Aktiviti Terbaik untuk Kanak-Kanak di KL

VERONICA SHUNMUGAM | 19 NOVEMBER 2025

Sama ada menikmati keindahan di Taman Rama-Rama, mengikuti aktiviti seni, mendengar muzik di bawah pokok atau mencuba sesi kraf, keluarga boleh meneroka pelbagai tempat mesra kanak-kanak di pusat bandar Kuala Lumpur sempena Hari Kanak-kanak Sedunia.

SETIAP tahun pada 20 Nov, Hari Kanak-Kanak Sedunia mengingatkan kita untuk berhenti sejenak, melihat sekeliling dan melihat bandar melalui mata para peneroka ciliknya. Jika anda berada di Kuala Lumpur, anda akan sedar bahawa bandar ini bukan sekadar bangunan besi, konkrit warisan dan kesesakan, ia adalah taman permainan terbuka yang penuh dengan kisah tersendiri, kejutan dan ruang di mana kanak-kanak boleh belajar, berkarya dan melepaskan tenaga dengan seronok.

Daripada ruang hijau semula jadi hingga muzium interaktif dan sudut kreativiti, inilah panduan anda untuk pengembaraan mesra kanak-kanak yang terbaik di teras warisan KL. Sesuai untuk keluarga yang meraikan semangat Hari Kanak-Kanak Sedunia, atau sekadar mencari hari yang ceria di kota.
Warnai Bandar (dan Kanvas) di Balai Seni Negara
Jika si cilik Picasso anda mencapai krayon sebelum sarapan, inilah tempat untuk membiarkan imaginasi mereka berlari bebas. Kids Club di Balai Seni Negara ialah pusat berwarna-warni untuk artis cilik, dengan yuran keahlian serendah RM10 sahaja (sah sehingga anak anda berusia 12 tahun!), ia merupakan salah satu pengalaman seni yang sangat berbaloi di bandar ini.

Terbuka kepada kanak-kanak Malaysia berumur 4–12 tahun, kelab ini menawarkan bengkel percuma yang bersubsidi sepanjang tahun. Bayangkan anak anda berpeluang menjalani sesi doodle, aktiviti melukis dengan bimbingan bersama pelukis. Antara keistimewaan keahlian termasuk diskaun 10% di Kedai NAG dan 20% untuk bengkel berbayar, serta jemputan e-mel eksklusif ke program istimewa.    

Kanak-kanak perlu ditemani orang dewasa, sesuai untuk ibu bapa yang mahu masa berkualiti tanpa rasa bersalah. Manalah tahu… mungkin anda dapat menyaksikan bakal Lat atau Yusof Gajah junior sedang berkarya.
Tradisi Kraftangan di Muzium Negara
Setiap hari Sabtu sehingga akhir tahun, Muzium Negara menjemput kanak-kanak berumur 7–12 tahun untuk menyertai kelas kraf percuma di bawah Program Ceria di Dewan Tengah. Di sini, mereka akan belajar menghasilkan kraf ikonik seperti wau dan rebana ubi, serta meneroka artifak yang menghidupkan warisan budaya Malaysia.

Kelas bermula pada pukul 11 pagi, sesuai untuk seisi keluarga yang perlu mengurukan kerja rumah dan aktiviti kokurikulum pada waktu pagi. Bila perut mula berbunyi, anda sekeluarga boleh ke Kafe Muzima, gerai berdekatan, malah terdapat juga mesin layan diri muzium.  

Selepas itu, sejukkan badan anda di Koleksi Tetap Sejarah Awal yang telah diperbaharui, menampilkan replika Perak Man berusia 11,000 tahun yang pasti memikat pencinta sejarah cilik. Sebelum pulang, jangan lepaskan peluang melihat Mini Bus merah jambu nostalgia dan pakcik ais krim yang menunggu di tempat letak kereta.
Taman Tugu, Alunan Muzik Pagi di Bawah Pokok
Alam semula jadi + muzik = resipi terbaik untuk anak-anak yang ceria! Hujung minggu di taman hutan Taman Tugu seluas 27 hektar menawarkan cara sihat untuk keluarga kembali berhubung dengan alam. Di Taman Tugu Nursery, persembahan busking secara langsung dari 9 pagi sehingga 11 pagi memberi bayi dan anak kecil anda pengenalan lembut kepada ritma, kreativiti dan penerokaan bunyi.

