Cuckootopia bawa Muzik ke Stadium Merdeka

DANIAL ISHAK | 27 Oktober 2026

HUJUNG minggu lalu menjadi antara detik istimewa buat warga Kuala Lumpur apabila mereka berpeluang menikmati pemandangan Menara Merdeka Maybank dengan lebih jelas setelah sekian lama. Penganjuran Konsert Apresiasi Ulang Tahun Ke-12 CUCKOOTOPIA baru-baru ini turut membuka peluang kepada pengunjung untuk meneroka Stadium Merdeka sambil merakam kenangan berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit ikonik tersebut.

Penganjuran acara ini juga mencerminkan aspirasi Warisan KL dalam menghidupkan semula pusat bandar sebagai ruang pertemuan yang menyatukan warisan, budaya, komuniti dan pengalaman kontemporari. Stadium Merdeka bukan sekadar mercu tanda bersejarah, malah merupakan ruang komuniti yang terus hidup, tempat rakyat Malaysia berkumpul, meraikan kebersamaan, meneroka keunikan kota dan mencipta kenangan baharu dalam suasana yang sarat dengan nilai sejarah. Acara seperti CUCKOOTOPIA membuktikan bahawa ruang warisan mampu terus kekal relevan buat generasi baharu, sekali gus menyatukan masyarakat melalui muzik, makanan, budaya dan pengalaman yang dikongsi bersama.


Ribuan peminat teruja menyaksikan pentas konsert CUCKOOTOPIA berlatarbelakangkan Menara Merdeka Maybank.

Pelbagai gerai yang menawarkan juadah tempatan dan kopi turut memenuhi kawasan sekitar stadium, selain kemudahan stesen air minuman yang disediakan di beberapa lokasi bagi memastikan para pengunjung kekal hidrat. Ruang untuk menjamu selera dan berehat juga disediakan, membolehkan keluarga serta rakan-rakan menikmati makanan sambil mengembalikan tenaga di antara aktiviti konsert, serta kemudahan lain.

Dalam kemeriahan acara, para pengunjung turut memperlihatkan sikap saling menghormati ketika berkongsi ruang awam, di samping bersama-sama menjaga kemudahan yang disediakan. Pergerakan pengunjung di sekitar kawasan stadium juga berjalan lancar meskipun melibatkan acara berskala besar. Pembahagian zon dan laluan masuk yang ditandakan dengan jelas membantu melancarkan pergerakan orang ramai, manakala petugas keselamatan serta kru konsert sentiasa bersedia memberikan panduan dan arahan yang mudah difahami.

Sebelum konsert utama bermula, pengunjung yang tiba lebih awal dihiburkan dengan persembahan pembukaan oleh Emiliy Chia, Umairah, ODDA dan Janice Yoong. Persembahan mereka berjaya menghangatkan suasana dan membangkitkan keterujaan penonton menjelang malam, seiring dengan matahari yang perlahan-lahan terbenam.

Acara diteruskan dengan pertandingan pakaian terbaik yang, apabila para pengunjung digalakkan menggayakan busana batik bermotifkan bunga sebagai meraikan salah satu khazanah warisan tradisional Malaysia. Pertandingan ini bukan sahaja menyerlahkan kreativiti dan keunikan gaya fesyen para peserta, malah menjadi platform untuk memperlihatkan bagaimana warisan tradisional terus diberi nafas baharu melalui interpretasi gaya yang berbeza. Lebih menarik, pertandingan ini cukup bertepatan dengan kedudukan Muzium Tekstil Merdeka yang terletak bersebelahan Stadium Merdeka, sekali gus memperlihatkan bagaimana generasi berbeza terus menghargai, mentafsir dan mengekspresikan warisan budaya mengikut kreativiti serta identiti masing-masing.


Pengunjung konsert tampil segak dengan busana batik terbaik mereka.

