Bangunan ini pada asalnya direka pada tahun 1902 oleh arkitek British, Arthur Benison Hubback, dan dibuka secara rasmi pada tahun 1907. Selama beberapa dekad, ia berfungsi sebagai hab pos utama Kuala Lumpur yang menempatkan kaunter perkhidmatan pos, perkhidmatan telegraf, kemudahan pengasingan surat serta pejabat pentadbiran.
Seiring perkembangan bandar raya Kuala Lumpur, fungsi bangunan ini turut berubah mengikut peredaran masa. Ia kemudiannya digunakan untuk tujuan kehakiman sebelum akhirnya diserahkan kepada Aset Warisan bagi menjalankan kerja-kerja pemuliharaan bermula Februari 2025.
Kini, PPBL diberi nafas baharu sebagai destinasi budaya dan kulinari yang meraikan kepelbagaian tradisi makanan Malaysia. Ruang ini diinspirasikan daripada “Budaya Sarapan Malaysia” yang telah disenaraikan dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada tahun 2024.
Walaupun seni bina bangunan ini kekal menjadi tarikan utama, ruang yang diaktifkan semula ini turut memberi tumpuan kepada tradisi kulinari dan pengalaman komuniti.
Pengunjung kini boleh menerokai gabungan jenama tempatan dan premis makanan seperti Niko Neko Matcha Artisans, Oriental Kopi, Tannin Hill, Banglo 289, Ruai, Saudagar dan Kongsi Kreatif. Satu lagi tarikan menarik ialah A Piece of Malaysia (APOM), sebuah kolektif cenderamata yang menampilkan jenama berinspirasikan tempatan seperti Salang Design, Topi Tin dan Puritea.
Secara keseluruhannya, para penyewa ini mewujudkan sebuah ruang yang cukup bercirikan Malaysian, namun tetap kekal mesra kepada penduduk tempatan dan pelancong.
Tawaran kulinarinya turut mencerminkan semangat masyarakat majmuk bandar raya ini, daripada hidangan klasik kopitiam dan masakan tradisional Melayu hinggalah kepada cita rasa masyarakat pribumi Sarawak serta resipi tradisional India.
Sepanjang sesi lawatan media, para tetamu berpeluang menikmati pelbagai jenis hidangan dan minuman yang mengetengahkan kepelbagaian kulinari Malaysia, termasuk gelato pulut hitam, teh nitro-brew, kuih lompat tikam, pani puri, bebola dhal serta ayam pansuh yang kaya dengan rasa.