Bawa keperluan asas seperti snek, minuman, topi, pakaian atau lampin, serta permainan luar. Bazar berdekatan (7 pagi sehingga 12 tengah hari) sangat membantu jika anda memerlukan barang tambahan saat akhir. 

Formulanya mudah: udara segar, pepohon yang rendang, dan kegembiraan menyaksikan pemuzik tempatan berkarya, semuanya menjadikan permulaan hari yang tenang dan menyegarkan.
Hujung Minggu Seni Yang Menarik di Muzium Kesenian Islam Malaysia
Jika anak-anak anda mudah letih di bawah terik matahari, kami menawarkan aktiviti dalam bangunan, khususnya ke Perpustakaan Kanak-Kanak Muzium Kesenian Islam Malaysia (IAMM) untuk aktiviti hujung minggu secara percuma bagi kanak-kanak berusia 4–12 tahun.

Sabtu, 3 petang: Sesi bercerita diikuti seni & kraf bertema
Ahad, 3 petang: Tayangan wayang kulit selama 15 minit (Bahasa Melayu & Inggeris) serta sesi penerokaan artefak  

Anda disarankan datang awal kerana tempat duduk adalah terhad. Kanak-kanak bawah 6 tahun perlu ditemani penjaga. Untuk lawatan hari biasa, kumpulan prasekolah (umur 4–8 tahun) boleh mendapatkan Pas Sehari pada harga RM10.

Pencinta sejarah cilik juga boleh menyertai lawatan berpandu secara percuma IAMM Get to Know Tipu Sultan pada Nov 21 (Jumaat), jam 11 pagi, serta versi berbayar lawatan ini pada setiap Ahad jam 11 pagi sehingga akhir tahun. Aktiviti-aktiviti ini merupakan sebahagian daripada pameran muzium More Than A Day As A Tiger: The Legacy Of Haider Ali And Tipu Sultan Of Mysore yang berlangsung hingga Mac 29, 2026. Sesuai untuk kanak-kanak yang ingin tahu tentang pahlawan, legenda dan kisah epik.  

"Selera harimau" anda boleh dipuaskan dengan samosa, falafel, kebab dan pelbagai hidangan dari dunia keIslaman di Restoran Moza; dan di Kedai Muzium Kesenian Islam, terdapat pelbagai cenderamata berkualiti tinggi untuk kegunaan rumah yang boleh dijadikan kenangan lawatan mereka.

Pengembaraan Seni Bersama Keluarga di Ur-Mu @ The Toffee

Perkenalkan anak-anak anda kepada dunia seni melalui subjek kegemaran mereka: makanan! Di cawangan Urban Museum, Ur-Mu @ The Toffee, pameran I Love Sushi menampilkan visual yang menghiburkan, paparan interaktif dan pengalaman digital yang menunjukkan bagaimana sushi menjadi subjek sensasi global.  

Pameran ini berlangsung sehingga Dis 31, 2025 dan sangat sesuai untuk seisi keluarga yang ingin meneroka seni dengan cara yang ringkas, menyeronokkan dan mudah difahami.   

Satu lagi tarikan mesra kanak-kanak di sini ialah International Games Day, yang berlangsung sehingga akhir
November, di mana anda sekeluarga boleh menikmati permainan tradisional, permainan papan dan permainan kad. Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman web galeri.

