Seni, Alam Semula Jadi dan Kota dalam Perbualan

Ann Marie Chandy | 22 Oktober 2025

'ASEAN Integration Circle' yang indah oleh Zaimmar C melambangkan perpaduan dalam kepelbagaian, sebuah gabungan budaya, sejarah dan identiti ASEAN yang berbeza, disatukan di bawah semangat kerjasama.
Di tengah-tengah Festival Taman KL 2025, di sebalik kehijauan yang subur dan para pengunjung yang ingin tahu, terpamer deretan arca yang mengagumkan. Masing-masing menghidupkan kembali hubungan antara seni, alam semula jadi dan kehidupan bandar. Dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), festival dwitahunan ini meraikan taman sebagai “paru-paru hijau dan nadi kota”, manakala Pertandingan Seni Alam Sekitar menambah dimensi refleksi kreatif dalam acara ini.

Pertandingan tersebut mengundang orang awam untuk menghasilkan karya seni alam sekitar berskala besar menggunakan bahan-bahan semula jadi, dengan hasil karya dipamerkan di atas tanah, di udara dan di dalam air. Hasilnya ialah satu jejak mengasyikkan penuh imaginasi yang mengubah kawasan taman KL menjadi galeri idea dan aspirasi terbuka. 

Antara yang menerima Anugerah Kecemerlangan daripada sejumlah 23 penyertaan termasuk The Nest (dari UiTM Melaka), Serumpun Bersatu: Akar Berpadu (UiTM Kedah), Kuda Hitam (Bungakayu dari Kedah), Rentak Serantau (Taylor’s University), Seribu Lapisan Padi (Ng Kai En, Arkitek Siswazah), ASEAN Integration Circle (arkitek landskap Zaimmar Associates), dan Ikan Busuk Dari Kepala (Persatuan Pelukis Visual Malaysia, PeRUPA).
'Kuda Hitam', simbol kekuatan Nusantara yang merupakan lambang perpaduan serantau yang mencerminkan tekad negara-negara ASEAN untuk mencapai kejayaan. Arca ini diperbuat daripada kayu Mahogani dan kayu banir yang dibawa khas dari Sintok, Kedah, batu sungai serta bahan kitar semula seperti kaca dan plastik.
Akar Perpaduan
Salah satu arca yang paling menyentuh perasaan ialah Serumpun Bersatu: Akar Berpadu (gambar di bawah), dihasilkan oleh kumpulan Merbok dari UiTM Kedah. Kekuatan arca ini terletak pada konsep dan juga bahan yang digunakan. Ia diilhamkan oleh tumbuhan pegaga yang tumbuh subur di kesemua 10 negara ASEAN dan terkenal dengan sifat penyembuhannya. 

“Sebagaimana pegaga menyembuhkan tubuh, kita juga boleh menyembuhkan alam sekitar melalui kreativiti dan kerjasama,” menurut kenyataan artis.

“Kami sangat teruja kerana ini kali pertama kami sertai acara sebegini dan berjaya meraih Anugerah Kecemerlangan! Kami datang jauh dari Utara, tapi memang berbaloi!” kata pensyarah Rekabentuk Industri, Asrol Hasan. 

Kumpulan ini menggunakan lidi nipah terpakai, iaitu batang tengah daun nipah yang diperoleh daripada sisa pembuatan rokok daun tradisional di Merbok, Kedah. Bahan buangan itu diubah menjadi sesuatu yang indah dan bermakna. Setiap lidi dianyam rapi menjadi struktur seperti daun yang melambangkan kelestarian.
Reka bentuk ini menampilkan 10 kelopak berbentuk daun, setiap satu mewakili salah satu daripada 10 negara ASEAN yang mengelilingi sebuah unit tengah yang ditinggikan, melambangkan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN 2025. Di tengah-tengah arca ini, lima kelopak yang tegak membentuk rupa bunga raya, melambangkan lima prinsip Rukun Negara. 

Melalui karya ini, para seniman mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar bukan datang daripada individu semata-mata. Seperti sebatang lidi yang bersendirian, tetapi daripada sistem akar pegaga yang saling bertaut, menyatukan komuniti dalam semangat ketahanan dan keharmonian.
Apa yang membezakan karya 'Ikan Busuk Dari Kepala' ialah interaksinya dengan orang ramai. Para pengunjung digalakkan untuk menyentuh, berjalan mengelilingi, dan mentafsir karya ini mengikut perspektif mereka sendiri.
Sama menariknya ialah Ikan Busuk Dari Kepala oleh PeRUPA, sebuah arca yang mengubah peribahasa terkenal menjadi satu pernyataan seni yang nyata.

“Peribahasa ini sering digunakan sebagai satu bentuk kritikan,” jelas Pengerusi PeRUPA, Irwan Idris. “Namun niat kami bukan untuk mengkritik, tetapi untuk mengajak masyarakat berfikir. Kami mahu orang ramai merenung tentang tanggungjawab dan peranan kepimpinan yang baik dalam membentuk ekosistem sosial yang sihat.” 

Dibina daripada bahan semula jadi seperti daun palma, daun kelapa, buluh, daun ketapang, dan kelapa, arca ini berdiri sebagai satu simbol penyatuan antara alam dan masyarakat manusia. 