Apabila malam mula menyelubungi langit, udara pula semakin nyaman, konsert yang dinanti-nantikan akhirnya membuka tirainya dengan Fiza Frizzy, Owen Yap dan Kamal Adi sebagai pengacara. Konsert ini turut dimeriahkan dengan penganjuran acara anugerah, Anugerah Melodi Terhangat 2026.

Hampir 18,000 pengunjung membanjiri Stadium Merdeka, mewujudkan suasana yang cukup meriah dan penuh keterujaan. Kemeriahan ini turut terserlah melalui susun atur pentas yang dirancang dengan teliti. Pentas utama ditempatkan di hujung padang bagi memastikan penonton, sama ada yang berada di kawasan padang mahupun di tempat duduk stadium, dapat menikmati persembahan dengan pandangan yang jelas tanpa sebarang halangan. Skrin gergasi yang dipasang di kedua-dua sisi pentas, bersama penggunaan pelbagai sudut kamera, membolehkan penonton menyaksikan aksi para penghibur dari jarak dekat. Paparan dari sudut pandangan udara turut memperlihatkan skala keseluruhan konsert serta kemeriahan ribuan penonton yang memenuhi stadium bersejarah itu.

'Di sebalik setiap kejayaan, ada insan yang menjadikannya kenyataan. Terima kasih atas segala-galanya, dan bersama-sama, kita akan terus berkembang dengan lebih gemilang,' kata Hoe Kian Choon, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia.

Penghargaan turut diberikan kepada warga kerja CUCKOO menerusi Anugerah Penghargaan CUCKOOTOPIA 2026 yang mengiktiraf sumbangan dan dedikasi kakitangan dalam pelbagai bidang, termasuk perkhidmatan, teknikal, penjagaan kediaman, pengurusan kutipan serta sokongan operasi. 

Pengiktirafan ini menjadi peringatan bahawa di sebalik kemeriahan dan kemegahan acara tersebut, terdapat sebuah organisasi dengan struktur operasi yang kompleks, digerakkan oleh semangat kerjasama dan usaha kolektif pelbagai pihak demi menjayakan sebuah acara yang menyatukan masyarakat. Bagi rakyat Malaysia yang gigih bekerja dan mencurahkan sepenuh komitmen setiap hari, penganjuran anugerah dan konsert ini menjadi detik penghargaan yang amat bermakna, sekali gus memberikan pengiktirafan sewajarnya terhadap segala usaha dan pengorbanan mereka. Kepentingan menghargai sumbangan warga kerja ini turut ditekankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia dalam ucapan pembukaannya.

Suasana terus hangat dengan sorakan peminat: Ella, Firdhaus dan Jaclyn Victor antara barisan bintang yang menggegarkan pentas CUCKOOTOPIA dengan persembahan bertenaga.


Barisan artis yang menjayakan konsert ini terdiri daripada Mimifly, 3P, Ella, Jeryl, Trevor Kua dari Taiwan, ALPHA, Hujan, Faizal Tahir, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Firdhaus, Phei Yong dan Jaclyn Victor. Malam penuh gemilang itu kemudian melabuhkan tirai dengan kemunculan istimewa penyanyi, penulis lagu dan pelakon dari Korea Selatan, Lee Junho, yang berjaya mencuri perhatian serta menambat hati para peminat.

Daripada persembahan rock penuh bertenaga oleh kumpulan Hujan sehinggalah alunan balada yang menyentuh jiwa oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza, kepelbagaian barisan artis berjaya membawa penonton menghayati pelbagai emosi sepanjang konsert berlangsung. Ratu Rock negara, Ella, sekali lagi membuktikan kehebatannya sebagai legenda muzik tanah air menerusi lontaran vokal yang mantap dan penuh bertenaga. Persembahannya menggegarkan seluruh stadium apabila ribuan penonton turut menyanyikan lagu ikonik Standing in the Eyes of the World bersama-sama. Para peminat turut dihiburkan dengan sebuah lagi lagu klasik tanah air apabila Jaclyn Victor mempersembahkan lagu Gemilang yang cukup sinonim dengan semangat kejayaan dan inspirasi. Kehadiran artis antarabangsa seperti Trevor Kua dari Taiwan dan Lee Junho dari Korea Selatan pula memperlihatkan pengaruh serta daya tarikan konsert ini yang semakin meluas di peringkat serantau.

