ingin melihat lebih banyak acara dan ruang yang dikurasi yang meraikan seni membaca dan pembelajaran. Bukan sekadar membaca secara individu, tetapi mewujudkan persekitaran di mana orang ramai boleh berkumpul, berbual dan membina hubungan melalui buku.” – Rishika

Terokai Detik Bermakna

Ooops!
Generic Popup2