Benang Tradisi

Nabila Azlan | 8 April 2025

Dari dewan bersejarah Muzium Tekstil Negara hingga ke kesibukan jalan Masjid India yang dipenuhi deretan kedai kain yang sarat dengan warisan, cinta Kuala Lumpur terhadap tekstil telah sebati dalam identiti kotanya sendiri.

Menjelang musim perayaan Hari Raya, kemeriahan turut terasa di gedung-gedung ikonik seperti Jakel Mall dan Haniffa Department Store, di mana keluarga berpusu-pusu mencari pakaian siap pakai serta fabrik terbaik untuk dijadikan busana raya mereka.

Di ibu kota, tidak pernah kurang unsur budaya dan warisan, terutamanya menjelang musim perayaan seperti Hari Raya dan Deepavali (bayangkan betapa meriahnya ibu kota apabila menyambut musim perayaan yang bergabung (kebetulan perayaan jatuh pada bulan yang sama) seperti DeepaRaya, Gong Xi Raya dan gabungan Hari Raya-Krismas! Sambutan seperti ini biasanya muncul sekali setiap 30 tahun).

“Tak kenal, maka tak cinta,” begitulah bunyi pepatah Melayu yang terkenal – jika kita tidak mengenali sesuatu, bagaimana mungkin untuk menyayanginya? Ungkapan ini cukup bermakna terutamanya ketika musim Hari Raya, apabila busana tradisional yang diinspirasikan daripada gaya legenda masa lalu kembali menjadi tumpuan.

Dalam kami menyingkap kisah di sebalik busana dan fabrik tradisional, ia telah membawa kami ke Muzium Tekstil Negara, yang terletak bersebelahan dengan bangunan ikonik Sultan Abdul Samad di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Who, what, wear  di Muzium Tekstil Negara

Sebuah gudang budaya yang abadi dalam dua setengah tingkat, Muzium Tekstil Negara terdiri daripada empat galeri tetap dengan tema yang berbeza namun saling berhubung. Di tingkat bawah terletaknya Galeri Pohon Budi yang menawarkan kursus pantas mengenai sejarah, evolusi dan pembuatan tekstil Malaysia lengkap dengan barisan alat dan teknologi yang diperlukan untuk penyediaan setiap satu tekstil. Jika anda belum menjejakkan kaki ke sini, anda pasti akan terpesona dengan kehalusan dalam menyusun fabrik buatan tangan khas seperti Tekat Benang Emas, Songket, Tenun Pahang Diraja, Pua Kumbu dan banyak lagi.

Galeri Pelangi pula sewarna-warni namanya. Ia adalah paparan yang disusun dengan teliti mengenai fabrik-fabrik terkenal dari dunia Melayu, India, Cina dan Borneo yang merentasi beberapa dekad. Galeri ini menawarkan penghayatan visual terhadap kemahiran tangan yang mentakrifkan kehidupan merentasi budaya – memaparkan apa yang pernah dipakai oleh pengantin, petani, pahlawan dan pemimpin. Amati bagaimana bentuk dan fesyen tekstil untuk baju kurung dan kebaya dari dunia Melayu serta saree dan tenunan dari dunia India telah kekal ke hari ini.

Naik ke tingkat kedua Muzium dan masuk ke dalam Galeri Ratna Sari, di mana paparan permata dan perhiasan yang memukau menanti. Di sini, tukang-tukang mahir telah membentuk emas, tembaga, perak, manik dan bahkan tumbuhan menjadi kalung, tali pinggang dan mahkota yang rumit – setiap satu direka untuk menandakan upacara etnik dan tradisi. Ciptaan hiasan yang mewah ini melengkapkan benang tenunan pakaian tradisional, menghidupkan warisan setiap budaya.

Galeri Teluk Berantai, yang terletak bersebelahan dengan Ratna Sari, mempamerkan simfoni fabrik yang dipinjam dari dunia Melayu klasik. Motif-motif rumit dan mendefinisikan seperti Kelingkan, Limar dan Telepuk membentuk gambar intim tentang warisan seni, menambah lagi kekayaan dan kepelbagaian budaya yang dapat dilihat di Malaysia.