“Bahan-bahan ini mencerminkan unsur bumi dan air,” kata ketua projek, Abu Zaki Hadri. “Ia mewakili kepelbagaian dan keterhubungan idea bahawa segala-galanya dalam ekosistem kita saling berkait, sama ada kita bercakap tentang alam, komuniti, atau negara.” 

Pasukan PeRUPA terdiri daripada seniman berpengalaman dan pelatih muda dari institusi pengajian tinggi seperti UPSI, ASWARA, UiTM, dan UIA, yang semuanya menyumbang kepada proses kreatif ini. Kolaborasi ini benar-benar mencerminkan semangat gotong-royong, usaha bersama dan tujuan ianya dikongsi yang menjadi asas budaya seni Malaysia. 

“Projek ini menjadi lebih daripada sekadar sebuah karya seni; ia adalah ruang pembelajaran,” kata Naib Pengerusi PeRUPA, Raduan Norudin. “Setiap orang dari pelajar hingga profesional membawa perspektif tersendiri, yang memperkayakan naratif dan mengukuhkan hasil akhir.”

Namun, apa yang benar-benar membezakan karya ini ialah interaksinya dengan orang ramai. Pengunjung digalakkan untuk menyentuh, berjalan mengelilingi dan mentafsir karya ini mengikut cara mereka sendiri. “Kami percaya seni tidak seharusnya hanya dilihat, ia perlu dialami,” tambah Irwan. “Melalui interaksi itu, orang ramai menjadi sebahagian daripada cerita. Ketika itulah seni berubah daripada hiasan kepada sesuatu yang bersifat transformatif.”

PeRUPA berharap bentuk penglibatan awam seperti ini akan membantu seni alam sekitar dan sosial berkembang di Malaysia. Sebagai sebahagian daripada misi ini, persatuan tersebut telah menganjurkan sesi lukisan plein air di sekitar arca tersebut untuk meneruskan dialog antara manusia, seni dan alam semula jadi. Malah, anda boleh melihat sebahagian karya-karya ini jika anda melangkah masuk ke dalam kepala ikan itu!

Ahli PeRUPA, Wan Borhanuddin, sedang membuat lakaran arca tersebut semasa ia dibina. – Foto: FB

Bahan yang Sederhana

Karya seni instalasi bertajuk The Nest ini dihasilkan menggunakan rotan dan lidi kelapa sawit yang dianyam sebagai bahan utamanya. Diilhamkan daripada struktur sarang burung atau serangga, arca interaktif ini meneroka potensi seni yang digarap berdasarkan konsep perlindungan atau tempat berlindung yang menghubungkan alam dan manusia melalui keaslian bahan semula jadinya.

Karya ini dihasilkan oleh pasukan empat orang dari Fakulti Seni Reka (FSSR), UiTM Melaka yang diketuai oleh Ridzuan Adli Azidin.

“Sarang sentiasa menjadi simbol keselamatan, rasa memiliki dan kesinambungan,” jelas Dr Sharmiza Abu Hassan, salah seorang artis di sebalik karya ini. “Melalui The Nest, kami ingin membangkitkan rasa perlindungan sambil menggalakkan orang ramai untuk kembali menghargai kesederhanaan organik alam semula jadi.”

Bentuk separa sfera yang menyerupai kepompong ini dibina melalui anyaman garisan pelbagai ketebalan dan tekstur. Tidak seperti struktur yang kaku dalam rekaan industri, instalasi organik ini menonjolkan fleksibiliti spontan. Sepertimana burung membina sarangnya secara naluri menggunakan bahan-bahan pelbagai bentuk dan tekstur yang ditemui di alam. 

Apabila cahaya matahari menembusi lapisan rotan dan lidi yang disusun berlapis, ruang berbayang di bawahnya menjadi hidup dengan pantulan cahaya lembut dan berkelip. Pengunjung dijemput untuk melangkah masuk dan berehat di atas bangku kayu berbentuk batang balak, menjadikan arca ini satu ruang yang selamat, mesra alam dan mesra kanak-kanak yang menggalakkan aktiviti bermain, berhenti sejenak dan merenung.
“Penggunaan rotan dan lidi mencerminkan kehidupan seharian di negara-negara tropika ASEAN,” tambah Dr Sharmiza. “Ia juga menunjukkan bagaimana bahan-bahan semula jadi yang sederhana dan boleh terurai mampu mengilhamkan keindahan serta kesedaran terhadap alam sekitar.” 

Pertandingan Seni Alam Sekitar Festival Taman KL 2025 membuktikan bahawa seni bukan hanya untuk dipamerkan di galeri, ia juga wajar berada di ruang terbuka, di mana akar, daun dan idea saling berhubung.

Di bawah redup lembut taman-taman kota, kreativiti menemukan rentaknya dan mungkin juga satu seruan untuk pembaharuan seiring dengan mesej utama festival ini: bahawa apabila alam dan seni wujud bersama, kedua-duanya, alam sekitar dan jiwa manusia dapat berkembang dengan lebih subur.

Festival Taman KL 2025 di Taman Tasik Titiwangsa dibuka setiap hari buat semua pengunjung sehingga Okt 26, 9 pagi -11 malam. Masuk adalah percuma.

Discover more stories

Ooops!
Generic Popup2