Salah seorang pengunjung turut meluahkan rasa kagum terhadap penganjuran konsert yang disifatkan sebagai cukup menghiburkan dan seimbang dari segi pemilihan artis serta persembahan. Menurutnya, kepelbagaian barisan penghibur yang ditampilkan memastikan setiap penonton dapat menikmati persembahan yang bersesuaian dengan cita rasa muzik masing-masing.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza tidak melepaskan peluang berswafoto dengan Lee Junho.

“I was surprised at the quality of sound, lighting and camera effects, and the pyrotechnics made powerful songs like Ella even more impactful. The drones flying around the performers and the stadium was also made it look like a music video. I haven’t been to a large concert like this, but even though it was crowded, it was comfortable for my friends and I, we had our own space to dance and sing along,” says Syahirah, 26, after the concert ended.

“Saya benar-benar kagum dengan kualiti sistem bunyi, pencahayaan dan kesan visual kamera yang dipersembahkan. Penggunaan kesan piroteknik pula menjadikan persembahan bertenaga seperti Ella lebih mengagumkan dan memberi impak yang luar biasa. Kehadiran dron yang berlegar di sekitar pentas dan stadium turut menjadikan keseluruhan persembahan seolah-olah sebuah rakaman video muzik. Ini merupakan pengalaman pertama saya menghadiri konsert berskala besar seperti ini. Walaupun dipenuhi ribuan penonton, suasananya tetap selesa untuk saya dan rakan-rakan. Kami masih mempunyai ruang yang mencukupi untuk menari dan menyanyi bersama-sama sepanjang persembahan,” kata Syahirah, 26, selepas konsert berakhir.

“Susunan acara konsert ini juga sangat bersesuaian dengan pelbagai lapisan penonton, termasuk mereka yang hadir bersama keluarga. Perkara-perkara kecil seperti selingan waktu rehat dan sesi penyampaian anugerah memberi peluang kepada penonton untuk menikmati minuman, keluar masuk stadium dengan lebih mudah, mengunjungi gerai jualan serta merakam gambar di sekitar kawasan stadium. Perancangan sebegini membolehkan para penonton mengekalkan tenaga dan keterujaan sepanjang konsert berlangsung, yang bermula seawal jam 6 petang dan hanya berakhir pada tengah malam,” jelas Yavinash, 35, seorang lagi pengunjung yang hadir.

Malam penuh kemeriahan itu melabuhkan tirai dengan upacara memotong kek sempena sambutan ulang tahun ke-12 CUCKOO, diikuti pertunjukan bunga api yang menerangi langit Stadium Merdeka. Secara keseluruhannya, CUCKOOTOPIA berjaya memberikan pengalaman yang menyeronokkan dalam suasana yang bersih, selamat dan selesa buat para pengunjung. Lebih daripada sekadar sebuah konsert, penganjuran acara ini membuktikan bahawa Stadium Merdeka terus memainkan peranannya sebagai ruang komuniti yang hidup, tempat masyarakat, budaya dan warisan bertemu serta diraikan bersama. Ia sekaligus mengingatkan kita bahawa mercu tanda bersejarah ini bukan sekadar menyimpan kenangan silam, malah terus menjadi pentas untuk mencipta kenangan baharu, menyatukan masyarakat dan menyerlahkan bakat-bakat terbaik tanah air.

Terokai Detik Bermakna

Hubungi kami
Ikuti kami di
Ooops!
Generic Popup2