DBKL Temui Rentak yang Tepat

ANN MARIE CHANDY | 26 Jun 2025

Festival Orkestra Kuala Lumpur 2025 menampilkan lebih 30 acara dalam bulan ini, termasuk konsert awam dan pameran sekolah.
SEPANJANG dua tahun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam diam telah merangka sesuatu yang bersifat transformatif – menggunakan muzik orkestra sebagai alat yang berkuasa untuk penglibatan komuniti, pertukaran antarabangsa, pembangunan belia dan pelancongan muzik. Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL), yang kini memasuki tahun kedua, telah berkembang daripada percubaan empat hari pada tahun 2024 kepada satu gerakan budaya selama sebulan di seluruh ibu kota pada Jun 2025. Ia merupakan antara sumbangan paling harmoni DBKL terhadap ekonomi kreatif dan budaya kota ini.

“Kami mulakan secara kecil-kecilan pada tahun lepas sekadar untuk ‘test market’,” kata Dr. Isabella Pek, Ketua Bahagian Muzik DBKL dan Pengarah Festival FOKL. “Dan hasilnya jauh lebih baik daripada yang dijangka – setiap persembahan habis dijual. Tahun ini, kami mahu pergi lebih jauh dan lebih luas, bukan sekadar menghibur, tetapi untuk membina kapasiti, mempromosikan keterangkuman, dan memberikan platform yang sewajarnya kepada orkestra muda kita.”
Dari Persembahan ke Dasar
Edisi FOKL 2025 menampilkan lebih daripada 30 acara sepanjang bulan Jun, termasuk konsert umum, bengkel, persembahan sekolah, dan forum utama selama dua hari yang mana fokusnya menjurus ke arah pembangunan orkestra. Menurut Buku Panduan FOKL 2025, festival ini menghimpunkan pihak berkepentingan dari seluruh Asia Tenggara untuk membincangkan tema kelestarian, kepelbagaian dan kerjasama pelbagai pihak.

Diadakan di laman bersejarah Dataran Datuk Bandar di Jalan Tangsi, Forum Festival Orkestra Kuala Lumpur (Jun 3-4) menjadi kemuncak komitmen DBKL terhadap kepimpinan pemikiran. Suara-suara industri dari Jepun, Thailand, China dan Malaysia berkongsi pandangan tentang masa depan ekosistem orkestra, termasuk model kejayaan dan cara pengendalian yang terbaik. “Kami bawa orang industri yang sebenar – pemimpin orkestra profesional, pendidik dan pembuat dasar budaya,” kata Pek. “Kualiti perbincangan sangat tinggi.”

Antara penceramah yang turut hadir termasuk Masaki Mochizuki daripada Persatuan Orkestra Simfoni Jepun, dan Jiang Taihang, pengulas orkestra terkenal dari Beijing. Apa yang lebih penting lagi, forum ini membuka rangkaian baharu antara orkestra belia tempatan dan institusi berpengalaman seperti Orkestra Simfoni Tokyo dan Orkestra Filharmonik Thailand, sekali gus membuka jalan untuk bimbingan dan kerjasama masa depan.
Sebuah forum perdana selama dua hari telah menghimpunkan orkestra-orkestra muda tempatan dan institusi-institusi terkemuka, mencetuskan jalinan baharu dalam pembangunan orkestra.
Yang penting angka

Peranan DBKL tidak hanya diukur melalui jumlah penonton. Festival tahun ini melibatkan lebih daripada 1,500 pemuzik dari enam buah negara – Thailand, China, Filipina, Jepun, Croatia dan Jerman – menjadikannya sebuah perhimpunan orkestra antarabangsa yang istimewa yang dianjurkan di Kuala Lumpur.

Pemuzik dari luar negara selalunya datang bersama keluarga dan pengiring, sekaligus memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) DBKL untuk “pelancongan muzik.” “Satu orkestra belia dari China membawa 50 pemuzik dan 50 pengiring,” kongsi Pek. “Mereka melawat Putrajaya, makan durian dan membelanjakan wang untuk makanan serta perkhidmatan tempatan. Inilah pertukaran budaya sebenar dan impak ekonomi yang nyata.”

Penyertaan tempatan juga tidak kurang hebatnya. Sembilan buah sekolah dan sepuluh orkestra pelajar turut membuat persembahan. Malah, DBKL menyediakan bas untuk membawa 240 pelajar bagi satu sesi persembahan petang. “Pengurusan orkestra bagi kami merangkumi logistik, layanan, pendidikan dan memastikan setiap orang mendapat pengalaman yang bermakna,” tambah Pek.

