Alami ketenangan dan keberanian di Taman Tugu

S. Indramalar | 3 Jun 2025

Rata- rata di KL dan Selangor, yang menemui hutan tersembunyi di tengah bandar ini, mungkin terasa seperti menemui salah satu rahsia alam semula jadi yang terbaik. – Foto: S. Indramalar
PA sangka, hanya beberapa minit dari kesibukan bandar Kuala Lumpur, tersembunyi sebuah ruang tenang untuk anda larikan diri ke alam semula jadi? Taman Tugu – sebuah tempat hutan hujan yang dilindungi di tengah-tengah kota – sebuah ruang yang tenang untuk anda lari dari rutin harian, dengan menawarkan laluan pendaki yang sunyi dengan udara yang menyegarkan.

Walaupun saya telah menetap di Lembah Klang selama lebih 40 tahun, taman hutan bandar ini merupakan penemuan baru yang menggembirakan buat saya. Tersembunyi di belakang mercu tanda terkenal kota, kawasan yang penuh kehijauan seluas 26.7ha (66ekar) ini bukan sahaja menawarkan ruang untuk melepaskan tekanan, tetapi juga peluang untuk kembali bersatu dengan alam semula jadi.
Laluan bertanda dengan warna di sini adalah mesra pengguna, sesuai untuk semua walaupun untuk mereka yang bukan pendaki. Jika anda temui laluan dengan gelung hijau dan kuning, kedua-duanya menandakan trail sepanjang 1.5km, manakala laluan dengan gelung oren dan putih pula lebih pendik dan perjalanan yang lebih santai sepanjang 1km. Bagi anda yang ingin meneroka lebih jauh, anda boleh memilih laluan sepanjang 5km yang akan membawa anda lebih dalam dan nikmati keajaiban hutan hujan yang tenang ini.

Peta laluan boleh ditemui di pintu masuk dan di beberapa lokasi sepanjang perjalanan, tetapi sebenarnya, anda tidak memerlukannya pun – hanya ikut laluan yang telah ditanda dengan jelas dan biarkan hutan menjadi penunjuk arah anda. Kemasukan adalah percuma, dan pada hujung minggu serta cuti umum, suasana di sini menjadi lebih meriah dengan gerai makanan dan minuman sementara yang menghidupkan kawasan sekitar.

Semasa lawatan saya – pada pagi hari minggu – suasananya lebih tenang. Hanya beberapa puluh pengunjung lain berkongsi ruang ini bersama saya dan rakan untuk berjalan, ini termasuklah beberapa penunggang basikal yang menyusuri jalan berliku menuju ke taman. Ia damai dan terasa seperti jalan peribadi – seperti yang saya inginkan.
Penulis dan rakan berjalan kakinya menikmati suasana tenang di sepanjang denai Taman Tugu yang damai. – Gambar: S. Indramalar.
Apa yang menjadikan Taman Tugu lebih istimewa ialah kisah di sebaliknya. Dahulunya kawasan ini merupakan sebidang tanah yang terbiar dan dipenuhi semak samun, ia kemudiannya telah dihidupkan semula dan dipulihkan menjadi taman hutan yang subur seperti yang kita lihat hari ini – hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Khazanah Nasional Berhad, dana kekayaan negara Malaysia, serta sokongan pelbagai agensi kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil. Kawasan ini bukan sekadar tempat rekreasi – tetapi juga tentang pemuliharaan.

Dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), kira-kira 1,000 pokok di kawasan ini telah dikenal pasti dan ditanda untuk tujuan pemuliharaan. Menurut laman web rasmi tamantugu.my, lebih daripada 5,000 pokok – termasuk lebih 230 spesis hutan hujan asli Malaysia – telah ditanam di seluruh taman ini setakat ini.

Mungkin agak pelik untuk anda melihat pokok kelapa sawit di sepanjang laluan , namun pokok- pokok ini dipercayai telah diperkenalkan oleh pihak British sebelum tahun 1957 lagi, memandangkan kawasan ini dahulunya menempatkan kediaman penjawat British. Hanya selepas kemerdekaan, kawasan ini bertukar menjadi tempat kediaman pegawai tinggi kerajaan Malaysia, termasuklah bekas Menteri Kewangan negara, Tun Tan Siew Sin.

Tapak Taman Tugu ini juga menempatkan Madrasah Bustanul Ulum (yang telah menerima pengiktirafan di Anugerah Persatuan Arkitek Malaysia 2023), serta empat kuil Hindu yang dahulunya memenuhi keperluan rohani penduduk yang pernah menetap di kawasan ini.

Tidak jauh dari taman ini terletaknya Tugu Kebangsaan, sebuah tugu peringatan perang yang menjadi lambang penghormatan buat mereka yang terkorban demi memperjuangkan kemerdekaan Malaysia daripada penjajah. Jika Taman Tugu membangkitkan rasa ketenangan, tugu ini pula menggerakkan sesuatu yang lebih mendalam – muhasabah, penghormatan dan peringatan.

Arca gangsa tujuh askar yang digambarkan dalam posisi pertempuran itu sangat mengagumkan. Setiap figura melambangkan nilai teras – kepimpinan, pengorbanan, perpaduan, kewaspadaan, kekuatan, keberanian dan penderitaan. Direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon – individu yang sama di sebalik Memorial Iwo Jima di Amerika Syarikat – tugu ini berdiri sebagai tanda penghormatan buat perajurit kemerdekaan Malaysia.
Direka oleh pengukir Tugu Iwo Jima, Felix de Weldon, Tugu Kebangsaan merupakan penghormatan Malaysia buat perwira yang telah gugur. – Foto: Ann Marie Chandy
Di kaki tugu ini, terletaknya plak marmar hitam yang terukir dengan kata-kata Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman, sebagai penghormatan buat mereka yang telah mengorbankan nyawa demi kebebasan negara.

Jika anda sedang mencari cara mudah untuk melarikan diri buat seketika daripada kesibukan kota tanpa perlu meninggalkan bandar, Taman Tugu benar-benar sesuai untuk dikunjungi. Sama ada anda berjalan kaki, bersiar-siar atau sekadar mendengar desiran daun di atas kepala, permata tersembunyi ini memberi peluang untuk anda berhenti sejenak, merenung, dan berhubung semula – dengan alam, dengan sejarah dan mungkin juga dengan diri sendiri. Bawa air (dan jangan lupa sapu pelindung matahari dan sedikit penghalau nyamuk!), pakai kasut yang selesa dan biarkan hutan yang melakukan selebihnya.

  • Taman Tugu terletak di 94-1, Jalan Sultan Salahuddin, 50480 Kuala Lumpur.
  • Tempat parkir ada disediakan di sekitar nurseri Taman Tugu dan ia adalah percuma dari 7pagi - 6.30 petang.
  • LRT terdekat untuk ke Taman Tugu adalah Masjid Jamek. Hanya 15 minit berjalan kaki dari situ ke taman hujan bandar ini.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2