Messy Play & Picnic Party @ Taman Tugu (23 Nov)

Biarkan anak-anak bebas bermain di acara Messy Play & Picnic Party anjuran MoSAIC Malaysia, bertemakan Jungle Vibes, Island Fun. Berlangsung di Taman Tugu Nursery pada Nov 23, 8 pagi–1 petang, acara ini menawarkan:
  • Zon messy play (bermain air, memicit, melukis!)
  • Sarapan keluarga yang mengenyangkan
  • Persembahan langsung & sesi sing-along
  • Permainan arked luar
  • Pertandingan mini catwalk pakaian terbaik
  • Lantai tarian comel untuk si kecil
Sesuai untuk anak-anak yang ingin tahu, aktif dan tak kisah kotor, serta ibu bapa yang suka melihat mereka bergembira.
Seni Lama, Generasi Baharu di GMBB

GMBB, pusat beli-belah kreatif sembilan tingkat, menjadi tarikan utama buat pengunjung cilik – terutamanya kerana Duke Museum of Picture Book Art, yang wajib dikunjungi jika anak-anak anda gemar buku dan seni!

Pada 22–23 Nov, muzium tersebut bersama Bojen Sam Studio akan menganjurkan bengkel dan aktiviti berdurasi dua jam, termasuk lawatan berpandu ke Fusion Wayang Kulit dan Darkroom Gallery, di mana kanak-kanak berpeluang melihat sendiri pokok periuk kera pemakan serangga. Bengkel untuk kanak-kanak berusia 5 tahun ke atas ini menawarkan peluang untuk membuat buku nota, lukisan rantai kunci, kipas tangan, alas cawan dan banyak lagi. Yuran adalah RM120 seorang atau RM200 untuk dua orang. Daftar di 012-332 0937.

Sementara itu, penerbit tempatan Hikayat Fandom, yang turut beroperasi di GMBB, akan mempersembahkan cerita Ulek Mayang versi kanak-kanak pada Nov 20, diikuti sesi mewarna.
Batik untuk Kanak-Kanak di Pasar Seni
Melukis batik kini menjadi aktiviti kreatif pilihan keluarga, kerana ia menenangkan, memupuk fokus dan menampilkan sentuhan budaya Malaysia. Kanak-kanak berpeluang bereksperimen dengan campuran warna, kawalan berus dan rekaan serta membawa pulang hasil seni yang mereka buat sendiri.   

Dari Nov 28 hingga Dis 8, kunjungi Pasar Seni untuk Viva Batik!, anjuran Yayasan Budi Penyayang sempena Hari Batik Kebangsaan. Acara berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam, dengan bengkel batik yang direka khas untuk kanak-kanak.   

Tips keluarga: Datanglah dengan berpakaian batik anda untuk gambar yang cantik dan untuk menyemarakkan suasana!

Mengejar Warna di Taman Rama-Rama KL
Untuk pengembaraan penuh magis dalam alam semula jadi di tengah-tengah kota, bawa anak-anak ke Taman Rama-Rama Kuala Lumpur, sebuah ruang tropika yang terasa seperti melangkah masuk ke taman buku cerita. Menjadi habitat kepada ribuan rama-rama yang terbang bebas di antara kehijauan, air terjun mini dan laluan berliku, ia merupakan salah satu lokasi mesra kanak-kanak paling mempesona di KL.

Si kecil boleh meneroka taman landskap sambil mencari rama-rama pelbagai warna dan saiz, mempelajari bagaimana makhluk halus ini melalui setiap peringkat hidup, dan melihatnya dengan lebih dekat di kawasan nurseri. Kolam taman, ikan koi, galeri serangga dan reptilia menambah lagi keterujaan untuk pencinta alam cilik yang suka mencari “makhluk kecil dengan personaliti yang besar”.  

Dengan laluan redup dan banyak peluang bergambar, ia merupakan aktiviti ideal pada lewat pagi atau lewat petang, terutamanya untuk keluarga yang ingin berehat, menyejukkan badan dan menikmati keindahan alam tanpa perlu meninggalkan bandar.  

Bawalah air, topi, dan rasa penuh ingin tahu, anda akan memerlukan ketiga-tiganya. 

Sama ada anak anda suka berlari di hutan, melukis dengan penuh warna, mendengar cerita, atau menerokai khazanah warisan budaya Malaysia, KL penuh dengan aktiviti untuk menjadikan Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini benar-benar bermakna. Sediakan sedikit snek, pilih beberapa aktiviti kegemaran dari senarai ini, dan bersedialah untuk meneroka kota melalui mata kecil dan imaginasi besar.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2