Mengapa tidak alami penemuan budaya anda sendiri? Muzium Tekstil Negara di Jalan Sultan Hishamuddin dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang, dengan yuran kemasukan antara RM2 hingga RM5. Tapi ingat, pembelian tiket hanya menggunakan tunai. Layari Laman Rasmi Muzium Tekstil atau Laman Facebook mereka untuk sebarang kemas kini.

Tradisi Fesyen Generasi
Di samping dekorasi dan banting yang dipasang menjelang musim perayaan budaya seperti Hari Raya dan Deepavali, anda akan melihat barisan kedai yang menjual pakaian tradisional, kelengkapan perayaan dan barangan keperluan solat, semua dalam suasana yang cukup meriah untuk menyambut kepelbagaian perayaan dan perpaduan.

Kedai-kedai tekstil Malaysia telah lama menjadi pusat antara tren fesyen yang berkembang dan gaya yang kekal sepanjang zaman – yang sering membawa reka bentuk yang dapat diperlihatkan di Muzium Tekstil Negara. Kebanyakkan perniagaan ini, telah bertahan dari generasi ke generasi, yang juga merupakan perintis dalam landskap keusahawanan negara. Di tengah-tengah Masjid India, kedai-kedai keluarga yang terkenal berdiri kukuh sebagai tiang warisan, di mana ibu bapa, adik-beradik dan anak-anak bekerja bersama-sama untuk membina kejayaan yang telah lama dibina sejak beberapa dekad. Rak-rak mereka dipenuhi dengan broked, kapas, songket dan sulaman yang rumit – benang-benang ini telah terjalin dalam pelbagai perayaan tempatan.
Kamdar
Lokasi: 113, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Pusat Bandar, 50100 Kuala Lumpur
Usahawan kelahiran Gujarat, Harsukhlal Maganlal Kamdar (HM Kamdar) memulakan langkah dalam dunia keusahawanan dengan bantuan bapa dan abangnya sekitar tahun 1941 di Malaysia. Kamdar ditubuhkan pada tahun 1950-an di Ipoh, Perak sebelum berkembang ke Pulau Pinang dan kemudiannya, Singapura. Kedai pertama di Jalan TAR adalah pada tahun 1987.

Haniffa Department Store
Lokasi: Wisma Haniffa, 149, Jalan Masjid India, Pusat Bandar, 50100 Kuala Lumpur
OK Mohamed Haniffa berusia 12 tahun ketika menemani bapanya ke Singapura pada tahun 1952. Haniffa Textiles Pte Ltd ditubuhkan di sebuah kedai sewa di Campbell Lane sebelum ia berkembang ke Malaysia pada tahun 1976.

Jakel Mall Kuala Lumpur
Lokasi: Lot 159, Jakel Square Off, Jalan Munshi Abdullah, Pusat Bandar, 50100 Kuala Lumpur
Asal-usul Jakel bermula pada tahun 1983 apabila Mohamad Jakel Ahmad menubuhkan jenama borong ini di Muar, Johor.
Sambil anda melihat dari satu kedai ke satu kedai, luangkan sedikit masa untuk mengagumi Masjid India – masjid ikonik yang memberi nama kepada kawasan yang meriah ini. Ditubuhkan pada tahun 1883 dengan sebuah struktur kayu yang berwajah sederhana, ia kemudian dibina semula dengan bata merah pada tahun 1963, masjid ini menggabungkan pengaruh India dan Melayu. Dikelilingi oleh generasi pengusaha, tukang jahit, dan artisan, ia terletak di tengah-tengah Pasar Jalan Masjid India, di mana pengunjung datang bukan hanya untuk sejarahnya, tetapi juga untuk pengalaman membeli-belah yang pelbagai dan menarik.

Omar Ali
Location: 13 & 19, Wisma Yakin, Jalan Masjid India, 50100 Kuala Lumpur
Dahulunya seorang perantis kepada pereka Jepun yang pakar dalam gaun malam, Omar Ali ialah hasil usaha Hj Omar Ali yang diasaskan pada tahun 1935.

Madras
Location: 100, Jalan Masjid India, City Centre, 50100 Kuala Lumpur
Bermula sebagai perniagaan barang kemas, Madras di Masjid India diasaskan oleh MK Rajendran pada tahun 1990-an.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2