Dr. Isabella Pek, Ketua Bahagian Muzik, DBKL dan Direktor FOKL: “ Tahun ini, kami mahukan sesuatu yang lebih luas dan mendalam, untuk membina kapasiti, promosi yang menyeluruh dan berikan akestra muda sebuah platform yang mereka perlukan.”
Lanskap Bunyi yang Kaya

Program tahun ini merangkumi pelbagai bentuk persembahan – daripada himpunan seruling ke opera, orkestra alat genderang hingga kumpulan pancaragam belia. Antara yang menyerlah termasuklah:

  • Music For Sight, konsert amal yang menyokong Persatuan Orang Buta Malaysia, yang menggabungkan penyanyi Eurovision dari Croatia bersama orkestra komuniti;
  • Colours of Passion, persembahan yang diketuai oleh Seniman Kebangsaan Thailand, Maestro Somtow Sucharitkul;
  • Repertoire penuh dari Filipina oleh Orkestra Simfoni Universiti Santo Tomas sempena sambutan Hari Kemerdekaan Filipina;
  • Dan konsert BOMB – satu pertunjukan alatan genderang lintas budaya yang mendebarkan, menampilkan virtuoso marimba Pei-Ching Wu dan pasukan 24 Gendang Perayaan Seremban Chung Hwa yang bertenaga tinggi.

Keterangkuman bukan sekadar tema – ia tertanam dalam DNA festival ini. “Saya sentiasa minta orkestra jemputan untuk adakan bengkel,” kata Pek. “Ini tentang pembangunan kapasiti – bukan sekadar persembahan.” Malah, Orkestra Simfoni Tokyo turut membimbing Orkestra Belia Kuala Lumpur (KLYO) melalui sesi latihan berkelompok dan sesi himpunan penuh – semuanya secara percuma.

Disusun, Bukan Semberono

Walaupun program festival ini kelihatan berwarna-warni dan eklektik, ia jauh sekali daripada bersifat rawak. “Mungkin nampak seolah-olah dipilih secara rambang,” akui Pek, “tetapi semuanya disusun dengan teliti. Kami cuba merangkumi pelbagai genre, kumpulan umur, dan latar budaya. Daripada orkestra komuniti Clap & Tap, PJ Philharmonic hinggalah ke Sadhana Indian Music Centre – ada peranan masing-masing.”

DBKL juga telah berusaha keras memenuhi keperluan rakan penganjur, termasuk mengurus cabaran seperti menyelaras orkestra dengan tahap kemampuan berbeza, menangani pembatalan saat akhir akibat pemotongan bajet, bahkan menyelesaikan isu kehilangan pasport.

Di Sebalik Tabir

Perancangan untuk FOKL 2025 telah bermula seawal bulan Januari, dan Pek segera memberi penghargaan kepada pasukannya di DBKL: “Mereka bekerja siang dan malam – walaupun ini bukan tugas utama kami. Saya amat bersyukur.”

Rasa syukur itu turut dirasai oleh para pengunjung dan rakan kerjasama festival, yang kini melihat Kuala Lumpur sebagai titik penting dalam peta orkestra serantau. Penganjuran forum pula sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang turut sama menyerlahkan peranan kepimpinan ini.

Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri Maimunah Mohd Sharif dalam ucapan aluannya: “Forum ini mengajak kita untuk merenung, membayangkan semula dan mentakrifkan kembali peranan orkestra dalam masyarakat masa kini.”

Lebih daripada sekadar konsert, FOKL mewakili satu pelan tindakan tentang bagaimana seni boleh bersifat sivik, lestari dan inklusif. Ia menjadi bukti bahawa pihak berkuasa tempatan boleh merintis dasar budaya sambil menyemai kreativiti di peringkat akar umbi.

Seperti yang dinyatakan Pek: “Mungkin ini bukan apa yang saya bayangkan pada mulanya. Tetapi apabila penyanyi Eurovision bergandingan dengan orkestra komuniti kita, atau pemuzik belia dari Beijing bermain di bawah pimpinan konduktor Malaysia – itu bagaikan magik. dan semua ini berlaku di sini, di KL.”

Dengan FOKL, DBKL bukan sekadar memenuhi auditorium – ia mengisi kota dengan bunyi, jiwa dan visi tentang apa itu budaya awam.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2